Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Al-Quran adalah cahaya, petunjuk dan ubat bagi apa yang ada di dalam hati manusia. Al-Quran merupakan tali Allah yang kuat, cahaya-Nya yang jelas dan pegangan yang sangat dipercayai. Barang siapa beriman kepada Al-Quran akan mendapat taufik daripada Allah s.w.t. Barang siapa yang berpegang teguh padanya, maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang mengamalkannya, bermakna dia telah menjadi orang yang beruntung dan berjaya.

ISLAM ITU INDAH, ALLAH ITU TERLALU HEBAT

Tuesday, July 22, 2014

Solat itu mengajar kita MELIHAT DIRI SENDIRI / MUHASABAH / MEDITASI

Solat yang sempurna mencapai prinsip meditasi. Justeru itu sepatutnya umat Islam itu lebih tenang dan berjaya dalam kehidupan ini. Apa perlunya merenung diri? Tujuannya adalah mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya.

Kualiti hidup bergantung pada kualiti fikiran dan emosi. Cara kita berfikir dan melihat sesuatu perkara atau seseorang, menentukan emosi kita dan akhirnya itulah yang akan menjadi diri kita. Kita perlu lihat semua orang dengan kasih sayang dan kesyukuran, jauhi prasangka dan buruk sangka.

Dalam kehidupan ini kita perlu memperbanyakkan melihat kelemahan diri sendiri berbanding melihat kelemahan orang lain. Syukur dengan kelebihan dan kekurangan yang ada kerana apa jua yang Allah limpahkan kepada kita adalah yang terbaik untuk diri kita.

Cuba lihat diri kita di cermin. Siapakah diri kita yang sebenar? Hakikatnya, kita lihat dalam cermin itu ialah diri kita yang telah berubah dari segi fizikal. Yang kekal ialah roh kita, roh kita hanya satu, tidak akan berubah walaupun usia kita berubah dan fizikal kita berubah.

Roh kita sangat perlukan makanan rohani. Bagi mendapat ketenangan, banyakkan bertaubat, berselawat dan beramal. Sikap (dalaman) yang positif akan memberikan gambaran fizikal (luaran) diri yang positif.

Jika dunia dalaman" kita positif kita akan beri kebaikan kepada orang (dunia luaran), dan akhirnya kita akan dapat semula balasan kebaikan kita itu (kebahagiaan). Sebaliknya kalau dunia dalaman" kita negatif tindak-tanduk kita kepada orang (dunia luaran) juga negatif dan kita akan dapat (kebencian) orang kepada kita.

Semua orang mahu hidup yang lebih baik. Bagaimanapun, jika tidak mengubah fikiran, tidak menjaga emosi dan tidak mengawal tindakan dan tidak akan berlaku perubahan kehidupan, sila audit diri dan refleksi diri, carilah masa untuk hal itu.

Sesungguhnya apa yang berlaku disekitar kita adalah pelajaran untuk kita melihat diri kita sendiri iaitu sebagai cerminan diri kita. Semua peristiwa, sama ada yang baik atau yang buruk sebagai pelajaran kehidupan. Sibukkanlah diri kita untuk meneliti dan mencari kelemahan diri sendiri, hingga tidak sempat untuk melihat dan mencanang kelemahan orang.

Solat adalah satu bentuk meditasi, meditasi adalah satu cara memfokuskan pada sesuatu dan tenangkan fikiran, fokus pada sesuatu samada bacaan, musik, pernafasan, imaginasi dan sebagainya. Didalam Islam, solat itu melakukan beberapa gerakan tetapi fikiran kita perlu khusyuk/fokus kepada Allah dan zat-zatNya, tiada bezanya dengan meditasi, prinsipnya tetap sama. Kaedah ini dapat memulihkan fungsi otak dan kualiti pemikiran kita.

Jadi ada perbezaannya mereka yang solat dan tidak dan ada bezanya mereka yang khusyuk dan tidak, jadi solatlah kamu dengan khusyuk agar kamu mendapat keredhaan Allah dan menjadi manusia yang lebih bijak pemikirannya.

Oleh itu, perbanyakkan solat dan solat menjauhkan manusia dari kemungkaran. Ia menjadikan kita manusia yang lebih berkualiti dalam kehidupan. Berfikiran positif dan redha pada qada dan qadar yang telah Allah tetapkan. Orang Islam itu tenang jiwanya.

2 comments: