Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Al-Quran adalah cahaya, petunjuk dan ubat bagi apa yang ada di dalam hati manusia. Al-Quran merupakan tali Allah yang kuat, cahaya-Nya yang jelas dan pegangan yang sangat dipercayai. Barang siapa beriman kepada Al-Quran akan mendapat taufik daripada Allah s.w.t. Barang siapa yang berpegang teguh padanya, maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang mengamalkannya, bermakna dia telah menjadi orang yang beruntung dan berjaya.

ISLAM ITU INDAH, ALLAH ITU TERLALU HEBAT

Wednesday, November 5, 2014

Malam Pertama Saad Bin Muaz

Tersentuh hati ini bila membaca kisah Sa'ad B. Muaz, justeru itu saya ingin kongsikan untuk semua bahawa beliaulah disaat kematiannya disambut oleh 70,000 malaikat dan telah menggegarkan Arasy Allah.

Sa'ad b. Muaz memiliki kulit yang tersangat hitam, ada riwayat mengatakan lebih hitam dari Bilal... Beliau mengenali Islam ketika berusia 31 tahun....dan hanya sempat menjalani kehidupan sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W selama 6 tahun, sebelum Syahid di medan perang.

Diceritakan, Sa'ad b. Muaz ingin berkahwin, namun selalu ditolak pinangannya kerana kekurangan dari segi sifat fizikalnya yang terlalu hitam...Rasa kecewa dengan perkara itu lalu beliau mendatangi Rasulullah untuk mengadu, “wahai Rasulullah, .. adakah aku ini hina kerna kulitku yang hitam sehingga pinanganku ditolak berkali-kali..?” ..lalu Rasulullah bekata “...jangan bimbang Sa'ad, engkau adalah orang yang aku jamin”...

Suatu hari, Rasulullah SAW menyuruh Sa'ad b. Muaz meminang seorang perempuan yang merupakan perempuan yang cantik di Madinah,.. namun Sa'ad enggan, kerana rasa kecewa dengan penolakan pinangan-pinangan sebelum ini.... Hanya setelah Rasulullah memberi jaminan, barulah Sa'ad berani pergi meminang.

Sampai di rumah keluarga perempuan itu, beliau duduk berbual bersama tuan rumah, beliau menyatakan hasratnya datang untuk masuk meminang,..dan perkara itu menyebabkan bapa perempuan itu terdiam seketika... Disebabkan terkejut, bapa perempuan itu telah menghalau Sa'ad dari rumahnya. Sa'ad beredar dari rumah itu kembali untuk bertemu Rasulullah dengan perasaan yang sedih...

Perempuan yang dipinang itu keluar dan bertanya kepada bapanya mengapa menolak pinangan tersebut ?,... kerana lelaki itu adalah pilihan Rasulullah.... Maka, segera si bapa berlari berjumpa Rasulullah bagi mengelakkan Sa'ad sempat berjumpa Baginda ...Kemudian datang bapa gadis tersebut menemui Rasulullah dan memohon maaf kerana menolak pinangan Sa'ad sebelum itu dan menyatakan persetujuaannya di atas pinangan tersebut.

Ditanya Rasulullah kepada Sa'ad, adakah beliau mempunyai duit untuk berkahwin ?... Maka jawab Sa'ad ..tiada, lalu Rasulullah menyuruh beliau menemui Abdul Rahman bin Auf dan meminta 20 dinar, menemui Abu Bakar dan meminta 10 dinar dan Saidina Ali berjumlah 10 dinar.

Maka, apabila beliau berjumpa dengan sahabat Rasulullah yang tersebut dan mengetahui perintah tersebut, Saidina Abdul Rahman b. Auf telah memberikan 40 dinar, manakala Saidina Abu Bakar dan Saidina Ali memberikan 20 dinar setiap seorang. Sa'ad kini telah mempunyai 80 dinar untuk perkahwinannya. Rasulullah menyuruh Sa'ad menggunakan 40 dinar untuk perkahwinannya dan 40 dinar lagi untuk persiapan selepas perkahwinan iatu peralatan memasak dan sebagainya..

Sa'ad b. Muaz pun pergi ke pasar bagi tujuan membeli peralatan-peralatan tersebut... Sedang beliau memilih dan membelek barang-barang, terdengar panggilan seruan untuk berjihad ke medan peperangan kerana musuh telah tiba. Sa'ad terdengar seruan jihad dari Rasulullah “ wahai pemuda2 Islam !!.. bersiap sedia segera... kerna musuh sedang datang untuk menyerang kita..!!! ”...Maka secara tiba-tiba, terlupa Sa'ad akan tujuan asal datang ke pasar,... terlupa perempuan cantik bakal isterinya dan majlis perkahwinannya... Beliau sebaliknya telah menggunakan wang tersebut untuk membeli kuda, pedang dan baju perisai bagi menyahut seruan jihad itu.

