Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Al-Quran adalah cahaya, petunjuk dan ubat bagi apa yang ada di dalam hati manusia. Al-Quran merupakan tali Allah yang kuat, cahaya-Nya yang jelas dan pegangan yang sangat dipercayai. Barang siapa beriman kepada Al-Quran akan mendapat taufik daripada Allah s.w.t. Barang siapa yang berpegang teguh padanya, maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang mengamalkannya, bermakna dia telah menjadi orang yang beruntung dan berjaya.

ISLAM ITU INDAH, ALLAH ITU TERLALU HEBAT

Friday, September 12, 2014

Berbaik Sangka


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Pada hari ini saya terdorong untuk berkongsi kisah ini yang sudah beberapa kali menjadi tatapan saya agar menjadi motivasi diri dalam memperbaiki diri dan mengingatkan diri jika terleka melayan perbualan rakan-rakan dan ahli keluarga. Terkadang perbuatan kita menyokong cerita untuk menyedapkan lagi kesinambungan cerita memberi beban pada amalan soleh yang kita usahakan. Ini adalah kisah sahabat yang selalu berbaik sangka yang merupakan calon ahli Syurga yang ingin saya kongsikan.

Kisah ini bermula pada suatu hari ketika Rasulullah SAW  sedang duduk di masjid dikelilingi para sahabat. Baginda sedang mengajarkan ayat-ayat al-Quran. Tiba-tiba Rasulullah SAW. berhenti sejenak dan berkata,”Akan hadir diantara kalian seorang calon penghuni syurga”. Para sahabat pun bertanya-tanya dalam hati, siapakah orang istimewa yang dimaksud Rasulullah ini?. Dengan rasa berdebar-debar mereka menunggu kedatangan orang tersebut. Semua mata memandang ke arah pintu.

Tidak berapa lama kemudian, seorang lelaki melenggang masuk masjid. Para sahabat hairan, inikah orang yang dimaksud Rasulullah? Dia tak lebih dari seorang lelaki dari kaum ansar (orang kebanyakan). Dia tidak termasuk di antara sahabat utama. Dia juga bukan dari golongan tokoh Quraisy. Bahkan, tidak banyak yang mengenalnya. Pun, sejauh ini tak terdengar keistimewaan dia.

Ternyata, kejadian ini berulang sampai tiga kali pada hari-hari selanjutnya. Tiap kali Rasulullah berkata akan hadir di antara kalian seorang calon penghuni syurga, lelaki tersebutlah yang kemudian muncul.

Maka para sahabat pun menjadi yakin, bahawa memang lelaki itulah yang dimaksud Rasulullah. Mereka juga menjadi semakin kehairanan, amalan istimewa apakah yang dimiliki lelaki ini hingga Rasulullah menjelaskan bahawa dia adalah sebagai calon penghuni syurga?

Akhirnya, para sahabat pun sepakat mengutus salah seorang di antara mereka untuk mengamati kehidupan harian lelaki ini. Maka pada suatu hari, sahabat yang diutus ini menyatakan keinginannya untuk bermalam di rumah lelaki tersebut. Lelaki tersebut iaitu calon penghuni syurga mempersilakannya.

Selama tinggal di rumah lelaki tersebut,  sahabat terus-menerus mengikuti kegiatan lelaki calon penghuni syurga. Saat lelaki tersebut makan,  sahabat ikut makan. Saat lelaki tersebut mengerjakan pekerjaan rumah, sahabat menunggui. Tapi ternyata seluruh kegiatannya biasa saja. “Oh, mungkin ibadah malam harinya sangat khusyuk” fikirnya. Tapi ketika malam tiba, lelaki tersebut bersikap biasa saja. Dia mengerjakan ibadah wajib sebagaimana biasa. Dia membaca al-Quran dan mengerjakan ibadah sunnah, namun tidak banyak. Ketika tiba waktunya tidur, dia pun tidur dan baru bangun ketika azan subuh berkumandang.

Sungguh, sahabat hairan, sebab ia tidak jua menemukan sesuatu yang istimewa dari lelaki ini. Tiga malam  sahabat bersama  calon penghuni syurga, tetapi semua tetap seperti biasa sahaja.

Akhirnya, sahabat itu pun pun berterus terang akan maksudnya bermalam. Dia bercerita tentang pernyataan Rasulullah SAW. Kemudian dia bertanya,“Wahai sahabatku, sesungguhnya amalan istimewa apakah yang kau lakukan sehingga kau disebut salah satu calon penghuni syurga oleh Rasulullah? Tolong beritahu aku agar aku dapat mencontohimu”.

Lelaki itu menjawab,” Wahai sahabat, seperti yang kau lihat dalam kehidupan sehari-hariku. Aku adalah seorang muslim biasa dengan amalan biasa pula. Namun ada satu kebiasaanku yang boleh kuberitahukan padamu. Setiap menjelang tidur, aku berusaha membersihkan hatiku. Kumaafkan orang-orang yang menyakitiku dan buang semua iri, dengki, dendam dan perasaaan buruk kepada semua saudaraku sesama muslim. Hingga aku tidur dengan tenang dan hati bersih serta ikhlas. Barangkali itulah yang menyebabkan Rasulullah SAW. menyatakan demikian.”

Mendengar penjelasan itu, wajah  sahabat menjadi berseri-seri. “Terima kasih sahabatku atas hikmah yang kau berikan. Aku akan memberitahu para sahabat mengenai hal ini”. Sahabat pun meminta izin untuk pulang dengan membawa pelajaran yang sangat berharga.

