Apabila seseorang itu hampir tiba ajalnya, maka Allah
akan memerintahkan malaikat maut mengambil nyawanya. Ketika itu malaikat akan
tahu bila seseorang itu akan mati, di mana dan dalam keadaan bagaimana. Sebelum
itu malaikat tidak tahu.
Setiap orang mempunyai ketentuan ajal masing-masing.
Apabila kematian seseorang itu telah ditentukan, maka ajal itu akan datang,
tidak berganjak, terdahulu atau terkemudian daripada tarikh yang telah
ditetapkan. Itulah ketentuan daripada Allah yang tidak dapat diingkari oleh
manusia. Allah mahukan agar setiap hamba-Nya reda dengan qadak dan qadar
ketentuan Allah.
Apabila
nyawa seorang Islam yang beriman itu hendak diambil, Allah mewahyukan kepada
malaikat maut, ``kirimkan salam-Ku kepadanya.'' Maka apabila malaikat itu
datang kepadanya untuk mengambil rohnya, malaikat akan berkata: ``Tuhanmu kirim
salam padamu.''
Dalam sebuah hadis lain, daripada Muhammad al-Quradzi
menyatakan bahawa apabila sampai ajal seorang mukmin, datanglah malaikat maut
berkata: Sejahtera di atasmu wahai kekasih Allah. Allah mengirim salam padamu.
Dalam surah an-Nahl: 32 dijelaskan, orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang
dimatikan dalam keadaan yang baik oleh para malaikat dengan mengucapkan kepada
mereka, ``selamatlah kamu.''
Abu Hurairah memberitahu, bahawa Rasulullah ada
bersabda menyatakan bahawa sesungguhnya orang yang beriman itu apabila hendak
diambil rohnya, maka datanglah malaikat rahmat yang membawa sehelai sutera
putih, lalu keluarlah daripadanya wangian. Wanginya lebih harum daripada bau kasturi,
sehingga sebahagian mereka dapat menghidunya. Mereka menamakannya dengan
sebaik-baik nama untuknya, sehingga mereka membawanya ke sebuah pintu daripada
pintu langit.
Para malaikat bertanya, apakah bau-bauan ini
didatangkan dari bumi. Setiap kali ia memasuki langit, penjaga-penjaga pintu
akan mengucapkan kata-kata seperti itu, sehingga dia bersama segala roh orang
yang beriman.
Dalam sebuah hadis lain, Abu Hurairah memberitakan
bahawa Nabi bersabda: Sesungguhnya orang mukmin itu apabila tiba ajalnya,
datanglah kepadanya malaikat dengan sekeping kain sutera, padanya ada kasturi,
ambar dan harum-haruman. Maka mengalirlah rohnya seperti tercabutnya sehelai
rambut daripada adunan tepung dan diucapkan kepadanya: Wahai jiwa yang tenang,
keluarlah dalam keadaan reda atas kamu menemui Allah dan kemuliaan-Nya. Apabila
rohnya telah keluar, ia diletakkan di atas kasturi juga bau-bauan, lalu kain
sutera itu pun dilipat dan dibawa bersamanya ke Illiyiin - hadis riwayat
al-Barra.
Rasulullah menjelaskan bahawa roh seseorang yang
beriman itu tidak akan dicabut, keluar daripada jasad sehinggalah Allah
memperlihatkan tempatnya yang kekal kelak, iaitu di syurga.
Sesungguhnya,
kematian bagi orang yang beriman itu adalah rehat daripada segala kedukaan
dunia. Dalam keadaan seumpama ini, tidak ada sesuatu perkara yang ghaib, yang
dinantikan oleh orang yang beriman, lebih baik daripada kematian.
Sesungguhnya, kehidupan di dunia ini pinjaman
semata-mata. Orang yang bijak akan menjadikan dunia ini laluan semata-mata, seumpama
tidak ubah orang yang menyemai, bakal dituai di akhirat kelak. Itulah orang
yang mendapat hidayah Allah, mentaati perintah-Nya dan menjauhi segala
larangannya.
