Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Al-Quran adalah cahaya, petunjuk dan ubat bagi apa yang ada di dalam hati manusia. Al-Quran merupakan tali Allah yang kuat, cahaya-Nya yang jelas dan pegangan yang sangat dipercayai. Barang siapa beriman kepada Al-Quran akan mendapat taufik daripada Allah s.w.t. Barang siapa yang berpegang teguh padanya, maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang mengamalkannya, bermakna dia telah menjadi orang yang beruntung dan berjaya.

ISLAM ITU INDAH, ALLAH ITU TERLALU HEBAT

Tuesday, October 16, 2012

Kejayaan Cara Rasulullah & Sahabat

RAHASIA kejayaan Rasulullah SAW, Khulafa ur Rasyidin dan sekalian salafussoleh dapat memerintah dan memajukan tiga perempat dunia dengan jayanya ialah kerana mereka-cintakan AKHIRAT lebih dari cintakan dunia.


Kerana memberi tumpuan yang serius  kepada Akhiratlah maka mereka dapat menundukkan dunia. Dan kalaulah mereka tidak dapat mengutamakan Akhirat daripada dunia, nescaya mereka pun senasib dengan kita. Yakni bukan sahaja mereka tidak dapat menegakkan empayar, perintah satu negara pun tidak akan berjaya. Satu negeri pun gagal. Bahkan memerintah satu kampung pun tidak upaya. Kalau masalah dalam rumah pun tidak boleh diatasi, tidak selesai-selesai, apa lojiknya kita boleh selesaikan masalah yang lebih besar dari itu.

Sekali lagi dikatakan, berjayanya Rasulullah SAW dan para Sahabat mengIslamkan dunia adalah kerana mereka serius dalam menguruskan Akhirat. Proses itu berlaku begini:

Apabila yang diutamakan itu Akhirat, maka mereka tidak mengambil kepentingan-kepentingan duniawi untuk peribadi, keluarga dan klik-klik mereka. Sebab orang yang sangat memikirkan nasib di Akhirat, mereka sangat takut pada Hari Hisab di Padang Mahsyar nanti. Hari penggelidahan lahir batin oleh polis-polis Akhirat, iaitu para malaikat, terhadap setiap orang manusia tanpa kecuali. Yang mana pada hari itu, orang-orang kaya di dunia, yang menimbunkan kekayaan yang halal untuk diri dan keluarganya sahaja, akan tertahan lama di border. Manakala yang kumpul kekayaan secara haram, terus terjun ke Neraka. Sementara orang miskin terutamanya yang miskinnya itu disengajakan kerana harta bendanya digunakan untuk khidmat masyarakat, untuk jihad fisabilillah, untuk ALLAH dan Rasul, untuk pembangunan-pembangunan material demi tertegaknya tamadun Islam yang canggih, maka ia akan dibebaskan dengan mudah, untuk pergi ke Syurga. Dalam Hadis, Rasulullah ada berkata:
Terjemahannya: Orang miskin itu akan masuk ke Syurga 500 tahun sebelum orang kaya.
(Riwayat At Tarmizi)

Atas dasar itulah Rasulullah SAW dan para Sahabat. sangat merebut peluang ini. Mereka meminta agar mereka tetap dapat hidup seperti orang miskin, sekalipun mereka diberi seluruh kekayaan dunia. Sebab itu di waktu ¾ dunia sudah ada dalam tangan, mereka masih tetap dapat zuhud lagi dengan dunia. Dan dengan sebab itulah mereka dapat memerintah dengan jayanya.

Apabila setiap individu sanggup hidup macam orang miskin, kerana kckayaan mereka itu dikorbankan untuk kepentingan masyarakat, demi membangunkan hukum ALLAH, maka hasilnya masyarakat dapat melahirkan banyak projek pembangunan seperti sekolah, hospital, kilang-kilang dan lain-lain lagi. Dalam pada itu kerajaan yang adil pula akan menggunakan wang negara untuk projek-projek pembangunan masyarakat yang semua itu , akan memberi kemudahan pada rakyat. Maka rakyat akan mendapat keselesaan hidup serta kemudahan-kemudahan yang diperlukan. Jadilah negara itu penuh dengan pembangunan-pembangunan kepunyaan umat Islam dan rakyatnya hidup aman makmur. Proses inilah yang membawa kepada terbangunnya negara yang ALLAH kehendaki, iaitu:
Terjemahannya: Negara yang aman makmur dan mendapat keampunan ALLAH. (Saba: 15)

Tanpa proses ini, negara dan masyarakat akan dikuasai oleh orang lain, dan rakyat hidup susah. Sebaliknya orang yang memerintah hidup senang-lenang. Keadaan ini boleh dilihat di Malaysia dan lain-lain negara umat Islam di seluruh dunia. Yang mana ekonomi negara dan masyarakat berada dalam tangan bangsa asing. Perojek-projek ekonomi yang besar-besar berada dalam tangan orang luar atau beberapa orang kapitalis Melayu, Cina dan India. Rakyat hidup ala kadar. Pemerintah hidup kaya-raya. Wakil rakyat pun lebih kaya dari sebelumnya. Yang miskin terlalu miskin. Yang kaya terlalu kaya. Keadilan yang sebenar tidak wujud. Keamanan yang sebenar tidak jadi realiti. Kemakmuran yang sebenar tidak terasa. Keampunan dari ALLAH tidak diperolehi hasilnya. Akhirnya di Akhirat masuk Neraka.

Sebab itu Islam meminta umatnya agar berjuang dan berkorban. Yang mana dengan kaedah itu, sistem ekonomi kapitalis akan terbunuh dengan sendirinya. Sayidina Abdul Rahman bin Auf  R.a berjaya menghalau kapitalis Yahudi dari Madinah, sekaligus membunuh sistem kapitalis itu, bukan dengan pergaduhan dan peperangan. Tetapi dengan membangunkan sistem ekonomi Islam di sebelah sistem kapitalis. Bila masyarakat memilih sistem Islam, dengan sendirinya sistem kapitalis terbunuh.

Dalam masyarakat yang mengamalkan cara hidup Islam, kemasukan wang kepada negara dan masyarakat cukup besar. Sebab pemerintah tidak ambil wang negara lebih dari keperluan. Mereka cuma ambil maasy yakni mengikut keperluan. Selebihnya untuk negara dan rakyat. Ini yang dapat dibuat oleh Rasulullah dan para Sahabat. Orang-orang kaya pula sangat kuat berkorban. Maka semua wang yang terkumpul digunakan untuk membangunkan kilang-kilang, perniagaan-perniagaan dan macam-macam perusahaan untuk rakyat. Sebab itu rakyat dapat hidup senang. Mungkin lebih senang dari pemimpin-pemimpin dan orang-orang besar mereka. Sebab itu masyarakat tidak buat masalah lagi. Dan jadilah negara itu negara yang benar-benar aman dan makmur.