Sifat berbaik sangka, memberi kemaafan dan tidak ada sifat dendam, memuliakan tetamu, tidak mendedahkan aib sesama muslim dan menjauhi mengumpat dan fitnah adalah akhlak seorang mukmin dan ciri-ciri ahli syurga. Hidup zaman ICT ini cukup mencabar jika kita tidak membuat fitnah kadangkala kita menjadi subahat dan mendapat saham dosa besar yang sama jika mempercayainya dan menceritakan pula kepada orang lain.  

Berita terbaru bagaiman seorang pemimpin parti politik telah  di pecat dan akan bertindak agresif dan akan mendedahkan banyak kelemahan dan keaiban pemimpin parti yang di anggotainya dahulu. Sikap ini amat merbahaya dan akan menghapuskan pahala amalannya sebelum ini dan boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT .

Rasulullah SAW menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, "Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?" Lalu jawab Baginda, "Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!" Kemudian baginda ditanya lagi, "Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?" jawab Baginda, "Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar)." (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi).

Ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) amat buruk, apalagi buhtan (memfitnah dan mengada-adakan keburukan seseorang dengan mengatakan ada parasit).

Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah, kerana dia masuk dalam ghibah itu sendiri. Kecuali dia mengingkarinya dengan lidah, atau membenci dalam hatinya. Bila ada kesempatan maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan lain yang lebih bermanfaat. Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat." (Hadis Riwayat Muslim)

Perkataan "fitnah" berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Fitnah sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.

Al-Quran dalam surah al-Hujuraat ayat 12 dengan jelas menghuraikan persoalan fitnah. "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani".

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini membawa maksud bahawa seseorang yang beriman itu perlu sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata hanya kepada perkara-perkara yang memberi kebaikan.


Hadis Rasulullah SAW. Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak masuk syurga orang yang suka menabur fitnah."

Oleh itu kita perlu berhati-hati supaya amal soleh dan kebaikan kita tidak terhapus disebabkan kita terpengaruh dengan seseorang yang mengumpat , mendedahkan aib seseorang dan membuat fitnah. Semoga kita semua sentiasa dipelihara iman dan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri dan tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Amin.

Tuesday, July 22, 2014

Solat itu mengajar kita MELIHAT DIRI SENDIRI / MUHASABAH / MEDITASI

Solat yang sempurna mencapai prinsip meditasi. Justeru itu sepatutnya umat Islam itu lebih tenang dan berjaya dalam kehidupan ini. Apa perlunya merenung diri? Tujuannya adalah mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya.

Kualiti hidup bergantung pada kualiti fikiran dan emosi. Cara kita berfikir dan melihat sesuatu perkara atau seseorang, menentukan emosi kita dan akhirnya itulah yang akan menjadi diri kita. Kita perlu lihat semua orang dengan kasih sayang dan kesyukuran, jauhi prasangka dan buruk sangka.

Dalam kehidupan ini kita perlu memperbanyakkan melihat kelemahan diri sendiri berbanding melihat kelemahan orang lain. Syukur dengan kelebihan dan kekurangan yang ada kerana apa jua yang Allah limpahkan kepada kita adalah yang terbaik untuk diri kita.

Cuba lihat diri kita di cermin. Siapakah diri kita yang sebenar? Hakikatnya, kita lihat dalam cermin itu ialah diri kita yang telah berubah dari segi fizikal. Yang kekal ialah roh kita, roh kita hanya satu, tidak akan berubah walaupun usia kita berubah dan fizikal kita berubah.

Roh kita sangat perlukan makanan rohani. Bagi mendapat ketenangan, banyakkan bertaubat, berselawat dan beramal. Sikap (dalaman) yang positif akan memberikan gambaran fizikal (luaran) diri yang positif.

Jika dunia dalaman" kita positif kita akan beri kebaikan kepada orang (dunia luaran), dan akhirnya kita akan dapat semula balasan kebaikan kita itu (kebahagiaan). Sebaliknya kalau dunia dalaman" kita negatif tindak-tanduk kita kepada orang (dunia luaran) juga negatif dan kita akan dapat (kebencian) orang kepada kita.

Semua orang mahu hidup yang lebih baik. Bagaimanapun, jika tidak mengubah fikiran, tidak menjaga emosi dan tidak mengawal tindakan dan tidak akan berlaku perubahan kehidupan, sila audit diri dan refleksi diri, carilah masa untuk hal itu.

Sesungguhnya apa yang berlaku disekitar kita adalah pelajaran untuk kita melihat diri kita sendiri iaitu sebagai cerminan diri kita. Semua peristiwa, sama ada yang baik atau yang buruk sebagai pelajaran kehidupan. Sibukkanlah diri kita untuk meneliti dan mencari kelemahan diri sendiri, hingga tidak sempat untuk melihat dan mencanang kelemahan orang.

Solat adalah satu bentuk meditasi, meditasi adalah satu cara memfokuskan pada sesuatu dan tenangkan fikiran, fokus pada sesuatu samada bacaan, musik, pernafasan, imaginasi dan sebagainya. Didalam Islam, solat itu melakukan beberapa gerakan tetapi fikiran kita perlu khusyuk/fokus kepada Allah dan zat-zatNya, tiada bezanya dengan meditasi, prinsipnya tetap sama. Kaedah ini dapat memulihkan fungsi otak dan kualiti pemikiran kita.

Jadi ada perbezaannya mereka yang solat dan tidak dan ada bezanya mereka yang khusyuk dan tidak, jadi solatlah kamu dengan khusyuk agar kamu mendapat keredhaan Allah dan menjadi manusia yang lebih bijak pemikirannya.

Oleh itu, perbanyakkan solat dan solat menjauhkan manusia dari kemungkaran. Ia menjadikan kita manusia yang lebih berkualiti dalam kehidupan. Berfikiran positif dan redha pada qada dan qadar yang telah Allah tetapkan. Orang Islam itu tenang jiwanya.

