Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Al-Quran adalah cahaya, petunjuk dan ubat bagi apa yang ada di dalam hati manusia. Al-Quran merupakan tali Allah yang kuat, cahaya-Nya yang jelas dan pegangan yang sangat dipercayai. Barang siapa beriman kepada Al-Quran akan mendapat taufik daripada Allah s.w.t. Barang siapa yang berpegang teguh padanya, maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang mengamalkannya, bermakna dia telah menjadi orang yang beruntung dan berjaya.

ISLAM ITU INDAH, ALLAH ITU TERLALU HEBAT

Friday, May 23, 2014

Khutbah Jumaat: Solat lima waktu anugerah paling berharga untuk mukmin


27 REJAB

Israk peristiwa besar dan bersejarah dalam Islam satu bukti kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Sebagai orang beriman, kita wajib meyakini Allah SWT memperjalankan Nabi Muhammad SAW pada waktu malam dari bumi Masjid al-Haram di Makkah al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin.
Al-Mi’raj pula adalah perjalanan yang dimulakan dari Masjid al-Aqsa ke langit ketujuh ditemani Malaikat Jibril.

Ulama dalam kalangan salafussoleh, khalafussoleh, ahli hadis, ahli kalam, ahli tafsir, ahli fiqih dan ulama Islam bersepakat peristiwa agung ini berlaku dengan roh dan jasad dalam keadaan Baginda sedar, bukanlah mimpi.
Bahkan, tidak ada sebarang perselisihan dalam kalangan ulama berhubung peristiwa itu kerana terdapat nas al-Quran yang jelas mengenainya.

Seperti ayat yang dibacakan pada permulaan khutbah yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Dalil bagi peristiwa mi’raj tidak dapat dipastikan secara jelas daripada al-Quran melainkan terdapat pendapat menyatakan dalil peristiwa itu melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Muhammad telah melihatnya (Jibril dalam rupanya yang asal) pada waktu yang lain, di Sidratul Muntaha.” (Surah al-Najm, ayat 13-14)

Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj

Hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj ini, Allah SWT mengurniakan satu perkara yang amat bernilai iaitu kewajipan bersolat lima waktu. Percayalah, solat adalah tangga kejayaan seorang Mukmin di dunia mahupun akhirat terutama bagi mereka yang bersungguh-sungguh mendapatkan khusyuk.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Inilah kejayaan paling besar bagi seorang Mukmin sejati kerana ia tidak akan dapat dicapai jika kita masih lagi beranggapan solat itu hanya sekadar tuntutan yang wajib ditunaikan walhal Allah SWT telah menjanjikan ganjaran sangat berharga kesan dari solat yang khusyuk.
Sedarlah, amat malang bagi mereka yang mendirikan solat, tetapi tidak mendapat apa-apa hasil daripada solatnya bahkan hanya penat lelah semata-mata.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Bolehkah aku tunjukkan kepada kamu sekalian perkara yang menghapuskan segala kesalahan yang kamu kerjakan dan mengangkat darjatmu? Mereka berkata: Silakan wahai Rasulullah. Sabda Rasulullah: Melakukan wuduk dengan sempurna, memperbanyakkan langkah menuju ke masjid, menunggu-nunggu solat fardu yang seterusnya setelah menunaikan solat, maka ini adalah pengikat (yang mengikat dirinya dengan ketaatan).”

Percayalah, solat adalah jalan terbaik bagi orang yang bertakwa mengadu dan menyerah diri kepada ketentuan dan petunjuk Allah SWT. Yakinlah, Allah SWT pasti memberi jalan penyelesaian atau memberi kekuatan dan kesabaran.

Hikmah di sebalik tuntutan solat

Hikmah di sebalik tuntutan solat, hati tenang menghadapi ujian. Solat yang didirikan semata-mata kerana Allah, akan memberi ketenangan. Hati yang tenang tidak akan mudah kecewa, bosan, putus asa dan marah ketika berhadapan dengan kegagalan, kesakitan atau kekurangan dalam hidup.