Tetapi mana ada kerajaan yang mampu mengorbankan kekayaan mereka untuk rakyat. Hampir semua pemimpin yang naik, menjadi lebih kaya dari sebelumnya, sama ada dirancang atau tidak. Sebab dunia itu penipu, kata ALLAH. Pemimpin yang bercita-cita hendak menegakkan Islam pun dapat ditipunya. Apalagilah yang memang bercita-cita untuk dapatkan dunia. Lagi hebatlah tipuannya.

Oleh itu mari kita kaji semula cara hidup Rasulullah SAW dan salafussoleh supaya kita benar-benar terdidik dan cukup kuat untuk menghadapi dunia ini. Moga-moga kita selamat sebagaimana selamatnya Rasulullah dan para Sahabat dalam menghadapi dan menguruskan dunia ini.

Sikap mereka terhadap urusan dunia:

1. Rumah

Kalaulah Rasulullah SAW mahu, rumahnya boleh mengalahkan semua rumah raja-raja di dunia. Sebab baginda dengan doa sahaja boleh dapat apa yang dimahunya. Pasir pun boleh jadi emas. Gunung Uhud pernah bertukar menjadi emas hasil doa Rasulullah. Tetapi semua itu ditolaknya. Bila Rasulullah SAW tolak dunia, jangan kita kata, “Dia Nabi, bolehlah!” Baginda menolak itu bukan kerana dia Nabi. Yang mana kalau bukan Nabi, bolehlah baginda mengambilnya. Bukan begitu! Rasul itu contoh kita dalam segala hal. Rasulullah SAW menolak kekayaan adalah kerana baginda tidak mahu umatnya mengambil kekayaan untuk peribadi dan duniawi. Itulah maksudnya. Sekalipun baginda Rasul kekasih ALLAH, apa saja baginda boleh dapat, tetapi baginda tetap mahu hidup macam hamba. Itulah sikap pemimpin sejati. Yang boleh pun, tidak diambil, apalagi yang tak boleh. Sebab itu rumahnya betul-betul macam rumah seorang hamba kecil, sempit, berbumbung rendah, dibuat dari tanah dan pintunya dari kain guni.

2. Tempat tidur

Alas tidur Rasulullah SAW cumalah anyaman tikar daun kurma (macam tikar mengkuang). Bila bangun, berbekas urat-urat daun anyaman pada badan baginda yang mulia itu. Kebesaran baginda sebagai pemimpin dunia, yang namanya sampai hari ini dilaungkan di segenap pelosok dunia, di surau dan masjid, terkenal dan dicintai oleh dunia, tidak pun menghalang baginda untuk terus hidup seperti hamba yang lemah dan hina. Walhal kita baru jadi kerani sudah mahu bergaya, lagak macam tuan. Sudah rasa tidak layak hendak menjadi hamba. Apalagilah tuan-tuan besar kita itu. Memang takkan sudilah untuk mencemar kemuliaan seperti seorang hamba yang lemah lagi hina di sisi Tuhannya.

3. Makan dan makanan

Rasulullah memanglah makan. Tetapi seringkali juga baginda berlapar. Perutnya pernah diikat dengan batu untuk menahan kelaparan. Kerana makanannya diberikan pada orang lain. Apabila baginda makan, yakni makan hanya bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang, seringnya makanan baginda cuma susu, air dan kurma. Kiranya ada berlebih, baginda tidak buang. Pantang Rasulullah menghina pemberian ALLAH sekalipun sekecil-kecil barang. Baginda sangat sayang dan menjaga rezeki yang ALLAH kurniakan. Sebab itu kalau berlebih, cepat cepat dihantar ke rumah jiran yang perlu untuk dihabiskan. Baginda tidak menyimpan makanan di malam hari. Hidupnya bagaikan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Makan pula betul-betul macam hamba. Macam orang susah makan. Iaitu baki-baki kuah dan makanan dalam bekas makannya dijilat hingga licin, disapu bersih. Siti Fatimah AZ Zahra r.a puteri Rasulullah SAW, sangat kenal bekas makan Rasulullah kerana katanya begitu licin seolah-olah sudah berbasuh. Serbuk-serbuk makanan dikutip, kuah yang tumpah disapu dengan jari dan dijilatnya. Dan baginda tidak akan makan seorang diri, mesti secara jemaah.

4. Pakai dan Pakaian

Rasulullah SAW cuma ada sedikit pakaian. Itu pun jenis pakaian orang susah. Sesekali baginda pakai juga pakaian mahal yang dihadiahkan orang, bukan hasil usahanya sendiri. Baginda memakainya kerana menghormati pemberian hadiah dari orang itu. Tetapi lazimnya pakaiannya yang cantik, kemas dan bersih serta wangi itu adalah jenis pakaian murah.

5. Kenderaan

Sebagai hamba, baginda tidak rasa jijik untuk naik keledai. Tetapi baginda juga berkuda dan naik unta sesuai dengan keperluan perjalanan. Sementelahan pula, keperluan perhubungan yang jauh serta peruntukan-peruntukan perjuangan memang memerlukan kenderaan yang agak canggih. Misalnya, baginda menunggang kuda Sambrani, seekor kuda yang dihadiahkan kepadanya.

6. Harta Benda dan Wang Ringgit

Rasulullah SAW asalnya kaya dan berada. Kerana seluruh kekayaan isterinya Siti Khadijah diserahkan padanya. Tetapi sewaktu wafat, baginda tidak meninggalkan apa-apa harta dan Wang ringgit. Ertinya kekayaannya bukan untuk tumpuk harta dan simpan harta. Semuanya telah dikorbankan untuk jihad fisabilillah sebagai sumber pembangunan ummah.

Bila sudah berkorban sampai begitu sekali, apa jaminan masa depan anak-anak yang ditinggalkan? Persoalan ini tidak timbul sama sekali. Sebab setiap anggota masyarakat tentu mendapat pembelaan dari masyarakat yang beriman. Iaitu dari kerajaan dan masyarakat yang memerintah, menjaga dan mengawal anak buahnya dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab; yang cintakan ALLAH dan Akhirat lebih dari cintakan dunia dan segala kesenangan di dalamnya. Siapa yang hidup dalam jemaah Islam atau negara Islam pasti terbela. Dunia dan Akhirat. Bukan dunia sahaja dan bukan Akhirat sahaja.

Begitulah sikap Rasulullah terhadap dunia. Baginda seolah-olah tidak peduli sangat dengan urusan dunianya. Yakni rumahnya, pakaian, makan minum, tidur baring dan lain-lain urusan duniawi dan peribadi. Tetapi untuk Akhirat, baginda sangat serius. Baginda tidak main-main. Baginda sangat ambil berat dan bersungguh-sungguh.

