Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Al-Quran adalah cahaya, petunjuk dan ubat bagi apa yang ada di dalam hati manusia. Al-Quran merupakan tali Allah yang kuat, cahaya-Nya yang jelas dan pegangan yang sangat dipercayai. Barang siapa beriman kepada Al-Quran akan mendapat taufik daripada Allah s.w.t. Barang siapa yang berpegang teguh padanya, maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang mengamalkannya, bermakna dia telah menjadi orang yang beruntung dan berjaya.

ISLAM ITU INDAH, ALLAH ITU TERLALU HEBAT

Monday, September 24, 2012

Perlu ke Sakit Hati?

Ketika kita merasa sakit dihati, diatas sebab orang lain yang menyakitkan hati kita, mengusik keperibadian kita, mengusik cara hidup kita, mengusik rasa aman kita. Adakah kita wajar bersikap dan bertindak secara luar kawalan. Meluahkan rasa ketidakpuasan hati dengan pelbagai cara. Membakar sesuatu, melemparkan barang, menumbuk mereka yang terlibat , keluarga mereka, atau bangsa mereka. Adakah kita puas dengan cara dan tindakan begitu.

Adakah kita tidak boleh mengawal diri kita hingga hilangnya keperibadian tinggi kita. Hilang semua akhlak yang telah kita jaga hanya kerana seorang yang membangkitkan kemarahan kita. Adakah berbaloi kita menjual dan memusnahkan ketamadunan yang kita bina bertahun kerana rasa sakit hati yang tidak terkawal. Rasa kemarahan yang membuak-buak hingga hilang kewarasan. Alangkah gembiranya para Syaitan kerana berjaya mempermainkan kebodohan akal kita dan tunduk kepada nafsu yang mengheret kepada sesuatu yang tidak bermakna dan membawa kemusnahan diri, bangsa, agama dan negara.

Mungkin kita tidak melihat perkara ini secara meluas dan memahami hakikat sebaliknya. Cuba kita berhenti menurut nafsu dan berfikir sejenak. *Apabila seorang anak datang kepada kita dan mengadu bahawa dirinya disakiti, apakah jawapan yang patut kita beri kepadanya agar jawapan itu mampu mendidiknya pada hari itu dan masa hadapannya. #Jawapannya ialah bagus dan tahniah. Kenapa mesti bagus dan tahniah? “Wahai anak ku, apabila kawan mu menyakiti mu itu bermakna dia lemah. Dia ingin menguji kekuatan mu. Kawanmu ingin menguji adakah kamu itu lebih kuat darinya. Kamu patut rasa bangga dan ucapkan terima kasih kepadanya kerana menguji ketahanan kamu” dan berbahagialah dengan jawapan itu. Jangan sesekali kamu menangis atau pun marah kepada kawan mu kerana tindakan kamu itu akan menyebabkan kawan kamu tahu bahawa kamu lemah daripadanya dan  pasti mengusikmu lagi kelak. Apakah anda dapat merasakan situasi ini? Jika anda dapat memberi kefahaman yang baik kepada anak-anak anda dan menerapkan nilai-nilai positif ini, pasti kita akan membentuk umat Islam yang kuat pada masa hadapan. Jiwanya kental apabila diuji. Jiwanya kuat apabila menerima usikan dan penganiayaan.

Kita jangan terlalu mudah mengikat diri kita dengan rasa sakit dan rasa letih, jangan terlalu mudah rasa terusik pada perkara-perkara yang tidak bermakna dan membawa kemusnahan dan harga diri yang telah kita bina. Kita sebenarnya perlu rasa terhina dan lebih hina daripada orang yang menghina dengan tindakan kita yang tidak wajar dipertontonkan kepada mereka yang ingin mencari kelemahan kita. Adakah kita rasa puas sebenarnya dengan meluahkan rasa kemarahan. Marah itu boleh tapi marahlah pada diri sendiri yang lemah dalam menghadapi ujian. Bukan marah kepada orang yang menghina. Mereka ingin mendapatkan pelajaran daripada usikan mereka, tapi kita yang mempunyai ilmu dan pelajaran kalah dengan menunjukkan contoh yang salah. Apabila kita menunjukkan contoh yang salah maka mereka pon bergembira kerana mereka lebih kuat daripada kita.

Adakah kita puas menunjukkan ilmu bahawa kita berada dijalan yang benar hingga menimbulkan riak bahawa aku lah yang maha mengetahui, akulah yang lebih memahami. Sebenarnya kita telah menonjolkan kebodohan kita dalam memberi jawapan. Kita menunjukkan bahawa hati kita tidak ikhlas dalam menunjukkan jawapan kerana jawapan yang kita beri mempunyai unsur riak yang kita tidak sedari, tetapi disedari oleh musuh-musuh yang ingin menjatuhkan kita. Berilah jawapan yang mampu menunjukkan nilai akhlak kita dengan kerendahan hati yang sangat dirasa oleh orang yang membenci kita agar menimbulkan rasa cinta mereka kepada pemimpin akhlak kita iaitu Allah melalui rasulullah. Inilah jawapan nilai hati dan jiwa yang ikhlas.

Ianya tidak berbaloi memberi jawapan kepada soalan itu. Hakikatnya ia mempunya makna menghina. Mungkin kita rasa bangga tapi hakikatnya kita telah perangkap dalam jerangkap Syaitan. Sebagai orang Islam, tidak wajar kita menurut nafsu. Pimpinlah hati dengan sikap rasa rendah diri, ikhlas dan sederhana. Kita semua punya Allah yang menetapkan sesuatu dengan tujuan kebaikan walaupun kita merasakan peritnya. Itu tanda Allah menguji ketahanan hati, jiwa, mental dan fizikal kita dalam menghadapi peraturan hidupNya bagi mengangkat darjat kefahaman kita dalam menghadapi dugaan dalam hidup. Moga umat Islam ditambahkan keimanan dan rasa kecintaan kepada Allah yang mampu memimpin kebahagiaan di dunia dan diakhirat. Amin. Ingatlah, bahagia dunia bukan bererti bahagia kemewahan tetapi bahagia dunia ialah dengan membuang keduniaan dari segi rohani, dari segi jasmani, usaha adalah wajib dan bertanggungjawab pada amanah yang telah Allah kurniakan. Moga berbahagia (“,)v

No comments:

Post a Comment