Sesungguhnya hanya Allah SWT yang memberi rezeki kepada hamba-Nya. Rezeki bukan hanya dilihat kepada harta ia merangkumi setiap aspek kehidupan seperti ahli keluarga yang soleh dan solehah, umur panjang, kehidupan bahagia di dunia serta akhirat.

Berdasarkan situasi dan cabaran masa kini, inilah ketikanya kita semua perlu sedar dan jadikanlah solat terutama solat berjemaah sebagai penawar, sumber kekuatan serta jalan keluar bagi sebarang masalah.
Khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Tiada Perasaan Bersalah Tinggalkan Solat

Petikan Berita harian : Jumaat 22hb Mei 2014

Melihat fenomena zaman kini, begitu ramai orang yang bukan hanya daripada kalangan muda, tetapi juga sudah berumur di negara Muslim yang mengabaikan solat. Adakah masih ada pada zaman moden ini orang yang bersedih hati dan menangis melihat anak serta keluarga tidak solat?

Anas bin Malik ialah sahabat Rasulullah SAW yang terakhir wafat. Beliau mempunyai usia yang panjang (99 tahun) sehingga mengetahui ada orang mengabaikan solat selepas sekian lama Rasulullah SAW wafat.
Az-Zuhri berkata, “Saya datang kepada Anas bin Malik di Damsyik, kebetulan beliau sedang menangis. Lalu saya bertanya: Mengapa engkau menangis? Dia menjawab: Aku tidak tahu apa lagi amal yang aku dapati pada zaman Nabi Muhammad yang masih diambil berat orang sekarang selain solat itu pun sudah disia-siakan mereka.”

Ibu bapa tak hirau anak abai solat

Kenyataannya, apa yang berlaku dalam kebanyakan masyarakat kini bukan hanya sekadar tidak peduli, bersedih dan menangis, malah mereka (ibu bapa) tidak menghiraukan anak membiarkan waktu solat berlalu begitu saja tanpa melaksanakannya.


Daripada Abu Sa’id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda: “Akan datang satu generasi sesudah 60 tahun, mereka melalaikan solat dan menurut hawa nafsu, maka orang ini akan menemui kecelakaan dan kerugian. Kemudian datang lagi satu generasi, mereka membaca al-Quran, tetapi hanya di mulut saja (tidak masuk ke hati), dan semua membaca al-Quran, orang Mukmin, munafik, jahat dan fasik (tidak dapat lagi dibezakan mana orang mukmin sejati dan mana orang yang berpura-pura beriman).” (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Hakim)

# Petikan kata-kata Ustaz Zul Ramli (Usrah Nurani) : Bukan mereka ini tidak ingin bersolat tetapi, Allah tak ingin mereka mendekati Nya. Jom bersihkan diri, sucikan hati... belajar mendekati Nya. Hanya mengambil masa 5 minit sahaja .... sedangkan kita menikmati nikmatNya hampir setiap denyut nafas ....

# Tersentuhlah wahai hati : Allah tak ingin kamu mendapat kebaikan daripada Nya - kerana tidak berusaha mendekati Nya. Berusahalah dengan mulanya rasa terpaksa. Terpaksa akan memberi rasa biasa kelak.... Moga semua yang membaca akan bertambah keimanan dan diberi cahaya petunjuk oleh Allah swt. Amin

Wednesday, May 7, 2014

Niat tentukan amalan ikhlas atau tidak

Persoalan pendidikan ialah persoalan mendidik hati manusia. Hati yang sejahtera melahirkan perbuatan mulia. Perbuatan yang sejahtera melahirkan pula masyarakat berakhlak, penyayang dan bertamadun. 

Koleksi hati yang sejahtera menjadi lambang umat sejahtera dalam semua aktiviti kehidupan. Dalam pendidikan, perhatikan beberapa inti sari nasihat Luqman Al-Hakim terhadap anaknya. 

Keikhlasan menjadi lambang awal hati yang sejahtera. Sabda Rasulullah SAW yang terkenal dalam bab keikhlasan niat perlu direnungi secara mendalam. Sabda Baginda: “Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niat.” 

Sesiapa yang hijrahnya kerana Allah SWT dan Rasul-Nya, maka hijrahnya bagi Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dicarinya atau wanita yang akan dinikahinya maka hijrahnya bagi niat hijrahnya.

Sukatan keikhlasan 

Menurut an-Nawawi, itu adalah paksi Islam. Ilmuwan Islam dulu dan kini, menjadikan ia sebagai pendahuluan dalam tulisan masing-masing. Hadis ini menjadi timbang tara sukatan keikhlasan sebelum memulakan sesuatu perbuatan. 

Seseorang mendapat perlindungan serta pertolongan Ilahi bergantung pada nilai niatnya. Beriman dengan hati yang tulus ikhlas tanpa sebarang kesyirikan menjadi nasihat utama Luqman kepada anaknya. 

Syirik bukan saja berlaku kepada aspek keimanan, syirik amalan boleh berlaku dalam perbuatan seseorang. Perasaan riak, menunjuk-nunjuk kepada manusia, berbangga dengan tindak-tanduknya menjadi sebahagian syirik amalan mengikut an-Nawawi.

Antara tanda ikhlas seseorang ialah perbuatannya semata-mata kerana Allah SWT, dia tidak menyukai orang mengetahui sedikit pun daripada amalan baiknya. Mereka yang ikhlas tidak mengambil kira sama ada perbuatannya mendapat pujian asalkan mendapat keredaan Ilahi.

Perbuatan zahir dan batin bagi orang yang ikhlas adalah bersamaan. Amalan sukakan pujian manusia menunjukkan pengamalnya tidak ikhlas melakukan sesuatu apatah lagi dia sendiri yang memuji perbuatannya.

Tuesday, May 6, 2014

6 teka-teki Imam Al-Ghazali wajar jadi panduan

Berita Harian : Oleh Husna Abd Halim  
Banyak pengajaran di sebalik jawapan diberikan ulama terkenal

Teka-teki dalam pembelajaran

Manfaatnya begitu meluas sehinggakan sesetengah guru menggunakan pendekatan teka-teki di dalam pembelajaran bagi mengelak pelajar mengantuk atau bosan dengan cara pembelajaran yang sama setiap hari.

Tambahan pula, teka-teki sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan selain dapat meningkatkan kecerdasan minda. Kita akan berusaha sedaya upaya memikirkan apakah jawapan yang tepat dan cuba menjawab dengan pantas. Jawapan teka-teki sedikit rumit dan berputar belit.

Melihat dari perspektif Islam sendiri, ada banyak kebaikan teka-teki dalam kehidupan kerana dapat memberi maklumat baru. Oleh itu, keunikan teka-teki boleh digunakan untuk mengajukan soalan yang mengingatkan kita kepada Allah SWT dan mempunyai unsur yang baik.

Enam teka-teki yang ditanya oleh Imam Al-Ghazali kepada anak muridnya boleh juga dijadikan soalan untuk kita menjawabnya. Contohnya, Pertama, apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab, orang tua, guru, kawan dan sahabat.

Imam Al-Ghazali berkata, semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan paling tepat sekali bagi soalan itu ialah mati.

Kedua, beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab, negara China, bulan, matahari dan bintang. Imam Al-Ghazali menegaskan, semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah masa lalu.

Walau dengan apa cara sekali pun, kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh itu, kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh supaya tidak sesal di kemudian hari nanti.

Ketiga, beliau bertanya apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab, gunung, bumi, matahari. Imam Al-Ghazali berkata, semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah nafsu Kita mesti berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam.

Tanggung amanah paling berat 

Keempat, Imam Al-Ghazali bertanya mengenai benda paling berat di dunia lalu muridnya menjawab, besi dan gajah. Imam Al-Ghazali mengatakan, semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah menanggung amanah. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah di bumi.

Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian serta kedegilan mereka mengikut lunas yang telah ditetapkan syarak.

Soalan kelima, Imam Al-Ghazali bertanyakan apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab, kapas, angin, debu dan awan. Imam Al-Ghazali menyatakan semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah meninggalkan solat kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

Keenam, beliau bertanya benda yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab, pedang. Imam Al-Ghazali mengatakan jawapan itu betul, tetapi yang paling betul ialah lidah manusia. Disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan serta perpecahan.


Kita perlu sedar soalan teka-teki yang dikemukakan Imam Al-Ghazali nampak mudah untuk dijawab, namun jawapan sebenarnya berbalik pada diri manusia yang sering melakukan kesilapan dan kita patut mengambil pengajaran daripada teka-teki itu.

Friday, January 10, 2014

MENCARI KETENANGAN HATI

Perkongsian menarik : GENTA RASA

Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi – dimensi lidah (qauli), hati (qalbi) dan perlakuan (fikli). Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
Katalah lidah kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.
  • Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya. Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”At Tahrim 8
Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” al baqarah 222.

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan – forgive yes, forget not! Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kina? Ah, jauh panggang daripada api! Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.
Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli!  
Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:
  • Rasa kehambaan.
  • Rasa bertuhan.
  • Memahami maksud takdir.
  • Mendapat hikmah di sebalik ujian.
Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah SWT. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita gapai kebahagiaan dunia dan akhirat.
  • Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. Firman Allah:
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” At Taubah: 51

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.
Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.
Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun. Firman Allah:
“…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” Al baqarah 156

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.
  • Rasa bertuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha sempurna itulah yang dikatakan rasa bertuhan.
Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah SAW yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “la tahzan innallaha maana – jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”
Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah:
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” Al Baqarah.

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allah:
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” Al Fathu 4.

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya:
Maksudnya: Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.” – Al Hadis.

  • Memahami maksud takdir Allah.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.
Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.
Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya:
“Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
Surah Al Baqarah : 216
Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pen¬deknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan… mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.
Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Hodoh? kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.
Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa. Kata bijak pandai: “It’s not what happens to you, but it’s what you do about it. It is not how low you fall but how high you bounce back!”
  • Mendapat hikmah bila diuji.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Ra¬sul¬ullah s.a.w. bersabda, “perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkas¬nya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para nabi, siddiqin, syuhada dan solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.
Firman Allah: Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagai¬mana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan ke¬goncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” (Surah al-Baqarah: 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan ber¬dosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu peng¬ampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.
Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.

Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.
Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.

Insya-Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah – sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!

Hidup dan mati

Hidup ini bukan sekadar menunggu mati. Kehidupan ini diisi dengan pelbagai rasa, pelbagai cuaca, suhu dan kemungkinan, pelbagai warna, pelbagai corak, pelbagai cara, pelbagai keinginan. Namun yang penting, dalam kehidupan ini perlu diisi dengan tanggungjawab.

Tanggungjawab menjadikan kehidupan lebih berkualiti. Ujian dan dugaan adalah lumrah dalam melaksanakan tanggungjwwab. Kita di usik dengan kata-kata, diusik dengan tindakan. Ia menimbulkan pelbagai rasa, menjadi rencah kehidupan lebih berwarna warni. Indah adalah perkataan yang amat sesuai diberikan.

Ada yang mengisi tanggungjawab dengan keseronokan dan cara yang mudah dan ramah. Ada yang mengisikannya dengan keras dan tegas. Ilmu dan impian menjadikan ianya berbeza. Cara yang terbaik dalam menghadapi perbezaan ialah berlapang dada. Menurut nasihat dan ajaran yang terkandung dalam kalimahNya adalah rujukan yang tepat. Segala jawapan terkandung di dalamnya. Jika difahami, motivasi kehidupan untuk terus mengisi kehidupan yang lebih baik pasti diberi kemudahan.

Sesungguhnya, hidup ini indah dan bukan sekadar menunggu mati.