Manusia hidup perlu berjuang. Mempunyai tanggungjawab
yang mesti dipikul, untuk diri sendiri, keluarga, agama dan negara. Di mana
bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Yang terbaik menang, dan yang leka akan
tinggal ke belakang. Itulah adat perjuangan. Kekayaan yang dimiliki, anggota
tubuh badan yang dinikmati mesti digunakan sebaik mungkin, termasuk usia yang
diberi.
Semuanya akan ditanya oleh Allah, untuk apa,
bagaimana dan kenapa ia digunakan. Mereka yang terpesona dengan keindahan dunia
akan hanyut di bawah tekanan dan kekangan nafsu. Kerana itu, selagi nyawa ada
di badan, perjuangan mesti diteruskan.
Orang yang beriman, menggunakan segala amanah yang
diberi oleh Allah sebaik mungkin, sentiasa bersedia menghadapi mati, lantaran
mati itu boleh berlaku pada bila-bila masa menurut ketentuan Allah.
Sebelum mati, ia akan didatangi oleh malaikat maut
yang membawa salam daripada Allah, petanda kasih Allah, menjemput kekasih-Nya
kembali menemui-Nya. Sebelum roh berpisah dengan jasad, Allah perlihatkan
syurga baginya.
Syurga adalah kemuncak segala nikmat yang tidak dapat
diluahkan melalui ungkapan kata. Bagi mereka yang berjuang untuk hidup di
dunia, untuk diri, agama, negara, keluarga dan kerana Allah, apabila
diperlihatkan kepadanya syurga, hamba berkenaan akan merasai betapa nikmatnya
hidup di syurga, berbanding dengan hidup di dunia yang penuh dengan pelbagai
perjuangan, hiruk-pikuk penipuan dan pesona.
Orang yang berada dalam pesona syurga, ketika dalam
keadaan sakaratul maut tidak dapat menahan diri untuk menikmati syurga yang
diperlihatkan kepadanya.
Walaupun demikian, hamba berkenaan tidak akan dapat
menikmati kehidupan di syurga, kecuali setelah mati terlebih dahulu. Kerana
itulah hamba berkenaan terlalu inginkan mati, untuk segera menikmati syurga.
Mati bererti menemui Allah, kerana itu, apabila
seorang hamba yang beriman itu reda untuk mati, bererti dia reda untuk bertemu
Allah. Dalam keadaan sedemikian rupa, apabila seseorang itu reda untuk bertemu
Allah, maka Allah lagi suka menemui hamba berkenaan.
Hibaan bin al-Aswad pernah berkata, ``mati itu lebih
baik bagi menyampaikan seorang yang kasih, kepada kekasihnya, iaitu Allah''
Sesungguhnya, apabila seseorang itu telah meninggal
dunia, hakikatnya dia telah meninggalkan kehidupan yang fana, yang tidak kekal
ini. Apabila dimasukkan dalam kubur, dia berada di alam arwah atau alam
roh-roh. Kehidupan di alam kubur adalah sebahagian daripada alam akhirat. Di
antara alam fana dan alam akhirat ada pendinding yang tidak boleh
tembus-menembusi di antara satu dengan yang lain.
Bagi orang yang beriman, selain dipermudahkan ketika
sakaratul maut, diberi penghormatan seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis
yang diterangkan di atas, ia juga diberi nikmat ketika di kubur.
Perbandingan seorang mukmin ketika hidup di dunia,
adalah seperti janin dalam kandungan ibunya. Apabila dia telah keluar daripada
kandungan, dia menangis di tempat keluarnya, sehingga dia melihat sinar dan
menyusu, ketika itu dia tidak ingin lagi untuk pulang ke dalam rahim.
Begitulah
keadaan orang yang beriman yang telah mati dan menemui Tuhannya, tidak lagi dia
ingin untuk kembali ke dunia, tidak ubah seumpama janin yang tidak ingin ke
dalam rahim ibunya.