Marilah kita lihat buktinya:

1. Perjuangan

Kita letakkan perjuangan sebagai perkara pertama dalam kerja-kerja Akhirat yang Rasulullah lakukan. Tujuannya ialah untuk menarik perhatian pembaca tentang pentingnya perjuangan ini. Di samping untuk menyatakan bahawa ia bukan urusan dunia tetapi adalah urusan Akhirat. Yang mana selama ini ramai menganggap perjuangan itu tidak penting dan merupakan kerja-kerja duniawi, bukan Ukhrawi.

Rasulullah SAW berjuang sepanjang umurnya. Berjuang untuk menegakkan kalimah ALLAH di muka bumi. Dengan kata lain, berjuang untuk meng-Islamkan dunia. Bahkan perjuangan itu menjadi cita-cita hidup matinya. Dan untuk itulah baginda dilantik jadi nabi dan Rasul. Sebab itu baginda sungguh serius dalam perjuangan. Demi menegakkan perintah ALLAH, baginda sanggup hadapi apa saja risiko. Sekalipun mati. Rasulullah pernah bertegas dengan bapa saudaranya:

Terjemahannya: Demi ALLAH wahai bapa saudaraku, sekulipun mereku meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini nescaya aku tidak akan tinggalkannya, sehingga ALLAH memberi keputusannya.

Umur baginda habis untuk perjuangan. Harta benda habis untuk itu. Tenaga, fikiran, jiwa raga semuanya untuk jihad fisabilillah. Baginda jadi miskin, dihina, diburu, dikejar, diundang ke medan perang dan hampir-hampir mati ditetak. Semuanya dihadapi semata-mata mahu memperkenalkan ALLAH pada dunia serta menegakkan syariat-Nya. Begitulah bersungguh-sungguhnya baginda Rasulullah SAW dalam berjuang.

2. Mendidik

Usaha ini adalah satu dari cabang perjuangan yang penting. Ia juga urusan Akhirat. Rasulullah SAW siang malam, pagi petang, atau di mana saja, sentiasa mendidik umatnya. Tidak minta upah dan tidak cari kepentingan. Baginda lakukan itu semata-mata kerana sayangkan umat, agar mereka selamat dunia Akhirat. Baginda sangat serius menasihati, menegur, memandu dan menunjuk ajar siapa saja tanpa mengira pangkat atau darjat. Baginda pergi ke pasar, pergi ke Taif, pergi ke mana-mana sahaja, sekalipun di atas unta, untuk menyampaikan mesej Ilahi pada manusia. Hingga waktu sakit tenat dan hampir wafat pun baginda masih bercakap tentang nasib umat.

3. Berkorban

Perjuangan dan pendidikan tidak akan berjalan baik tanpa pengorbanan. Sebab itu Rasulullah sangat serius berkorban. Korban wang ringgit, harta benda, masa, tenaga, fikiran dan segala-galanya. Baginda pergi ke medan perang, di baris hadapan. Baginda ikut sama mengorek parit dan mengangkat batu dalam Perang Khandak. Baginda hidup bersama fakir miskin, janda dan anak yatim untuk menjadi pembela pada orang-orang susah itu. Bila dapat harta rampasan perang, baginda dahulukan ahli suffah dan masyarakat lainnya. Diri dan keluarga tidak dapat apa-apa. Orang berhutang, bagindalah yang membayar. Kalau ada masakan, mesti dihulurkan pada jiran, sekalipun kaki kambing. Pendeknya, untuk keselamatan ummah, baginda yang menanggung susah dan payahnya.

4. Akhlak

Baginda sangat serius menjaga akhlaknya. Ini juga soal Akhirat. Baginda memiliki akhlak yang agung, kata ALLAH. Ertinya ALLAH pun kagum dan memuji keupayaan Rasul-Nya dalam melayani ALLAH dan hamba-hamba ALLAH, dengan sebaik-baik akhlak. Kita lihat tiga contoh yang memperlihatkan agungnya akhlak Rasulullah:

a. Pemaaf

i. Ada seorang perempuan tua Yahudi yang selalu menyusahkan Rasulullah di perjalanan. Yakni dengan menabur duri dan najis di jalan yang dilalui oleh Rasulullah bila pergi berdakwah. Si tua itu sangat benci dengan Rasulullah. Tetapi satu hari ketika ia jatuh sakit, satu-satunya orang yang datang ziarah beliau ialah Rasulullah. Alangkah pemaafnya baginda. Bukan sahaja diziarah tetapi dicarikan ubat. Hingga di atas akhlak yang luar biasa itu, perempuan tua itu akhirnya memeluk Islam.

ii. Satu hari Rasulullah berjalan dengan memakai baju Arab Najran. Tiba-tiba seorang Arab Badwi menarik baju itu dan meminta diberikan kepadanya. Hampir-hampir luka leher Rasulullah kerana tarikan tersebut. Tetapi baginda memaafkan si Badwi tersebut. Bahkan baju itu dibuka dan dihadiahkan kepada si Badwi tadi.

b. Kasih Sayang

Kalau dua tiga hari Rasulullah tidak nampak salah seorang Sahabatnya atau tidak bertemu, nescaya akan ditanya dan dicari oleh baginda. Bagindalah yang akan ziarah ke rumah Sahabat tanpa rasa sombong. Baginda makan, sembahyang, dan duduk sama-sama dengan para Sahabat. Satu hari, ketika sedang mengadap hidangan makanan, datang seorang tua yang berkudis, hitam legam kulitnya, buruk rupanya dan berair pula kudisnya, datang meminta makanan. Rasulullah tanpa jijik dan dengan penuh tawadhuk, memegang tangan orang itu, dibawa ke sebelahnya untuk makan bersama-sama. Masya-ALLAH, agungnya akhlakmu ya Rasulullah.

c. Ibadah

Perkara ini memanglah perkara Akhirat. Yang pada sesetengah orang Islam telah ‘diduniakan’ juga, untuk mencari untung dunia. Rasulullah telah menunjukkan ibadah yang terbaik dan terbanyak. Tetapi ingat, hal itu bukan khusus untuknya sebagai Nabi. Rasulullah mencontohkan ibadah untuk kita ikuti jejak langkahnya. Rasulullah sembahyang sunat terlalu banyak. Adakala semalaman tidak tidur hingga bengkak-bengkak kakinya. Ertinya beribu-ribu rakaat baginda dapat rukuk dan sujud untuk Tuhan dalam menyatakan syukur dan kehambaan yang setinggi-tingginya.

Puasa juga banyak. Sehari puasa, sehari pula makan. Begitulah digilir-gilirkan. Tentang zikir, bukan sahaja waktu jaga, dalam tidur pun baginda berzikir. Baginda adalah ‘Al Quran bergerak’. Ertinya Al Quran bukan sahaja dihafal bahkan dijadikan panduan seluruh hidupnya. Melihat kepada ciri-ciri ini, benarlah dia Nabi kekasih ALLAH. Yang sangat cintakan ALLAH dan Akhirat. Hatinya tidak terpaut sedikit pun pada dunia. Maka marilah kita letakkan kasih dan rindu padanya. Ini adalah kerana terlalu besar jasanya pada kita.
Setelah menyaksikan bagaimana sikap Rasulullah SAW terhadap dunia dan juga terhadap Akhirat, bolehlah kita simpulkan bahawa nisbah dunia Akhirat bukan fifty-fifty (50:50). Sebaliknya ialah 1:99.