Bertemu Tuhan

Apabila seseorang itu hampir tiba ajalnya, maka Allah akan memerintahkan malaikat maut mengambil nyawanya. Ketika itu malaikat akan tahu bila seseorang itu akan mati, di mana dan dalam keadaan bagaimana. Sebelum itu malaikat tidak tahu. 

Setiap orang mempunyai ketentuan ajal masing-masing. Apabila kematian seseorang itu telah ditentukan, maka ajal itu akan datang, tidak berganjak, terdahulu atau terkemudian daripada tarikh yang telah ditetapkan. Itulah ketentuan daripada Allah yang tidak dapat diingkari oleh manusia. Allah mahukan agar setiap hamba-Nya reda dengan qadak dan qadar ketentuan Allah. 

Apabila nyawa seorang Islam yang beriman itu hendak diambil, Allah mewahyukan kepada malaikat maut, ``kirimkan salam-Ku kepadanya.'' Maka apabila malaikat itu datang kepadanya untuk mengambil rohnya, malaikat akan berkata: ``Tuhanmu kirim salam padamu.'' 
Dalam sebuah hadis lain, daripada Muhammad al-Quradzi menyatakan bahawa apabila sampai ajal seorang mukmin, datanglah malaikat maut berkata: Sejahtera di atasmu wahai kekasih Allah. Allah mengirim salam padamu. Dalam surah an-Nahl: 32 dijelaskan, orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang dimatikan dalam keadaan yang baik oleh para malaikat dengan mengucapkan kepada mereka, ``selamatlah kamu.'' 

Abu Hurairah memberitahu, bahawa Rasulullah ada bersabda menyatakan bahawa sesungguhnya orang yang beriman itu apabila hendak diambil rohnya, maka datanglah malaikat rahmat yang membawa sehelai sutera putih, lalu keluarlah daripadanya wangian. Wanginya lebih harum daripada bau kasturi, sehingga sebahagian mereka dapat menghidunya. Mereka menamakannya dengan sebaik-baik nama untuknya, sehingga mereka membawanya ke sebuah pintu daripada pintu langit. 

Para malaikat bertanya, apakah bau-bauan ini didatangkan dari bumi. Setiap kali ia memasuki langit, penjaga-penjaga pintu akan mengucapkan kata-kata seperti itu, sehingga dia bersama segala roh orang yang beriman. 

Dalam sebuah hadis lain, Abu Hurairah memberitakan bahawa Nabi bersabda: Sesungguhnya orang mukmin itu apabila tiba ajalnya, datanglah kepadanya malaikat dengan sekeping kain sutera, padanya ada kasturi, ambar dan harum-haruman. Maka mengalirlah rohnya seperti tercabutnya sehelai rambut daripada adunan tepung dan diucapkan kepadanya: Wahai jiwa yang tenang, keluarlah dalam keadaan reda atas kamu menemui Allah dan kemuliaan-Nya. Apabila rohnya telah keluar, ia diletakkan di atas kasturi juga bau-bauan, lalu kain sutera itu pun dilipat dan dibawa bersamanya ke Illiyiin - hadis riwayat al-Barra. 
Rasulullah menjelaskan bahawa roh seseorang yang beriman itu tidak akan dicabut, keluar daripada jasad sehinggalah Allah memperlihatkan tempatnya yang kekal kelak, iaitu di syurga. 

Sesungguhnya, kematian bagi orang yang beriman itu adalah rehat daripada segala kedukaan dunia. Dalam keadaan seumpama ini, tidak ada sesuatu perkara yang ghaib, yang dinantikan oleh orang yang beriman, lebih baik daripada kematian. 

Sesungguhnya, kehidupan di dunia ini pinjaman semata-mata. Orang yang bijak akan menjadikan dunia ini laluan semata-mata, seumpama tidak ubah orang yang menyemai, bakal dituai di akhirat kelak. Itulah orang yang mendapat hidayah Allah, mentaati perintah-Nya dan menjauhi segala larangannya. 

Manusia hidup perlu berjuang. Mempunyai tanggungjawab yang mesti dipikul, untuk diri sendiri, keluarga, agama dan negara. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Yang terbaik menang, dan yang leka akan tinggal ke belakang. Itulah adat perjuangan. Kekayaan yang dimiliki, anggota tubuh badan yang dinikmati mesti digunakan sebaik mungkin, termasuk usia yang diberi. 
Semuanya akan ditanya oleh Allah, untuk apa, bagaimana dan kenapa ia digunakan. Mereka yang terpesona dengan keindahan dunia akan hanyut di bawah tekanan dan kekangan nafsu. Kerana itu, selagi nyawa ada di badan, perjuangan mesti diteruskan. 

Orang yang beriman, menggunakan segala amanah yang diberi oleh Allah sebaik mungkin, sentiasa bersedia menghadapi mati, lantaran mati itu boleh berlaku pada bila-bila masa menurut ketentuan Allah. 
Sebelum mati, ia akan didatangi oleh malaikat maut yang membawa salam daripada Allah, petanda kasih Allah, menjemput kekasih-Nya kembali menemui-Nya. Sebelum roh berpisah dengan jasad, Allah perlihatkan syurga baginya. 

Syurga adalah kemuncak segala nikmat yang tidak dapat diluahkan melalui ungkapan kata. Bagi mereka yang berjuang untuk hidup di dunia, untuk diri, agama, negara, keluarga dan kerana Allah, apabila diperlihatkan kepadanya syurga, hamba berkenaan akan merasai betapa nikmatnya hidup di syurga, berbanding dengan hidup di dunia yang penuh dengan pelbagai perjuangan, hiruk-pikuk penipuan dan pesona. 

