Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Al-Quran adalah cahaya, petunjuk dan ubat bagi apa yang ada di dalam hati manusia. Al-Quran merupakan tali Allah yang kuat, cahaya-Nya yang jelas dan pegangan yang sangat dipercayai. Barang siapa beriman kepada Al-Quran akan mendapat taufik daripada Allah s.w.t. Barang siapa yang berpegang teguh padanya, maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang mengamalkannya, bermakna dia telah menjadi orang yang beruntung dan berjaya.

ISLAM ITU INDAH, ALLAH ITU TERLALU HEBAT

Friday, September 7, 2012

Dunia dari dua sisi

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Sesekali aku merenung jauh memikir kehidupan lalu yang telah aku sia-siakan. Dunia tanpa rasa tenang, dunia tanpa rasa bahagia, tanpa pengertian. Sesekali aku menangis melihat percaturan manusia yang tiada pertimbangan. Diri dikawal mengikut rasa nafsu dan kepuasan hati yang telah terluka dan tersiksa akibat kepentingan dunia. Tapi kini, apabila aku merenung kembali, wajah-wajah itu telah pergi semuanya telah diganti dengan wajah senyuman yang bahagia, yang tenang dan membawa makna yang sangat mendalam. Kali ini aku menangis juga, tapi tangisan itu sangat luar biasa yang aku rasakan. Tangisan yang penuh rasa cinta dan bersyukur dengan setiap jejak langkah yang telah aku lalui.

Tapi siapa yang mengubahkan pandangan ku hingga menjadi sebegitu rupa daya dan gayanya? Aku mencari ketenangan yang sebenar. Aku mencari hakikat kebahagiaan yang sebenar. Rupanya ia tidak pernah jauh dari diriku sendiri. Ia berada di dalam jiwaku sendiri. Allah s.w.t telah menciptakan setiap makhluk mempunyai tanggungjawab dan fungsinya sendiri. Allah memerintahkan manusia untuk menerima tanggungjawab yang besar sebagai khalifah dimuka bumi ini. Hidup manusia bukan sekadar menuruti kehendak nafsu keduniaan.

Dari segi matlamat dan pencapaian, dari segi kejayaan dan usaha dari keduniaan dan pengakhirannya. Jika dilihat tanpa hati, hidup ini hanya sekadar membesar, menuruti keperluan diri, makan, berhajat dan tidur. Jika sekadar begitu, kita tidak akan memperolehi apa-apa kecuali apa yang kita lihat di dunia ini sahaja. Sebab itulah Allah memerintahkan agar manusia mencari ilmu. Dia turunkan Al-Quran untuk kita jadikan panduan.

Anugerah Tuhan itu tidak terhingga banyaknya. Tanpa halangan tanpa sekatan. Jika ia menghendaki maka terjadilah ia. Walaupun diberi sekadar bayangan ianya cukup membahagiakan. Batas hidupku dengan cara yang Allah anugerahkan. Berhukum hanya atasNya. Indahnya iman dengan ukhuwah kebaikan yang Allah aturkan. Hebatnya ketentuannya. Yang baik atau tidak baik semuanya punya pelajaran di atas satu garisan dan paksi Allah.

Apabila perjalanan hidup diteruskan dengan mengambil pelajaran setiap musibah dan kebahagiaan yang Allah beri, aku rujuk kepada ilmu yang telah kamu pelajari. Guruku seorang yang biasa, tetapi dialah yang memberi pelajaran kepadaku disaat aku belum mengerti tentang keimanan. Hari ini aku dewasa, memahami tiap didikan yang diberikan. Ibuku seorang yang biasa, tetapi mampu membina batas asas keimanan dalam diriku. Hari ini aku menjadi ibu dan bersyukur dengan kesederhanaan yang Allah anugerah. Dengan kesederhanaan juga aku bentuk batas keimanan buat diri anak-anak ku. Bukan dengan perkara yang berat tetapi bermula dengan cerita harian. Bagaimana dia melihat kewujudan Allah tanpa melihat Allah.

Untuk membina tamadun masa hadapan bermula dengan tindakan dan usaha kita sebagai ibu bapa hari ini. Belajar daripada pemerhatian, berfikir dan merenung kelemahan cara hidup kini. Asuhan perlu dibentuk dari peringkat awal.

Diri kita kini adalah gambaran pertama generasi kita akan datang. Wahai Ibu Bapa masa hadapan, tambahlah ilmu al-quran dan fahamilah pesanan Rasulullah. Perkenalkanlah anak-anak peringkat asas ini dengan kukuh. Ini kerana peringkat awal inilah mereka mempunyai daya ingatan kekal yang sangat kuat. Jadikan al-Quran dan hadis bualan harian sesama mereka, agar ianya tidak asing bagi mereka pada masa hadapan. Bentukkanlah mereka dengan mengidolakan manusia unggul umat Islam.

Masa hadapan mereka adalah ketentuan Allah. Tetapi usaha kita adalah ibadah kepada Allah dalam menjaga amanah yang diberikan.

Apa jua perkara yang berkaitan dalam hidup ini, pasti Allah akan memberi petunjuk.

Tetapi, dunia telah kulalui dari separuh usiaku.

Apa lagi yang harus kuharapkan dengan memenuhi kehendak manusia dan dunia. Dan apa pula yang aku perlu khuatirkan?

Allah telah menentukan takdir setiap manusia sejak azali. Cuma cinta kepada Allah sahaja yang belum aku rai dengan syukur yang telah rasulku aturkan. Justeru itu aku kini memilih Allah sepenuhnya dan amanah yang telah diberikan.

DUNIA DARI DUA SISI – Sisi pandangan manusia atau sisi pandangan Allah. Aku belajar melangkah menyusun semula kebenaran sebenar dari didikan Rasulku merai kesyukuran kepada Penciptaku. Terima Kasih Allah.

No comments:

Post a Comment