Untuk dunia satu peratus sahaja. Untuk Akhirat 99 peratus. Kesederhanaan atau keseimbangan tenaga kerja untuk dunia ialah satu. Manakala kesederhanaan atau keseimbangan tenaga kerja untuk Akhirat ialah 99. Barulah sesuai dengan darjat dan nilai masing-masing. Itulah keseimbangan dalam Islam. Itulah ukuran yang tepat, bijak, lahir dari fikiran yang luas dan matang. Sesiapa yang masih mahu menyamakan kerja untuk dunia dengan keperluan untuk Akhirat, 50-50, itu datangnya dari nafsu yang jahat dan fikiran yang sempit. Bukan sahaja orang dewasa, kanak-kanak pun akan hairan dan mentertawakannya. Tersesat dalam berfikir! Jahil dalam menilai dunia dan Akhirat.

Bila Islam meletakkan nisbah dunia Akhirat 1:99, jangan kita anggap umat Islam mesti tinggal dunia. Sebaliknya kerana diuntukkan kepada Akhirat 99 itulah maka dunia dapat dibangunkan dengan keadaannya yang aman dan wujud masyarakat yang kaya-raya. Hingga semua orang dapat merasa nikmat hidup termasuk orang kafir. Sebaliknya kalau dunia 99, Akhirat 1, akan terjadilah macam hari ini. Yakni individu kaya tetapi masyarakat miskin dan Islam tidak dapat ditegakkan.

Al-Faqir hamba.

Monday, September 24, 2012

Perlu ke Sakit Hati?

Ketika kita merasa sakit dihati, diatas sebab orang lain yang menyakitkan hati kita, mengusik keperibadian kita, mengusik cara hidup kita, mengusik rasa aman kita. Adakah kita wajar bersikap dan bertindak secara luar kawalan. Meluahkan rasa ketidakpuasan hati dengan pelbagai cara. Membakar sesuatu, melemparkan barang, menumbuk mereka yang terlibat , keluarga mereka, atau bangsa mereka. Adakah kita puas dengan cara dan tindakan begitu.

Adakah kita tidak boleh mengawal diri kita hingga hilangnya keperibadian tinggi kita. Hilang semua akhlak yang telah kita jaga hanya kerana seorang yang membangkitkan kemarahan kita. Adakah berbaloi kita menjual dan memusnahkan ketamadunan yang kita bina bertahun kerana rasa sakit hati yang tidak terkawal. Rasa kemarahan yang membuak-buak hingga hilang kewarasan. Alangkah gembiranya para Syaitan kerana berjaya mempermainkan kebodohan akal kita dan tunduk kepada nafsu yang mengheret kepada sesuatu yang tidak bermakna dan membawa kemusnahan diri, bangsa, agama dan negara.

Mungkin kita tidak melihat perkara ini secara meluas dan memahami hakikat sebaliknya. Cuba kita berhenti menurut nafsu dan berfikir sejenak. *Apabila seorang anak datang kepada kita dan mengadu bahawa dirinya disakiti, apakah jawapan yang patut kita beri kepadanya agar jawapan itu mampu mendidiknya pada hari itu dan masa hadapannya. #Jawapannya ialah bagus dan tahniah. Kenapa mesti bagus dan tahniah? “Wahai anak ku, apabila kawan mu menyakiti mu itu bermakna dia lemah. Dia ingin menguji kekuatan mu. Kawanmu ingin menguji adakah kamu itu lebih kuat darinya. Kamu patut rasa bangga dan ucapkan terima kasih kepadanya kerana menguji ketahanan kamu” dan berbahagialah dengan jawapan itu. Jangan sesekali kamu menangis atau pun marah kepada kawan mu kerana tindakan kamu itu akan menyebabkan kawan kamu tahu bahawa kamu lemah daripadanya dan  pasti mengusikmu lagi kelak. Apakah anda dapat merasakan situasi ini? Jika anda dapat memberi kefahaman yang baik kepada anak-anak anda dan menerapkan nilai-nilai positif ini, pasti kita akan membentuk umat Islam yang kuat pada masa hadapan. Jiwanya kental apabila diuji. Jiwanya kuat apabila menerima usikan dan penganiayaan.

Kita jangan terlalu mudah mengikat diri kita dengan rasa sakit dan rasa letih, jangan terlalu mudah rasa terusik pada perkara-perkara yang tidak bermakna dan membawa kemusnahan dan harga diri yang telah kita bina. Kita sebenarnya perlu rasa terhina dan lebih hina daripada orang yang menghina dengan tindakan kita yang tidak wajar dipertontonkan kepada mereka yang ingin mencari kelemahan kita. Adakah kita rasa puas sebenarnya dengan meluahkan rasa kemarahan. Marah itu boleh tapi marahlah pada diri sendiri yang lemah dalam menghadapi ujian. Bukan marah kepada orang yang menghina. Mereka ingin mendapatkan pelajaran daripada usikan mereka, tapi kita yang mempunyai ilmu dan pelajaran kalah dengan menunjukkan contoh yang salah. Apabila kita menunjukkan contoh yang salah maka mereka pon bergembira kerana mereka lebih kuat daripada kita.

Adakah kita puas menunjukkan ilmu bahawa kita berada dijalan yang benar hingga menimbulkan riak bahawa aku lah yang maha mengetahui, akulah yang lebih memahami. Sebenarnya kita telah menonjolkan kebodohan kita dalam memberi jawapan. Kita menunjukkan bahawa hati kita tidak ikhlas dalam menunjukkan jawapan kerana jawapan yang kita beri mempunyai unsur riak yang kita tidak sedari, tetapi disedari oleh musuh-musuh yang ingin menjatuhkan kita. Berilah jawapan yang mampu menunjukkan nilai akhlak kita dengan kerendahan hati yang sangat dirasa oleh orang yang membenci kita agar menimbulkan rasa cinta mereka kepada pemimpin akhlak kita iaitu Allah melalui rasulullah. Inilah jawapan nilai hati dan jiwa yang ikhlas.