Orang yang berada dalam pesona syurga, ketika dalam keadaan sakaratul maut tidak dapat menahan diri untuk menikmati syurga yang diperlihatkan kepadanya. 

Walaupun demikian, hamba berkenaan tidak akan dapat menikmati kehidupan di syurga, kecuali setelah mati terlebih dahulu. Kerana itulah hamba berkenaan terlalu inginkan mati, untuk segera menikmati syurga. 

Mati bererti menemui Allah, kerana itu, apabila seorang hamba yang beriman itu reda untuk mati, bererti dia reda untuk bertemu Allah. Dalam keadaan sedemikian rupa, apabila seseorang itu reda untuk bertemu Allah, maka Allah lagi suka menemui hamba berkenaan. 
Hibaan bin al-Aswad pernah berkata, ``mati itu lebih baik bagi menyampaikan seorang yang kasih, kepada kekasihnya, iaitu Allah'' 

Sesungguhnya, apabila seseorang itu telah meninggal dunia, hakikatnya dia telah meninggalkan kehidupan yang fana, yang tidak kekal ini. Apabila dimasukkan dalam kubur, dia berada di alam arwah atau alam roh-roh. Kehidupan di alam kubur adalah sebahagian daripada alam akhirat. Di antara alam fana dan alam akhirat ada pendinding yang tidak boleh tembus-menembusi di antara satu dengan yang lain. 

Bagi orang yang beriman, selain dipermudahkan ketika sakaratul maut, diberi penghormatan seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis yang diterangkan di atas, ia juga diberi nikmat ketika di kubur. 

Perbandingan seorang mukmin ketika hidup di dunia, adalah seperti janin dalam kandungan ibunya. Apabila dia telah keluar daripada kandungan, dia menangis di tempat keluarnya, sehingga dia melihat sinar dan menyusu, ketika itu dia tidak ingin lagi untuk pulang ke dalam rahim. 

Begitulah keadaan orang yang beriman yang telah mati dan menemui Tuhannya, tidak lagi dia ingin untuk kembali ke dunia, tidak ubah seumpama janin yang tidak ingin ke dalam rahim ibunya. 

Gambaran nikmat yang dijelaskan ini adalah bagi mereka yang beriman. Ketika hampir mati dan melihat apa yang telah disediakan oleh Allah untuk dirinya, mereka begitu ingin untuk keluar dari dunia, iaitu mati. Bagi orang kafir, apabila hampir mati dan melihat apa yang disediakan oleh Allah, akan menjadi benci untuk keluar dari dunia, kerana itu Allah juga benci menemuinya. 

Ibn Juraij memberitahu bahawa Nabi pernah bersabda kepada Aishah radialahuanha: Apabila seorang mukmin itu melihat para malaikat, mereka akan bertanya: Inginkah engkau kiranya kami kembalikan engkau ke dunia. Orang yang beriman itu bertanya: Ke negeri sedih dan dukacita. Kerana itu segeralah bawa kami kembali kepada Allah subhanahu wa taala. 

Mati bukan penghujung kehidupan seseorang yang sebenar, kerana selain daripada hidup di dunia, manusia akan dibangkitkan di akhirat yang kekal lagi abadi. Allah menjanjikan kebahagiaan mereka yang beriman kepada-Nya di dunia dan di akhirat, termasuk ketika menghadapi saat genting sakaratul maut. 

Berdukacita, merintih rindu tidak berupaya merobah keadaan biar sedikit pun. Zaid bin Aslam pernah memberitahu, ``apabila seorang mukmin itu didatangi waktu hampir mati, akan diucapkan kepadanya, jangan kamu takut terhadap peristiwa yang akan berlaku, di mana ketakutan pasti terhapus. 

Jangan dukacita terhadap dunia dan penghuninya, iaitu keluargamu. Gembirakan dengan nikmat syurga, di mana segala kebimbangan akan lenyap. Jangan berdukacita, kamu pasti akan meninggalkannya, padahal ketika itu, iaitu sebelum meninggal, Allah telah pun menenangkan hatinya.'' 

Ad-Dhaaak menjelaskan bahawa kegembiraan itu diketahui oleh mereka yang beriman sebelum roh berpisah dari badan dan mereka telah mengetahui di mana mereka akan berada, iaitu di syurga. 

Tidak mudah mengikis rasa rindu kehilangan orang yang dikasihi. Demikianlah di antara tanda-tanda kasih sayang. Tidak mudah memujuk kesunyian hilang teman, hilang tempat bergurau senda dan mengadu kasih, tempat harapan. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. 

Walaupun demikian, kalau setiap orang itu berupaya memikiri tentang ketetapan Ilahi, qadak dan qadar ketentuan Allah, kesedaran akan timbul, bahawa tidak ada manusia yang berupaya mengubah ketentuan-Nya. Allah Maha Mengetahui rahsia yang tidak terungkai oleh pemikiran manusia di atas ketetapan-Nya. 

Sesungguhnya di sebalik rindu dan rasa hampa, tenaga, masa dan pelbagai usaha tetap diperlukan untuk menghadapi sisa-sisa hidup yang masih tidak menentu. 