Gambaran
nikmat yang dijelaskan ini adalah bagi mereka yang beriman. Ketika hampir mati
dan melihat apa yang telah disediakan oleh Allah untuk dirinya, mereka begitu
ingin untuk keluar dari dunia, iaitu mati. Bagi orang kafir, apabila hampir
mati dan melihat apa yang disediakan oleh Allah, akan menjadi benci untuk
keluar dari dunia, kerana itu Allah juga benci menemuinya.
Ibn
Juraij memberitahu bahawa Nabi pernah bersabda kepada Aishah radialahuanha:
Apabila seorang mukmin itu melihat para malaikat, mereka akan bertanya:
Inginkah engkau kiranya kami kembalikan engkau ke dunia. Orang yang beriman itu
bertanya: Ke negeri sedih dan dukacita. Kerana itu segeralah bawa kami kembali
kepada Allah subhanahu wa taala.
Mati
bukan penghujung kehidupan seseorang yang sebenar, kerana selain daripada hidup
di dunia, manusia akan dibangkitkan di akhirat yang kekal lagi abadi. Allah
menjanjikan kebahagiaan mereka yang beriman kepada-Nya di dunia dan di akhirat,
termasuk ketika menghadapi saat genting sakaratul maut.
Berdukacita, merintih rindu tidak berupaya merobah
keadaan biar sedikit pun. Zaid bin Aslam pernah memberitahu, ``apabila seorang
mukmin itu didatangi waktu hampir mati, akan diucapkan kepadanya, jangan kamu
takut terhadap peristiwa yang akan berlaku, di mana ketakutan pasti terhapus.
Jangan dukacita terhadap dunia dan penghuninya,
iaitu keluargamu. Gembirakan dengan nikmat syurga, di mana segala kebimbangan
akan lenyap. Jangan berdukacita, kamu pasti akan meninggalkannya, padahal
ketika itu, iaitu sebelum meninggal, Allah telah pun menenangkan hatinya.''
Ad-Dhaaak
menjelaskan bahawa kegembiraan itu diketahui oleh mereka yang beriman sebelum
roh berpisah dari badan dan mereka telah mengetahui di mana mereka akan berada,
iaitu di syurga.
Tidak
mudah mengikis rasa rindu kehilangan orang yang dikasihi. Demikianlah di antara
tanda-tanda kasih sayang. Tidak mudah memujuk kesunyian hilang teman, hilang
tempat bergurau senda dan mengadu kasih, tempat harapan. Berapa berat mata
memandang, berat lagi bahu yang memikul.
Walaupun demikian, kalau setiap orang itu berupaya
memikiri tentang ketetapan Ilahi, qadak dan qadar ketentuan Allah, kesedaran
akan timbul, bahawa tidak ada manusia yang berupaya mengubah ketentuan-Nya.
Allah Maha Mengetahui rahsia yang tidak terungkai oleh pemikiran manusia di
atas ketetapan-Nya.
Sesungguhnya di sebalik rindu dan rasa hampa, tenaga,
masa dan pelbagai usaha tetap diperlukan untuk menghadapi sisa-sisa hidup yang
masih tidak menentu.
AlFatihah buat arwah Rohana Bt. Mohd Nawi pada 6hb Julai 2014 bersamaan 8 Ramadhan. Moga ruhnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin
Siapa
Orang Yang Paling Cerdik?
Ibnu Umar r.a pernah berkata, “Aku pernah mengadap Rasulullah s.a.w
sebagai orang ke sepuluh yang datang, lalu salah seorang dari kaum Anshor
berdiri seraya berkata, “Wahai Nabi Allah, siapakah manusia yang paling cerdik
dan paling tegas?” Beliau menjawab, “(adalah) Mereka yang paling banyak
mengingat kematian dan paling siap menghadapinya. Mereka itulah manusia-manusia
cerdas; mereka pergi (mati) dengan harga diri dunia dan kemuliaan akhirat.”
(HR. Ath-Thabrani, disahihkan al-Munziri)
Manfaat
Mengingat Kematian
Di antara faedah mengingat kematian adalah:
- Mendorong diri untuk bersiap-siap menghadapi kematian sebelum
datangnya.