Ianya tidak berbaloi memberi jawapan kepada soalan itu. Hakikatnya ia mempunya makna menghina. Mungkin kita rasa bangga tapi hakikatnya kita telah perangkap dalam jerangkap Syaitan. Sebagai orang Islam, tidak wajar kita menurut nafsu. Pimpinlah hati dengan sikap rasa rendah diri, ikhlas dan sederhana. Kita semua punya Allah yang menetapkan sesuatu dengan tujuan kebaikan walaupun kita merasakan peritnya. Itu tanda Allah menguji ketahanan hati, jiwa, mental dan fizikal kita dalam menghadapi peraturan hidupNya bagi mengangkat darjat kefahaman kita dalam menghadapi dugaan dalam hidup. Moga umat Islam ditambahkan keimanan dan rasa kecintaan kepada Allah yang mampu memimpin kebahagiaan di dunia dan diakhirat. Amin. Ingatlah, bahagia dunia bukan bererti bahagia kemewahan tetapi bahagia dunia ialah dengan membuang keduniaan dari segi rohani, dari segi jasmani, usaha adalah wajib dan bertanggungjawab pada amanah yang telah Allah kurniakan. Moga berbahagia (“,)v

Friday, September 21, 2012

Menjaga Hidayah



1) Pengajaran pertama - Jangan bimbang pandangan orang lain. Abu Talib ‘takut’ pandangan pembesar Qurasyh yang lain, begitu bimbang mengenai apa yang akan ‘diperkatakan’ setelah dia meninggal, sekiranya dia menjadi seorang Muslim, maka kerana ke’risau’an inilah yang menyebabkan Abu Talib tidak mengucap Syahadah.

2) Kedua - Istiqamah mengekalkan hidayah tidak akan berlaku sekiranya kita ‘menyibukkan’ diri menilai orang lain kata Mufti Menk. Bergossip membuatkan kita sibuk dengan hal dan aib orang lain sehingga terlupa menilai diri. Bergossip dan berkata buruk sudah cukup berdosa, apatah lagi mengaibkan dan memfitnah. Sibukkan diri mengenai hal diri, kekurangan diri, keluarga, anak-anak daripada orang lain. InsyaAllah Allah akan beri kita hidayah. Kedua, sibukkan diri dengan hal sendiri bukan orang lain.

3) KetigaHidayah akan kekal sekiranya kita sentiasa i) Beristighfar dan ii) Bertaubat. Beristighfar bererti kita memohon maaf setelah tersedar dan setelah melakukan apa saja dosa dan kesilapan, namun bertaubat bererti kita kembali kepada Allah dengan memalingkan hati dan diri kearahNya. Beristighfar sahaja belum cukup, namun memalingkan diri kembali adalah kunci untuk mendapatkan hidayah, seterusnya mengekalkan hidayah itu. Kita PERLU dan mesti sentiasa beristighfar dan bertaubat, Allah memberi Taubah itu sebagai hadiah kepada hambaNya, bayangkan jika tiada konsep taubah? Oleh itu saya sering ingatkan diri, jangan berputus asa, teruskan perjuangan dan InsyaAllah Allah akan menunjukkan kita jalan yang lebih baik dari sekarang.

4) Keempat - Amalan yang berterusan. Lagi dan lagi. Tambah dan tambah amal. Bagaiamana? Dengan mengikhlaskan hati, mencari dan mencari dan mengikut contoh dari Rasulullah SAW

5) KelimaSampaikan kebaikan. Hidayah akan terkesan dan kekal sekiranya kita menjadi agen untuk menyampaikan kebaikan. Konsep Amal ma’ruf nahi mungkar ini dapat mengingatkan diri dan orang lain. Ya, marilah kita sebarkan kebaikan, kasih dan sayang, bukan kebencian, keburukan dan kejahatan! Walaupun sedikit! Sedikit dan sekecil biji sawi sekalipun ianya akan dinilai Allah Al-Hasib.

6) Keenam – Carilah kawan yang soleh. Pilihlah kawan kita, kawan atau rakan yang akan MENGINGATKAN kita sekiranya kita tergelincir. Rakan dan sahabat yang jujur memberi teguran. Seram sejuk apabila mufti memberikan contoh bagaimana nanti, apabila dibangkitkan kembali, sahabat karib kita akan menjadi musuh, bercakaran sesama sendiri, bertanya kepada kita – “kenapa engkau tidak menasihati aku dulu?” “Engkau tahu apa yang aku lakukan salah, kenapa engkau tidak ingatkan?” Na’zubillah. Mari kita ingatkan rakan kita, dengan penuh hikmah dan kasih.

7) Ketujuh – Hidayah akan kekal dengan Ilmu. Kita perlukan ilmu untuk berada di atas jalan yang benar. Terus dan terus dan terus tanpa henti menggali ilmu dari sana dan sini. Dari sumber yang sahih lagi dipercayai. Lebih banyak kita tahu lebih banyaklah kita tahu yang kita ini tidak tahu.

Untuk mendapat hidayah, kata mufti “JAGALAH MATA” Jagalah mata, kerana khuatir pandangan itu pandangan syaitan. Tundukkanlah pandangan. Menjaga mata dengan tidak melihat dan menilai apa yang orang lain pakai, tidak melihat kereta apa yang mereka bawa, atau melihat kelebihan mahupun kekurangan. Kenapa? Supaya lebih kurang rasa ingin membandingkan diri dan mengata. Supaya lebih kurang iri hati dan dengki hinggap di dalam hati ini. Semuanya bermula dengan mata.

# Berkongsi ilmu usrah dari Puan Wardina (Moga kebaikannya disebarkan mendapat berkat dan rahmat)

Tuesday, September 11, 2012

Tamakninah


Tamakninah dalam bahasa mudah bererti bertenang. Ibarat memandu sebuah kenderaan, waktu di persimpangan hentikan kereta sepenuhnya sebelum bergerak semula. Selagi kenderaan itu masih bergerak, tidaklah dikira tamakninah.

Rukun yang WAJIB disertakan tamakninah

1. Rukuk: Sewaktu kedudukan tulang belakang sudah sama rata dan kedua-dua belah tangan memegang kepala lutut, hentikan pergerakan seketika. Barangkali sempat membaca 'subhanAllah'.

2. Iktidal (bangun daripada rukuk): Pergerakan daripada rukuk terus menegak dan meluruskan semula tulang belakang seperti berdiri sebelum ini.

3. Sujud: Sewaktu semua anggota sujud yang tujuh (dua tapak tangan, dua lutut, dua kaki, satu dahi) mencecah lantai, hentikan sebarang pergerakan seketika.

4. Duduk antara dua sujud: Sewaktu duduk sambil membaca doanya, tidak harus bergerak anggota kadar.

Tempat yang sering diabaikan tamakninah

1. Iktidal. Terdapat sesetengah orang terutama orang tua, apabila bangun daripada rukuk kepada iktidal, belum sempat tulang belakangnya lurus, dia telah turun untuk sujud. (tambahan: *juga kepada jemaah lelaki yang suka menggoyangkan tangan sesudah takbir bangun dari rukuk dan mengangkat sedikit seluar sebelum sujud juga perlu peka kepada tamakninah). Solat ini tidak sah kerana tidak tamakninah.

2. Sujud. Waktu sujud kedua-dua kakinya bergerak-gerak dan ada yang mengangkatnya (tidak mencecahkan jari kaki ke lantai). Sujud dalam keadaan ini tidak sempurna dan tidak tamakninah maka solatnya tidak sah.