AlFatihah buat arwah Rohana Bt. Mohd Nawi pada 6hb Julai 2014 bersamaan 8 Ramadhan. Moga ruhnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin

Siapa Orang Yang Paling Cerdik?
Ibnu Umar r.a pernah berkata, “Aku pernah mengadap Rasulullah s.a.w sebagai orang ke sepuluh yang datang, lalu salah seorang dari kaum Anshor berdiri seraya berkata, “Wahai Nabi Allah, siapakah manusia yang paling cerdik dan paling tegas?” Beliau menjawab, “(adalah) Mereka yang paling banyak mengingat kematian dan paling siap menghadapinya. Mereka itulah manusia-manusia cerdas; mereka pergi (mati) dengan harga diri dunia dan kemuliaan akhirat.” (HR. Ath-Thabrani, disahihkan al-Munziri)
Manfaat Mengingat Kematian
Di antara faedah mengingat kematian adalah:
  1. Mendorong diri untuk bersiap-siap menghadapi kematian sebelum datangnya.
  2. Memendekkan angan-angan untuk lama tinggal di dunia yang fana ini, kerana panjang angan-angan merupakan sebab paling besar lahirnya kelalaian.
  3. Menjauhkan diri dari cinta dunia dan redha dengan yang sedikit.
  4. Menguatkan keinginan pada akhirat dan mengajak untuk berbuat ta’at.
  5. Meringankan seorang hamba dalam menghadapi ujian dunia.
  6. Mencegah kerakusan dan ketamakan terhadap nikmat duniawi.
  7. Mendorong untuk bertaubat dan muhasabah kesalahan masa lalu.
  8. Melembutkan hati, membuat mata menangis, memberi semangat untuk mendalami agama dan menghapuskan keinginan hawa nafsu.
  9. Mengajak bersikap rendah hati (tawadhu’), tidak sombong, dan berlaku zalim.
  10. Mendorong sikap toleransi, mema’afkan teman dan menerima kesalahan dan kelemahan orang lain.
Perkataan Orang-Orang Arif
Al-Qurthubi r.a berkata, “Umat sepakat bahwa kematian tidak memiliki usia tertentu, masa tertentu dan penyakit tertentu. Hal ini dimaksudkan agar seseorang senantiasa waspada dan bersiap-siap menghadapinya.”
Yazid Ar-Raqqasyi r.a. berkata kepada dirinya, “Celakalah engkau wahai Yazid! Siapa orang yang akan menggantikan solatmu setelah mati? Siapa yang berpuasa untukmu setelah mati? Siapa yang memohon keredhaan Allah untukmu setelah mati? Wahai manusia! Tidakkah kamu menangis dan meratapi diri sendiri dalam sisa hidup kamu? Siapa yang dicari maut, kuburan jadi rumahnya, tanah jadi katilnya dan ulat jadi teman rapatnya, lalu setelah itu ia akan menunggu lagi hari kecemasan yang paling besar; bagaimana keadaan orang yang seperti ini nanti.?” Beliau pun kemudian menangis.
Ad-Daqqaq r.a. berkata, “Siapa yang banyak mengingat kematian, maka ia akan dimuliakan dengan tiga perkara: Segera bertaubat; Mendapatkan kepuasan hati; dan bersemangat dalam beribadah. Dan siapa yang lupa akan kematian, maka ia akan disiksa dengan tiga perkara: Menunda untuk bertaubat; Tidak merasa cukup dengan yang ada dan malas beribadah.”
Al-Hasan Al-Bashri r.a. berkata, “Sesungguhnya kematian ini telah
menghancurkan kenikmatan yang dirasakan para penikmatnya. Kerana itu, carilah kehidupan yang tidak ada kematian di dalamnya.”
Faktor-Faktor Pendorong Mengingat Kematian
  1. Ziarah kubur. Nabi s.a.w. bersabda, “Berziarah kuburlah kamu, sebab ia dapat mengingatkanmu akan akhirat.” (HR. Ahmad dan Abu Daud, disahihkan Syaikh Al-Albani)
  2. Melihat mayat ketika dimandikan.
  3. Menyaksikan orang-orang yang tengah sekarat dan menalqinkan mereka dengan kalimat syahadat.
  4. Mengiringi jenazah, solat ke atasnya serta menghadiri pengkebumiannya.
  5. Membaca Al-Qur’an, terutama ayat-ayat yang mengingatkan akan kematian dan sakratul maut seperti ayat 19 surat Qaaf.
  6. Uban dan Penyakit. Kedua hal ini merupakan utusan malaikat maut kepada para hamba.
  7. Fenomena alam yang dijadikan Allah s.a.w. untuk mengingatkan para hamba akan kematian seperti gempa, gunung meletus, banjir, badai dan sebagainya.
  8. Membaca berita-berita tentang umat-umat masa lalu yang telah dibinasakan oleh maut.

Semoga Allah s.w.t. menutup akhir hayat kita dengan Husnul Khatimah dan menerima semua amal soleh kita, Amin. 

Wednesday, June 18, 2014

Bukan Namanya Taubat, Jika Tiada Azam Baiki Diri



Memohon ampun di atas kesilapan hendaklah dilakukan bersungguh-sungguh.

Bertaubat kepada Allah SWT adalah tuntutan Islam. Dalam al-Quran, Allah menggesa dan menyuruh hamba-Nya supaya bertaubat atas segala perbuatan dosa kerana Dia bersifat Maha Pengampun.

Tidak sukar bagi Allah memberi atau menerima taubat seseorang kerana Allah sendiri adalah penerima taubat. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah: 37).

Malah Allah SWT sangat mencintai orang-orang yang bertaubat seperti firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat.” (Surah al-Baqarah: 222)

Rasulullah SAW yang juga kekasih Allah dan bersifat maksum menunjukkan contoh kepada umatnya bahawa Baginda memohon ampun (beristighfar) kepada Allah sebanyak 100 kali sehari.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat (beristighfar) dalam sehari sebanyak 100 kali.” (Riwayat Muslim).

