Petikan Agama Berita Harian 2014/08/14
- 04:25:34 AM Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin
Allah
SWT sangat menyukai amalan yang istiqamah dan berkesinambungan kerana prinsip
istiqamah tidak terpisah dalam rangkaian ibadah selain menjadi roh untuk
menjiwai amalan serta menentukan amalan itu berkualiti atau sebaliknya.
Rasulullah
SAW bersab da: “Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah amalan yang
istiqamah (berterusan atau konsisten) walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari
dan Muslim)
Pertama, Utama perkara
fardu
Bagi
memastikan kita terus istiqamah melakukan amal kebaikan dan menjaga
kesinambungan amal ibadah, hendaklah sentiasa menjaga dan menitikberatkan
perkara fardu seperti solat lima waktu serta menyegerakan qada ibadah seperti
puasa untuk memperoleh reda Allah SWT.
Kedua, kita hendaklah
sentiasa memohon pertolongan daripada Allah SWT dengan sungguh hati supaya
diberikan hidayah dan keteguhan iman secara berterusan serta sentiasa berada di
landasan yang betul sebagaimana ditekankan oleh syariat Islam.
Ketiga, sentiasa
melakukan ibadah sunat walaupun dalam kuantiti yang sedikit dan membaca ayat
suci al-Quran secara berterusan, berusaha menghafaznya serta dibacakan dalam
solat fardu atau sunat. Amalan ini harus dipupuk supaya kita sentiasa
berinteraksi, mempelajari, memahami isi kandungan al-Quran.
Rasulullah
SAW: “Pertahankanlah dirimu bersama al-Quran ini, demi jiwa Muhammad yang ada
ditangan-Nya, sesungguhnya al-Quran ini lebih cepat hilangnya daripada cepatnya
ikatan tali unta yang terlepas.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Keempat, sentiasa berzikir
kepada Allah SWT, di samping sentiasa beristighfar kerana ia amalan yang tidak
sukar untuk dilakukan dan mempunyai manfaat besar iaitu dapat menguatkan iman
serta meneguhkan hati.
Kelima, sentiasa
menghadiri majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan tazkirah selain
berusaha mengenali serta menghayati sejarah hidup Rasulullah, sahabat dan tokoh
ilmuwan Islam.
Keenam, sentiasa berusaha
menjauhkan diri daripada perkara mungkar yang boleh merosak dan mematikan hati
seperti bersahabat dengan orang yang buruk akhlak, mengeluarkan kata-kata kesat
serta lucah kerana ia boleh menyebabkan hati menjadi keras serta sukar untuk
menerima hidayah Allah SWT.
Ketujuh, segera bertaubat
jika terlanjur melakukan dosa dengan taubat nasuha supaya tidak terjerumus
kembali ke lembah kehinaan dan maksiat. Mudah-mudahan dengan melakukan amalan
secara istiqamah menjadikan kita insan yang lebih bertakwa.
Semoga Allah merezekikan kita dengan keistiqamahan dalam berbuat kebaikan dan amal soleh. Amin
No comments:
Post a Comment