3. Bangun daripada sujud. Waktu bangun dari sujud, ketika hendak berdiri tegak ke rakaat seterusnya tidak ada tamakninah tetapi disunatkan duduk sebentar yang diberi nama duduk istirahat.

Monday, September 10, 2012

Solat dan khusyuk

Sembahyang 5 waktu secara lahirnya tidak berat kerana bacaan tidaklah panjang, tidak perlu masa yang lama sekitar 15 – 20 minit, boleh dilakukan di mana-mana. Ia juga tidak memerlukan perbelanjaan wang yang banyak, tidak menyusahkan dan tidak memenatkan. Tetapi mengapa Allah menyebut besar dan berat melainkan pada orang-orang yang khusyuk?

Khusyuk yang dimaksudkan ialah orang mukmin yang jiwa tauhidnya mendalam, rasa kehambaan melekat kuat dan dibawa ke mana-mana. Rasa cinta dan takutnya dengan Tuhan menguasai jiwa mereka. Mereka mudah kerjakan solat dalam kehidupan, bahkan rindu serta seronok mengerjakannya kerana mereka dapat bercakap-cakap, melepaskan perasaan rindu dan meminta ampun. Sembahyang sentiasa ditunggu waktunya hingga tidak sabar menunggunya dan terasa terlalu pendek. Oleh itu mereka banyakkan sembahyang sunat.


Berat ada 3 peringkat

A. Berat sebelum melakukan sembahyang

Bagi orang Islam yang hatinya tidak khusyuk oleh itu mereka merasa berat dan beban dengan sembahyang. Orang begini tidak akan menunggu waktu sembahyang. Apabila khusyuk dengan Tuhan tiada, sudah tentu ada perkara lain yang kita agung-agungkan yang menjadi otak dan jiwa kita mungkin banyak atau mungkin sedikit seperti cintakan glamour, anak isteri, kemasyhuran atau kesusahan ataupun semuanya. Orang yang begini tentu berat dan susah dengan sembahyang sebab gangguan kehidupan. Oleh sebab itu tidak larat untuk bersembahyang dan kalau dilakukan hanya fizikalnya sahaja sembahyang, fikiran dan hati tidak sembahyang.

Contoh – contoh berat sebelum sembahyang :

  1. Bila rasa sayang meninggalkan kerja. Ketika mengerjakannya rasa terpaksa dan terseksa.
  2. Bila sedang bersukaria dengan anak isteri tentu berat untuk sembahyang. Sembahyang pula dilakukan lewat dan tidak dari hati.
  3. Apabila sedang mesyuarat, sembahyang dipandang berat, maka sembahyang dipandang kecil dan kerana bimbang dengan mesyuarat. Lalu tertinggal atau qada’ maka tidak khusyuklah solat.
  4. Apabila sedang berkelah/berseronok dengan kawan-kawan sudah tentu sembahyang tidak diambil kiradan dipandang ringan. Apabila kenduri kendara kita jiwai supaya tiada cacat celanya maka sembahyang dilupai atau dilakukan dengan rasa terpaksa.
  5. Waktu musafir badan terasa letih, asyik dengan pemandangan dan seronok hingga terpesona maka berat untuk melakukan sembahyang.
  6. Apabila jiwa bertuhan tiada dan jiwa lemah, sembahyang tetap berat dan nak cepat-cepat. Lebih-lebih lagi untuk melaksanakan ikrar di dalam sembahyang.
Oleh itu orang yang hanya berfikiran tauhid bukan berjiwa tauhid tetap berat untuk sembahyang. Apa yang diingati oleh orang yang tak khusyuk di dalam sembahyang ialah perkara yang dijiwainya selain dari Allah dan ia besarkan maka itulah yang ringan dan mudah dilakukan. Ingatan inilah yang menggantikan ingatan pada Allah. Kawan-kawan, anak isteri, mengira-ngira duit, setiap kesusahan, dendam kesumat dan setiap apa yang dijiwai sama ada seronok atau susah itulah yang datang dalam sembahyang.


B. Berat semasa sembahyang

Bila rasa bertuhan tiada, sembahyang rasa terpaksa. Oleh itu sembahyang dilakukan dengan cepat-cepat. Maka mengerjakan
sembahyang terasa penat. Berat, jemu, tak sabar, lambat, tidak bertenang-tenang lebih-lebih tak sabar untuk hayati/faham setiap lafaz yang dibacanya. Akhirnya dibaca tanpa roh. Jika tarikan dunia lebih daripada itu maka masuklah perkara-perkara lain. Dan sembahyang dirasakan penat, jemu dan akhirnya boleh sampai tinggal sembahyang

C. Berat menunaikan tuntutan sembahyang

Dia seronok dengan sembahyang tetapi tak faham tuntutan sembahyang. Sewaktu sembahyang berbagai ikrar dibuat. Contohnya meminta jalan yang lurus iaitu jalan rasul-rasul dan ingin hidup ikut jalan Allah dalam seluruh aspek hidup. Ikrar dan janji yang sama diulang lima kali sehari.

Bagi orang yang khusyuk terasa amat takut dan bimbang. Oleh itu bila selepas sembahyang mereka sungguh-sungguh ikut ajaran Islam. Maka bimbang takut tak dapat laksanakan. Bezanya dengan orang yang berjiwa tauhid ialah mereka selalu lupa dan bohong dengan Tuhan. Janji tidak ditunaikan dengan Tuhan bahkan lupa dan tidak sungguh-sungguh. Orang yang khusyuk hatinya sentiasa takut seolah-olah belum menunaikan janjinya. Mereka yang tidak khusyuk tak sungguh-sungguh tunaikan janji kerana tarikan kepada Tuhan telah lemah. Oleh itu kehendak Allah walaupun telah berjanji tetapi amat berat untuk dikerjakan. Oleh itu berjanji untuk hidup ikut syariat tetapi yang diikut ialah teori-teori akal. Sembahyang tidak dikaitkan dengan ekonomi, politik dan sosial. Membangunkan sembahyang ertinya membangunkan tamadun. Contohnya di dalam sembahyang memerlukan kain.

Perusahaan untuk membuat kain adalah fardhu kifayah bagi umat Islam, dari sini akan lahir teknologi pertanian, kejenteraan, pengangkutan, import ekspot dan lain-lain lagi. Sebab itu kita lihat banyak tamadun Islam yang dibangunkan oleh orang-orang dulu.

“Sesungguhnya sembahyang itu sangat besar dan berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.”

Jaga Allah, nescaya Allah menjagamu.