Penegasan terima taubat Mukmin

Penegasan Allah yang berjanji menerima taubat hamba-Nya memberikan harapan yang tinggi kepada Mukmin agar sentiasa memohon keampunan Allah setiap masa atas segala dosa diperbuat.

Allah Maha Mengetahui kelemahan hamba-Nya yang tidak terlepas daripada berbuat kesalahan. Sebesar manapun dosa dilakukan tetap diberi Allah keampunan selagi tidak melakukan syirik kepada-Nya.

Rasulullah SAW menyebutkan bahawa betapa Allah SWT sangat gembira apabila hamba-Nya mahu bertaubat secara tulus seperti terkandung dalam firman Allah dalam hadis qudsi bermaksud: “Sungguh Allah sangat berbahagia atas permohonan taubat hamba-Nya, lebih berbahagia daripada bahagianya salah seorang kamu yang kehilangan untanya lalu menemuinya kembali.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Seseorang yang kehilangan sesuatu barang berharga sama ada kerana kecurian, tercicir dan sebagainya, maka dia akan berasa sangat gembira jika menemui semula kerana barang berkenaan sangat bernilai dan bererti kepadanya.

Akan tetapi taubat seorang Mukmin lebih disukai Allah melebihi kegembiraan seseorang yang menemukan semula barang berharganya yang hilang.

Namun, kemurahan Allah menerima taubat itu tidaklah bermakna menjadi ‘lampu hijau’ kepada seorang Mukmin berbuat maksiat dan dosa terus menerus, yakni apabila berbuat dosa lalu menyesal dan bertaubat, kemudian mengulangi lagi, dan selepas itu bertaubat kembali kerana mengingat Allah itu Maha Pengampun.

Taubat yang dijanjikan Allah akan diterima-Nya ialah taubat yang lahir dari hati Mukmin yang tulus dan mencukupi syarat yang disebut sebagai taubat nasuha.

Bukan taubat jika ulangi kesilapan

Ucapan istighfar walaupun diulang 100 ribu kali sedangkan hati masih berazam untuk mengulangi maksiat tidak dinamakan taubat. Ia lebih seperti melakukan persendaan terhadap hukum Allah, peluang dan kerahmatan-Nya.

Terjatuh ke dalam maksiat dan dosa adalah kebiasaan manusia yang lemah. Manusia terbaik bukanlah manusia yang tidak pernah berbuat dosa sama sekali, akan tetapi manusia terbaik adalah manusia yang apabila berbuat kesalahan, langsung dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.

Mukmin sebenar sentiasa bersikap atau berpendirian untuk mengelak daripada terjerumus ke lembah dosa. Islam mengajar umatnya untuk tidak berputus asa tetapi diajar untuk kembali kepada kebenaran dan bertaubat. Hanya orang yang tidak beriman memilih jalan-jalan yang lain yang membinasakan diri mereka sendiri.

Tidak dinafikan bahawa seorang Mukmin yang telah sungguh-sungguh bertaubat kadangkala kembali terjatuh ke dalam kesalahan yang serupa.

Pengaruh nafsu, lemah iman

Mukmin yang pada mulanya sudah benar-benar insaf dan bertaubat, tetapi disebabkan kelemahan iman dan kuatnya pengaruh hawa nafsu selain tergoda dengan hasutan syaitan menyebabkan dia berulang kali terjatuh ke lembah dosa.

Jika terjadi demikian bukanlah bermakna taubatnya yang terdahulu tidak ikhlas. Maka, dia hendaklah mengulangi taubatnya dan jangan berputus asa dari rahmat Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Seorang melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wajalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya.

Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang engkau mahu Aku ampunkan engkau.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Oleh: Drs Wan Aminurrashid W Abd Hamid

Penulis adalah Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tuesday, June 17, 2014

Uruskan AKAL mu dengan ILMU

Dalam kehidupan ini kita sering puas dengan menuruti kehendak nafsu. Orang dapat yang baik, kita juga nak yang baik, tetapi tak kiralah apa sahaja cara akan digunakan untuk kelihatan baik dan mendapat title baik ataupun mendapat barang yang baik. Sedangkan yang bagi kita baik itu tidaklah baik untuk kita kerana dengan cara itu, kita telah menyemai sikap tak redha, menyemai jiwa yang tidak sihat (cemburu) dan paling berat ialah menjadi pendengki pula. Justeru itu, carilah contoh yang baik untuk diikuti. Untuk mengenalnya itu ialah dengan ILMU. Kita adalah orang islam, yang mengaku Islam, yang berusaha menyatakan keislaman tetapi tidak tahu untuk mencari contoh untuk menjadikan contoh dalam kehidupan ini.

Segala pencarian hanya berlandaskan nafsu iaitu malas. Hanya akan meniru orang yang punya daya setakat Islam dimulut…. Belajarlah mencari contoh mereka yang punya Islam dimulut dan dihati. Allah telah memberi panduan yang jelas, Nabi Muhammad saw adalah contoh yang terbaik, Sahabat Rasulullah juga contoh yang baik, para alim ulama yang terkemudian juga contoh yang baik. Mengapa kita sering menyediakan alasan untuk memenuhi kehendak nafsu.. Melatih akal, memujuk hati yang keras itu adalah dengan ILMU. Jika masih berat untuk langkah mendekati ILMU, banyakkanlah beristighfar sehingga hati dan anggota kita lunak dan mesra. Tambahkan istighfar dengan solat taubat dan berdoalah memohon kepimpinan jalan yang benar. Mungkin seminggu, mungkin sebulan, mungkin juga setahun, teruskanlah, moga kita diberi hidayah oleh Allah untuk meneruskan perjalanan yang sebenar dan memadamkan alasan yang pernah menjadi tasbih dimulut kita dahulu.