- Memendekkan angan-angan untuk lama tinggal di dunia yang fana
ini, kerana panjang angan-angan merupakan sebab paling besar lahirnya
kelalaian.
- Menjauhkan diri dari cinta dunia dan redha dengan yang sedikit.
- Menguatkan keinginan pada akhirat dan mengajak untuk berbuat
ta’at.
- Meringankan seorang hamba dalam menghadapi ujian dunia.
- Mencegah kerakusan dan ketamakan terhadap nikmat duniawi.
- Mendorong untuk bertaubat dan muhasabah kesalahan masa lalu.
- Melembutkan hati, membuat mata menangis, memberi semangat untuk
mendalami agama dan menghapuskan keinginan hawa nafsu.
- Mengajak bersikap rendah hati (tawadhu’), tidak sombong, dan
berlaku zalim.
- Mendorong sikap toleransi, mema’afkan teman dan menerima
kesalahan dan kelemahan orang lain.
Perkataan
Orang-Orang Arif
Al-Qurthubi r.a berkata, “Umat sepakat bahwa kematian tidak
memiliki usia tertentu, masa tertentu dan penyakit tertentu. Hal ini
dimaksudkan agar seseorang senantiasa waspada dan bersiap-siap menghadapinya.”
Yazid Ar-Raqqasyi r.a. berkata kepada dirinya, “Celakalah engkau
wahai Yazid! Siapa orang yang akan menggantikan solatmu setelah mati? Siapa
yang berpuasa untukmu setelah mati? Siapa yang memohon keredhaan Allah untukmu
setelah mati? Wahai manusia! Tidakkah kamu menangis dan meratapi diri sendiri
dalam sisa hidup kamu? Siapa yang dicari maut, kuburan jadi rumahnya, tanah
jadi katilnya dan ulat jadi teman rapatnya, lalu setelah itu ia akan menunggu
lagi hari kecemasan yang paling besar; bagaimana keadaan orang yang seperti ini
nanti.?” Beliau pun kemudian menangis.
Ad-Daqqaq r.a. berkata, “Siapa yang banyak mengingat kematian,
maka ia akan dimuliakan dengan tiga perkara: Segera bertaubat; Mendapatkan
kepuasan hati; dan bersemangat dalam beribadah. Dan siapa yang lupa akan
kematian, maka ia akan disiksa dengan tiga perkara: Menunda untuk bertaubat;
Tidak merasa cukup dengan yang ada dan malas beribadah.”
Al-Hasan Al-Bashri r.a. berkata, “Sesungguhnya kematian ini
telah
menghancurkan kenikmatan yang dirasakan para penikmatnya. Kerana
itu, carilah kehidupan yang tidak ada kematian di dalamnya.”
Faktor-Faktor
Pendorong Mengingat Kematian
- Ziarah kubur. Nabi s.a.w. bersabda, “Berziarah kuburlah kamu,
sebab ia dapat mengingatkanmu akan akhirat.” (HR. Ahmad dan Abu Daud,
disahihkan Syaikh Al-Albani)
- Melihat mayat ketika dimandikan.
- Menyaksikan orang-orang yang tengah sekarat dan menalqinkan
mereka dengan kalimat syahadat.
- Mengiringi jenazah, solat ke atasnya serta menghadiri
pengkebumiannya.
- Membaca Al-Qur’an, terutama ayat-ayat yang mengingatkan akan
kematian dan sakratul maut seperti ayat 19 surat Qaaf.
- Uban dan Penyakit. Kedua hal ini merupakan utusan malaikat maut
kepada para hamba.
- Fenomena alam yang dijadikan Allah s.a.w. untuk mengingatkan
para hamba akan kematian seperti gempa, gunung meletus, banjir, badai dan
sebagainya.
- Membaca berita-berita tentang umat-umat masa lalu yang telah
dibinasakan oleh maut.
Semoga Allah s.w.t. menutup akhir hayat kita dengan Husnul
Khatimah dan menerima semua amal soleh kita, Amin.
No comments:
Post a Comment