Dari Ibnu Abbas RA, katanya: Pada suatu hari aku berada dibelakang Rasulullah SAW (boncengan), lalu baginda bersabda: Wahai anak, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan memelihara kamu, peliharalah Allah nescaya (Dia) akan berada dihadapan kamu, dan jika engkau memohon maka memohonlah kepada Allah, dan jika engkau meminta pertolongan maka mintalah pertolongan kepada Allah, dan ketahuilah bahawa sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk memberikan suatu manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah, dan sekiranya umat berkumpul (bersepakat) untuk mendatangkan bencana keatas kamu, nescaya mereka tidak akan mampu berbuat demikian melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan (ditakdirkan) oleh Allah. Dan telah diangkat segala pena dan telah kering segala buku.

(Hadis Hasan Sahih Riwayat Iman Tarmidzi)

SYARAH AL HADIS :

Peliharalah Allah, nescaya (Dia) akan memelihara kamu.

Maksudnya: Kita hendaklah sentiasa memelihara hukum hakam Allah, hak Allah, perintah Allah dan larangan Allah. Iaitu dengan mengerjakan suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.Amalan wajib yang paling utama agar dipelihara ialah ibadah solat. Dan juga termasuk kedalam makna pemeliharaan ini ialah kita mesti memelihara anggota badan kita daripada melakukan perkara perkara haram. Dan diantara hadis yang menyebut tentang pemeliharaan ini, ialah:
Ertinya: Barangsiapa yang memelihara apa yang terdapat diantara dua janggutnya (iaitu mulutnya) dan apa yang terdapat diantara dua kakinya (iaitu kemaluannya) maka dia masuk syurga. (Hadis dari Abi Hurairah).

Ringkasnya, ada dua makna yang dimaksudkan dengan memelihara Allah iaitu:

Memelihara hukum hakam yang berhubungan dengan amalan-amalan hati seperti keimanan (akidah), keikhlasan, rasa takut, cinta, harap dan sebagainya. Begitu juga seperti memelihara hati dari daripada segala jenis penyakitnya. Maka memelihara amalan hati ini adalah lebih penting dari memelihara amalan yang tidak bersangkutan dengan hati. Memelihara hukum hakam yang bersangkutan dengan amalan anggota yanq zahir. Apakah amalan itu membawa kepada kebaikan agamanya seperti solat, menutup aurat dan sebagainya atau yang dapat membawa kepada kebaikan dunianya iaitu muamalat atau aktibiti yang mendatangkan faedah.

Peliharalah Allah, nescaya kamu dapati Dia dihadapanmu:

Maksudnya: Jika kita memelihara Allah sebagaimana maksud diatas maka dia bukan saja akan mendapat pemeliharaan daripada Allah, malahan Allah akan berada dihadapannya iaitu bersamanya dimana saja dia pergi. Allah akan menolongnya, mengawalnya, memperkuatkan hatinya serta menunjukinya ke jalan yang lurus. Orang yang mendapati Allah besertanya akan selalu merasa tenang, gembira, kuat, dan tidak ada yang perlu ditakuti. Bukankah Allah telah menguatkan semangat Musa dan Harun AS ketika mereka merasa takut berhadapan dengan Firaun?

Allah berfirman: Janganlah kamu berdua takut, sesungguhnya Aku bersama kamu berdoa Aku Mendengan dan Melihat (Thaha: 46).

Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah menguatkan semangat Abu Bakar As Siddiq ketika beliau berdua berada dalam gua Tsur?
Firman Allah: Ketika orang orang kafir (mushrikin Mekah) mengeluarkannya (dari Mekah), sedang dia salah seorang dari dua orang ketika keduanya berada dalam gua, di waktu ia berkata kepada temannya: " Jangan kamu berduka cita, sesungguhnya Allah beserta kita. (At Taubah / 9 : 40).

Dan jika kamu memohon maka memohonlah kepada Allah: Maksudnya: Setelah kita meyakini bahawa jika kita memelihara hukum hakam Allah nescaya Allah akan sentiasa berada bersama kita dengan ilmunya, hidayahnya dan pertolongannya. Maka sudah sewajarnyalah jika kita memohon sesuatu hendaklah kita memohon kepada Allah yang Maha Dekat (Qarib) lagi Maha Pemberi (Wahhab), bukan kepada yang lain.

Permohonan manusia kepada Allah ada dua cara:

Melalui lisan. Mengungkapkan isi kandungan hati melalui lidah dengan penuh khusyuk dan merendah diri (tawadhu') dihadapan Allah yang Maha Kaya lagi Maha Berkuasa.
Melalui amalan. Apa saja amalan yang dilakukan, apakah sebagai pedagang, dokter, pekerja kilang, menuntut ilmu, hendaklah mereka sentiasa ingat kepada hukum hakam Allah ketika melaksanakan tugas masing masing sambil mengharap kiranya pekerjaan tersebut dapat membawa kebaikan baginya pada masa hadapan.

Dan jika kamu meminta pertolongan maka mintalah kepada Allah.

Kandungan nasihat ini mengandungi dua pengajaran:
Mengingatkan umat manusia bahawa mereka adalah makhluk yang lemah, kuasa mereka sangat terbatas, mereka tidak akan dapat mencapai apa yang mereka hajatkan tanpa bantuan pihak yang lain.
Mengingatkan umat manusia betapa kuasa Allah yang tiada tara dan batasannya. Segala penghuni langit dan bumi tunduk kepada ketentuan-Nya. Jadi atas dasar inilah maka manusia mestilah memohon sesuatu hanya kepada Allah. Kecuali dalam hal-hal biasa yang termampu dikerjakan oleh manusia, seperti mengangkat suatu barang, meminjam sesuatu dan lain-lain. Namun demikian kita juga mesti memohon kepada Allah agar dipermudah jalan untuk mendapatkannya.
Selain itu juga wajib diketahui bahawa memohon pertolongan kepada Allah atau berdoa kepada-Nya mestilah secara langsung secara terus menerus kepada-Nya, tidak melalui sembarang perantaraan atau wasitah dari manusia atau lainnya.

Tidak ada orang yang dapat memberi manfaat dan mudarat tanpa izin Allah:

Rasul saw. menerangkan kepada Ibnu Abbas RA bahawa sekiranya sekalian umat atau makhluk berkumpulan dan bersatu untuk memberi manfaat kepadanya ataupun sebaliknya mereka bersatu dan berkumpul untuk mendatangkan mudarat kepadanya, namun semua itu tidak mungkin akan terjadi kecuali apa yang telah dituliskan untuknya di Luh Mahfudz sejak azali.

Oleh sebab itu kita tidak seharusnya terlalu gembira atau berduka terhadap sesuatu yang dilakukan oleh orang lain terhadap diri kita. Kerana kita yakin bahawa segala-galanya adalah di dalam ketentuan Allah. Kalau di dalam ketentuannya tidak ada keputusan untuk memberikan sesuatu kepadanya, nescaya dia pasti tidak akan dapat memperolehinya walaupun seluruh makhluk bersatu berusaha untuk menolongnya. Demikian sebaliknya kalau ditentukan bahawa ia akan mendapatkannya, walaupun seribu halangan, pasti ia akan memperolehinya juga.

Allah berfirman: Dan jika Allah kenakan bahaya kepada engkau maka tidak ada yang dapat melepaskannya melainkan Dia. Dan jika dia mahukan kebaikan kepada engkau maka tidak ada yang dapat menolak kurnianya itu. (Yunus: 107)

KESIMPULAN:

1. Walaupun pada asalnya nasihat ini untuk Ibnu Abbas yang ketika itu masih muda remaja, namun prinsip pengajaran yang dikandung hadis ini adalah umum yang juga berguna untuk orang yang telah dewasa atau tua.

2. Memelihara Allah bererti memelihara agamanya. Memelihara agama bererti menjadi orang yang menuruti hukumnya dan mengikuti peraturannya. Dan itu tidak mungkin dapat dilakukan tanpa amal bakti, usaha dan ikhtiar. Melaksanakan suruhan Allah dan menjauhi larangan-Nya.

3. Para remaja hari ini terdedah dengan bermacaam pengaruh negatif. Sungguh banyak dikalangan mereka yang jatuh kelembah kehinaan. Mereka sebenarnya boleh mendapat pemeliharaan Allah. Tetapi bagaimana mereka akan mendapat pemeliharaan Allah kalau mereka sendiri tidak berusaha memelihara Allah?

4. Setiap orang tua mesti berusaha untuk memberi kefahaman tentang konsep yang terkandung dalam hadis ini kepada anak-anak mereka. Jika mereka dapat memahami dan mengamalkan konsep ini, selain tugas orang tua akan menjadi lebih ringan dan juga insya Allah para remaja mereka akan selamat di dunia dan di akhirat.




Friday, September 7, 2012

Dunia dari dua sisi

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sesekali aku merenung jauh memikir kehidupan lalu yang telah aku sia-siakan. Dunia tanpa rasa tenang, dunia tanpa rasa bahagia, tanpa pengertian. Sesekali aku menangis melihat percaturan manusia yang tiada pertimbangan. Diri dikawal mengikut rasa nafsu dan kepuasan hati yang telah terluka dan tersiksa akibat kepentingan dunia. Tapi kini, apabila aku merenung kembali, wajah-wajah itu telah pergi semuanya telah diganti dengan wajah senyuman yang bahagia, yang tenang dan membawa makna yang sangat mendalam. Kali ini aku menangis juga, tapi tangisan itu sangat luar biasa yang aku rasakan. Tangisan yang penuh rasa cinta dan bersyukur dengan setiap jejak langkah yang telah aku lalui.

Tapi siapa yang mengubahkan pandangan ku hingga menjadi sebegitu rupa daya dan gayanya? Aku mencari ketenangan yang sebenar. Aku mencari hakikat kebahagiaan yang sebenar. Rupanya ia tidak pernah jauh dari diriku sendiri. Ia berada di dalam jiwaku sendiri. Allah s.w.t telah menciptakan setiap makhluk mempunyai tanggungjawab dan fungsinya sendiri. Allah memerintahkan manusia untuk menerima tanggungjawab yang besar sebagai khalifah dimuka bumi ini. Hidup manusia bukan sekadar menuruti kehendak nafsu keduniaan.

Dari segi matlamat dan pencapaian, dari segi kejayaan dan usaha dari keduniaan dan pengakhirannya. Jika dilihat tanpa hati, hidup ini hanya sekadar membesar, menuruti keperluan diri, makan, berhajat dan tidur. Jika sekadar begitu, kita tidak akan memperolehi apa-apa kecuali apa yang kita lihat di dunia ini sahaja. Sebab itulah Allah memerintahkan agar manusia mencari ilmu. Dia turunkan Al-Quran untuk kita jadikan panduan.

Anugerah Tuhan itu tidak terhingga banyaknya. Tanpa halangan tanpa sekatan. Jika ia menghendaki maka terjadilah ia. Walaupun diberi sekadar bayangan ianya cukup membahagiakan. Batas hidupku dengan cara yang Allah anugerahkan. Berhukum hanya atasNya. Indahnya iman dengan ukhuwah kebaikan yang Allah aturkan. Hebatnya ketentuannya. Yang baik atau tidak baik semuanya punya pelajaran di atas satu garisan dan paksi Allah.

Apabila perjalanan hidup diteruskan dengan mengambil pelajaran setiap musibah dan kebahagiaan yang Allah beri, aku rujuk kepada ilmu yang telah kamu pelajari. Guruku seorang yang biasa, tetapi dialah yang memberi pelajaran kepadaku disaat aku belum mengerti tentang keimanan. Hari ini aku dewasa, memahami tiap didikan yang diberikan. Ibuku seorang yang biasa, tetapi mampu membina batas asas keimanan dalam diriku. Hari ini aku menjadi ibu dan bersyukur dengan kesederhanaan yang Allah anugerah. Dengan kesederhanaan juga aku bentuk batas keimanan buat diri anak-anak ku. Bukan dengan perkara yang berat tetapi bermula dengan cerita harian. Bagaimana dia melihat kewujudan Allah tanpa melihat Allah.

Untuk membina tamadun masa hadapan bermula dengan tindakan dan usaha kita sebagai ibu bapa hari ini. Belajar daripada pemerhatian, berfikir dan merenung kelemahan cara hidup kini. Asuhan perlu dibentuk dari peringkat awal.

Diri kita kini adalah gambaran pertama generasi kita akan datang. Wahai Ibu Bapa masa hadapan, tambahlah ilmu al-quran dan fahamilah pesanan Rasulullah. Perkenalkanlah anak-anak peringkat asas ini dengan kukuh. Ini kerana peringkat awal inilah mereka mempunyai daya ingatan kekal yang sangat kuat. Jadikan al-Quran dan hadis bualan harian sesama mereka, agar ianya tidak asing bagi mereka pada masa hadapan. Bentukkanlah mereka dengan mengidolakan manusia unggul umat Islam.

Masa hadapan mereka adalah ketentuan Allah. Tetapi usaha kita adalah ibadah kepada Allah dalam menjaga amanah yang diberikan.

Apa jua perkara yang berkaitan dalam hidup ini, pasti Allah akan memberi petunjuk.

Tetapi, dunia telah kulalui dari separuh usiaku.

Apa lagi yang harus kuharapkan dengan memenuhi kehendak manusia dan dunia. Dan apa pula yang aku perlu khuatirkan?

Allah telah menentukan takdir setiap manusia sejak azali. Cuma cinta kepada Allah sahaja yang belum aku rai dengan syukur yang telah rasulku aturkan. Justeru itu aku kini memilih Allah sepenuhnya dan amanah yang telah diberikan.

DUNIA DARI DUA SISI – Sisi pandangan manusia atau sisi pandangan Allah. Aku belajar melangkah menyusun semula kebenaran sebenar dari didikan Rasulku merai kesyukuran kepada Penciptaku. Terima Kasih Allah.