Sesungguhnya kehidupan ini adalah urusan kita dengan Allah. Urusan sesame manusia juga menjadi urusan kita dengan Allah. Oleh itu teruskanlah memperbaiki akhlak dan berbuat sehabis baik dalam segala urusan didunia ini dan juga bekalan diakhirat. Kerana segalanya adalah urusan kita dengan Allah.

Uruskanlah akal dengan ILMU dan lunakkan nafsu dengan akal yang telah berILMU. Usah sia-siakan masa dengan menjelaskan kepada mereka yang seronok menurut nafsu kerana mereka telahpun ada jawapannya. Cuma mereka berusaha untuk menafikannya untuk memperbanyakkan alasan.

Saidina Ali R.A.
  1. Sifat pemarah adalah musuh utama akal.
  2. Teman manusia yang sebenar ialah akal dan musuhnya ialah jahil.
  3. Dada orang berakal itu ialah peti rahsianya.
  4. Lebih sedikit orang menggunakan akalnya, lebih banyak pula ia berkata-kata.
HAMKA
  1. Akal membentuk budi,membentuk kebudayaan dan menjerumuskan manusia kepada kehancuran.
  2. Salah satu tugas agama ialah memelihara akal.Memelihara akal ialah dengan jalan menambah ilmu melatih diri berfikir,merenungkannya.
  3. Hawa nafsu membawa kesesatan dan tidak berpedoman dan akal menjadi pedoman menuju keutamaan.Hawa nafsu menyuruh mengelamun,berangan-angan,tetapi akal menyuruh menimbang.
  Luqman al-Hakim
  1. Walaubagaimana alim pun seorang itu, dia tidak akan dapat manfaat daripada ilmunya selagi ilmunya tidak berpedoman kepada akal.


Thursday, June 12, 2014

Memperbaiki Niat, Memperbetulkan Iman


15 Hari lagi, Ramadhan akan bertemu. Dalam tempoh ini, apakah persediaan kita untuk memperbaiki amalan. Tentunya tiap amal ibadat adahal hal peribadi antara Allah dan hambaNya.

Kita adalah hamba yang diciptakan untuk beribadah kepadaNya. Kita terlalu lemah sehingga memerlukan orang lain untuk selalu mengingatkan kita dalam banyak hal. Terutamanya, bila kita lupa, tersasar, terlalai. Umat Islam itu penuh dengan kasih sayang, janganlah kita berbangga dengan agama kita, tetapi dalam masa yang sama, kita tidak sedar kita telah memfitnah agama dengan cara hidup dan akhlak kita sesama manusia. Banyak orang yang tidak faham tentang Islam, belajar melihat Islam dengan sikap dan tingkah laku orang Islam. Oleh itu, jadilah orang Islam yang baik, memelihara tiap akhlak yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Bagaimana amal ibadat boleh menjauhkan manusia dari kemungkaran?
  1. Amal Ibadat yang ikhlas, melatih kita untuk berlapang dada dan redha dengan ketentuan Allah.
  2. Amal Ibadat yang dilakukan dengan khusyuk, melatih kita fokus bahawa kita adalah hamba Allah, didalam ibadat ataupun diluar ibadat. (dalam solat dan bukan solat).
  3. Mempasakkan pemahaman ke dalam diri bahawa setiap perlakuan diri itu adalah ibadat kepada Allah. Perhubungan sesama manusia, perhubungan dengan haiwan, tumbuh tumbuhan dan apa jua nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Kita adalah pemegang amanah kepada agama kita. Buruk diri kita, maka buruklah pandangan orang lain kepada agama kita.
Apabila kita melihat bahawa setiap tindakan adalah ibadah, adakah kita akan melakukan kemungkaran? Tentulah kita berusaha untuk sentiasa melakukan kebaikan. Kita percaya dan kita berdoa kepadaNya. Maka berniatlah keatas setiap amalan kita itu untuk kebaikan makan bertambahlah keimanan kita kepadaNya.

Kita mandi setiap hari. Apakah kita niatkan setiap kali kita mandi. Kebanyakan dari kita mandi yang berniat itu apabila dalam keadaan berhadas besar sahaja. Mari kita mulakan hari ini dengan menambahkan niat untuk harian kita. Berniatlah "sahaja aku mandi untuk memelihara diri dari segala penyakit dan berlindung dari kemungkaran yang diperbuat oleh tubuhku kerana Allah, Jauhkan lah aku dari melakukan perbuatan yang sia-sia, tambahkanlah keimanan ku dengan kesejahteraan ini, kuatkanlah diri ku untuk terus memperbaiki amalan ku kepada Mu". "Setiap yang dilakukan dengan niat, barulah dikira ibadah". Secara bahasanya niat itu akan menjadi doa.... Maka berdoalah perkara yang baik baik, semoga bertambah keimanan dan cinta kita semua kepada Allah yang maha pegasih lagi maha penyayang. 

Wassalam

Monday, June 2, 2014

MULUT BERBAU DOSA BERPUNCA DARI HATI YANG KOTOR

oleh: Muaz Fiqwa

Pendahuluan

Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan. (Surah al-Mutaffifin:14)

Ayat ini menjelaskan tentang orang-orang yang melakukan dosa dan sukar untuk menerima ayat-ayat Allah.

Mulut yang berbau dosa ini sering mendatangkan masalah terhadap hubungan di antara sesama manusia.

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Pepatah ini sering kita sebut-sebutkan dalam hal berkaitan dengan kesalah mulut.

Persoalannya ialah kenapa mulut ini boleh berbau dosa? Apakah sukar untuk mulut ini dijaga dengan baik demi menjaga kemaslahatan dan kebaikan sejagat.

