Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Al-Quran adalah cahaya, petunjuk dan ubat bagi apa yang ada di dalam hati manusia. Al-Quran merupakan tali Allah yang kuat, cahaya-Nya yang jelas dan pegangan yang sangat dipercayai. Barang siapa beriman kepada Al-Quran akan mendapat taufik daripada Allah s.w.t. Barang siapa yang berpegang teguh padanya, maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang mengamalkannya, bermakna dia telah menjadi orang yang beruntung dan berjaya.

ISLAM ITU INDAH, ALLAH ITU TERLALU HEBAT

Friday, August 7, 2015

Menuju Syurga Part III

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat, saudara, saudari yang dirahmati Allah,

Bertemu kembali kita dalam perjalanan "Menuju Syurga" Part III. Mari kita meneruskan usaha doa kita dan kekuatan cinta yang ingin kita dambakan dalam "Menuju Syurga Part II".

Sesungguhnya setiap nikmat yang kita perolehi itu bukan diperolehi tanpa bayaran, tanpa mujahadah, tanpa modal. Tidak apa di dunia ini yang akan kita perolehi secara percuma. Benar atau tidak? Imbas semula setiap detik yang berlaku dalam kehidupan kita. Perhatikan dengan sesungguh-sungguhnya. Bayaran itu kadangkala dibuat dengan kerugian, dengan penderitaan dengan kesakitan. Hasilnya tetap manis yang Allah anugerahkan dari episod kepahitan yang kita telah lalui. Maka bersabarlah dengan apa jua jalan yang berliku dihadapan kita, tiap sakit dan derita yang berlaku pada diri kita kerana buah ujian itu adalah pengetahuan yang maha hebat yang Allah anugerahkan di dalam jiwa yang cintakan Allah. Kelemahan kita adalah kerana dosa kita, maka terus bertaubat setiap masa dan ketika serta sentiasa memperbaiki akhlak diri. 

Sahabat, saudara, saudari yang dirahmati Allah,

Perjalanan menuju Syurga itu tidak pernah terhenti, usaha dan usaha dengan ilmu dan amal. Palingkan terus diri Mu dari bayangan Neraka, terus berdoa tanpa henti, terus memohon tanpa masa yang terluang tanpanya.

Step 1:- Percaya : Beriman

Didik latih hati percaya dan yakin - Ini bukan kerja mudah. Kita ada ilmu dan kita faham bahawa Keimanan itu terletak pada syarat Syahadat Islam kita bahawa Allah adalah satuNya Tuhan Sejagat. Itu kita faham, itu kita tahu, tetapi hakikatnya ia hanya terletak pada istilah tahu... sejauh mana kita mengangkat keEsaan Allah dalam jiwa dan tindakan kita. Sejauhmana pengakuan kita ini terpamer dengan tindakan kita apabila ditimpa ujian. Apabila ketidakpuasan hati berlaku dengan perubahan dan perbezaan yang tidak selari dengan kehendak kita. Semak dan kaji tafsir 

A002
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?

A003
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.

( Surah Al Ankabuut ayat 2 dan 3) 

Jawapan 

A216
Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

(Surah Al-Baqarah ayat 216). Jika kita benar beriman dan memilih jalan Syurga maka lapangkan hati, laluilah kehidupan ini dengan cinta. Cinta adalah pelali bagi  segala penyakit di dunia ini.

Hati yang sedang menuju Syurga perlu Jernih, Teguh & Lembut. Dengan keimanan, tiada sebab keluhan, tiada sebab kebencian, tiada sebab untuk bertanya kenapa, kerana itulah alquran dan hadis itu perlu untuk dijadikan panduan dan guru yang ikhlas dalam menjelaskan kelemahan dan kekurangan diri. Bagaimana untuk mendapatkan segalanya ini? Mohonlah pada Allah, dan Allah pasti akan temukan jawapannya... Kenapa kita begitu yakin untuk menyatakan segala nya perlu dengan doa terlebih dahulu? Kerana percaya bahawa Allah tidak akan menimpakan kita pada sesuatu yang kita tak mampu..

Ingat, penghalang keyakinan dan kedekatan diri daripada cinta Allah adalah dosa sendiri. Bayangan mudah agar kefahaman itu lebih ringan, cuba kita lihat perhubungan kita dengan saudara, sahabat kita, seandainya kita pernah melakukan dosa keatasnya, penganiayaan yang kita tidak sedari atau apa-apa jua kesalahan yang menyakitkan fizikal dan rohaninya... apakah kita mendapat kebaikan daripada perhubungan dengan nya? Pastilah kita takkan mendapat apa-apa jua kebaikan. Justeru itu... renungi kembali, renungi sedalam-salamnya kelemahan diri agar tersedar dimana silap diri yang menghalang kedekatan diri dengan cinta yang Agung Allah swt.

Bersihkan hati, lihat dengan lurus dan perhalusi laluan pelakuan diri dalam perjalanan hidup bersama keluarga dan sahabat-sahabat yang searah seperjalanan Menuju Syurga yang sejahtera. Berhenti meletakkan kesalahan pada orang lain, kerana laluan kita takkan menjadi laluan mereka dan tidaklah laluan mereka menjadi laluan kita. Bertenanglah....

Semoga Allah membantu kita semua dalam menuju ke Syurga yang sejahtera dan dijauhkan daripada seksaan Api Neraka. Amin

Wassalam.

Bersambung Mencari Syurga Part IV