Apabila mulut sudah berbicara perkara-perkara dosa, maka banyak perkara negatif akan muncul seperti dendam, permusuhan, pertelingkahan dan sebagainya.

Kadang-kadang kita pelik, bagaimana mulut yang sentiasa membaca al-fatihah ketika solat, tetapi pada masa yang sama bekata-kata buruk di luar solat.

Andai dosa itu boleh berbau, sudah tentu mulut orang yang suka berkata-kata buruk akan berbau busuk mulutnya.

Jika demikian, sudah tentu orang yang suka bekata-kata buruk itu akan memilih untuk berdiam diri.

Sedangkan berdiam diri itu adalah perbuatan yang lebih baik dari berkata-kata yang keji dan dusta.

Kita sering mendengar wujudnya segelintir pekerja yang gemar mencetuskan propaganda dan krontoversi.

Dan apakah yang mneyebabkan mereka ini suka membiarkan mulut mereka berbau dosa? Sedangkan bahayanya mulut itu mampu membuatkan yang baik menjadi buruk.

Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Sayyidina Ali k.wj. yang bermaksud :

“Wahai Ali ! Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu bagaikan anjing (gila)”.

Apabila Hati Mula Kotor

Apabila mulut mula berbau dosa, dan ia sudah pasti bermula dari hati yang kotor. Apakah yang dimaksudkan dengan hati yang kotor?

Hati yang kotor ialah hati yang terdedah kepada dosa dan maksiat. Ibarat makanan yang tidak dipelihara atau dijaga dengan baik, sudah tentu makanan tersebut akan menjadi basi dan tidak elok.

Begitu jugalah hati. Jika ia tidak dipelihara dengan baik, maka banyak perkara-perkara negatif akan berlaku.
Apakah hal sebegini yang kita mahukan sebagai umat Islam? Tidak pernahkah kita memikirkan perasaan baginda Muhammad s.a.w.

Sudah pasti baginda akan sedih jika terdapat umatnya yang mulutnya sentiasa berbau dosa.
Hati yang kotor berpunca apabila hati tersebut tidak disirami dengan ayat-ayat Allah. Apakah ayat-ayat Allah yang perlu disirami?

Itulah dia ayat-ayat al-quran. Ayat-ayat inilah yang boleh membuatkan hati kita menjadi lembut dan taat kepada perintah Allah s.w.t.


Bersihkan Hati Dengan Ayat-Ayat Al-Quran

Kita digalakkan untuk memabca al-quran dalam seharian hidup kita bagi tujuan untuk melembutkan hati yang keras, membersihkan hati yang kotor.

Bukankah diturunkan ayat al-quran itu untuk sekalian manusia? Apakah kita ingin memilih untuk menolak al-quran sedangkan hakikatnya ia adalah kalam Allah s.w.t?

Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah:41)

Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik. (Surah al-Baqarah:99)

Maka jelas dari ayat ini bahawa al-quran itu diturunkan untuk memebri keterangan kepada manusia dan sesiapa yang mengingkarinya maka dia adalah orang yang fasik.

Jadi bersihkanlah hati kita dengan ayat-ayat al-quran agar hati kita tidak menjadi punca kepada mulut kita menjadi busuk dek dosa.

Pagar Hati Dengan Mengingati Allah

Kadang-kadang punca hati menajdi kotor kerana ia terdedah dengan hasutan syaitan. Syaitan tidak pernah putus asa dalam memporak-perandakan umat Islam.

Mereka suka untuk meneysatkan umat Nabi Muhammad agar mereka mendapat teman di neraka kelak.

Apakah kita ingin bersama-sama syaitan di neraka atau bersama para nabi dan orang-orang soleh di syurga? Pilihan di tangan kita. Untuk memagarkan hati kita dari gangguan syaitan ini ialah dengan memperbanyakkan mengingati Allah s.w.t

Hati cepat kotor apabila kita melakukan dosa. Maka pagarkanlah ia dnegan segera mengingati Allah s.w.t. Takutlah pada balasan dan azab Allah s.w.t. Apakah azab Allah itu? Kita boleh lihat banyak azab yang disebutkan di dalam al-quran.

Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan. (Surah al-Baqarah:48)

Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara). (Surah al-Baqarah:123)

Jelas bahawa manusia yang melakukan dosa pasti akan mendapat azab yang sangat keras dari Allah s.w.t. Apakah peringatan lagi yang kita inginkan dan kita tunggukan?

Maka peliharalah hati dan mulut kita dari melakukan sebarang dosa-dosa kerana jelas setiap perbuatan itu pasti akan dihisab.

Jangan kita biarkan mulut kita berbau dosa dengan berkata-kata buruk, memfitnah, mengaibkan sesama manusia, berdusta dan sebagainya.

Bersihkanlah hati dari kekotoran dosa dengan sentiasa mengingati Allah agar hati itu tidak menjadi punca kepada berbaunya dosa pada mulut kita.

Penutup

Pengajaran yang boleh diambil:
  1. Janganlah kita biarkan mulut kita berbau dosa kerana ia sudah pasti akan mendatangkan perkara negatif pada diri kita sendiri.
  2. Mulut yang tidak dijaga dengan baik boleh menjadi punca timbulnya api permusuhan.
  3. Bersihkanlah hati dengan sentiasa membaca ayat-ayat Allah iaitu al-quran.
  4. Pagarkanlah hati kita dari gangguan syaitan dengan memperbanyakkan mengingati Allah dan mohonlah perlindungan dariNya.
  5. Mulut yang berbau dosa di dunia pasti akan mendapat azab dan balasan di akhirat kelak.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


Sumber: http://muazfiqwa.blogspot.com/