Ketika sampai di Medan perang... mereka yang bersedia untuk berjihad telah berkumpul dan membentuk barisan,.. Sa'ad pergi ke barisan hadapan sekali, ...Beliau menutup seluruh muka dan tubuhnya, sehingga dia tidak dikenali oleh semua ahli pasukan yang ikut berperang... Para sahabat berbisik-bisik kagum dengan kegagahan beliau dan menganggap mungkin orang Yeman yang turut serta berjuang bersama-sama mereka.

Dalam peperangan itu, kuda yang dinaiki Sa'ad telah dipanah hingga jatuh... dan beliau bangun dan menyinsing lengannya... Ketika itulah sahabat mengecamnya dari warna kulit beliau yang Hitam legam itu.... Beliau akhirnya telah syahid tanpa sempat berkahwin dan menyentuh bakal isterinya. Dan diceritakan oleh Rasulullah SAW,... 70,000 Malaikat di langit dan bumi menyaksikan Sa'ad gugur syahid,... sehingga 'Arasy' di langit ketujuh bergegar kerana tangisan para malaikat.

Sa'ad b. Muaz dimuliakan oleh Allah di saat kematiannya... seorang yang hanya 6 tahun jangka hayatnya dalam Islam..

Tuesday, November 4, 2014

TV Al-Hijrah

Hijrah ku bersama TV Al-Hijrah

Kemanisan iman ku bersama TV Al-Hijrah. Pertama kali diri ini menyaksikan TV Al-Hijrah, terpanggil sungguh diri ini untuk terus menikmati paparan yang disiarkan. Terdetik hati ini, "inilah rancangan TV yang ku nantikan selama ini". Penuh dengan rancangan positif, membina minda, membersihkan jiwa, mendidik keimanan. Sungguh benarlah.... bahawa, "Segalanya Bermula Disini".

JANTUNG HATI KU

SELAMAT ULANG TAHUN YANG KE 4 PENGHIJRAHAN KAMI. Moga terus istiqamah dengan kebaikan.




Tuesday, October 14, 2014

Peta Kehidupan : Skrip Ketetapan dari Allah swt

PETIKAN TULISAN USTAZ PAHROL JUOI

Hidup mesti dilihat mengikut ketetapan Penciptanya. Hanya dengan itu kejayaan dan kebahagiaan yang hakiki dan abadi dapat dimiliki. What you get is what you see – apa yang kita dapat, bergantung kepada apa yang dilihat. Dan tidak ada penglihatan yang paling tepat dan jelas melainkan dirujuk kepada pandangan Allah.

Mereka yang dapat mengikut ketetapan Allah itulah yang dikatakan celik mata hati – melihat hidup dengan penuh kesedaran. Untuk jadi sedar (celik mata hati) kita perlu memahami skrip kehidupan seperti yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. Kita tidak minta untuk dihidupkan tetapi hidup ini adalah kurniaan daripada Allah.
Untuk hidup selamat, tenang, dan bahagia, hiduplah mengikut “skrip” Pencipta. Jadilah hamba yang sebenar kerana itu menentukan bagaimana kita melihat hidup ini. Who you are determines how you see – siapa anda menentukan bagaimana anda melihat (memandang). Jadi, apabila kita merasakan diri kita hamba Allah, maka kita akan melihat hidup ini dari kaca mata Penciptanya (Allah)!
 Skrip Kehidupan
Skrip kehidupan inilah jika dilalui dengan penuh iltizam dan istiqamah, akan menghasilkan kemenangan yang bersepadu antara diri dan masyarakat, material dan spiritual, dunia, dan akhirat. Kita akan mendapat apa yang sepatutnya dan sewajarnya yang kita dapat. Sebaliknya, jika apa yang kita lihat tersalah ataupun tersasar, maka apa yang kita dapat juga akan tersasar. Kita akan menyesal di dunia, lebih-lebih lagi di akhirat kerana kita dapat apa yang sepatutnya “tidak kita dapat”. Terasa benarlah hidup di dunia hanya sia-sia. 
Inilah yang digambarkan oleh firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya – iaitu hari seseorang melihat apa yang diusahakannya, dan (pada hari itu) orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan).” (Surah al-Naba’ 78: 40).
Apakah hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini? Pada waktu itu baru kita faham dan akur tentang apa tujuan kita dihidupkan di dunia. Dan di situ jualah baru kita sedar apa yang paling bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam hidup. Pendek kata sewaktu itulah pandangan kita tentang hidup (worldview) akan tepat dan jelas.
Namun sayang sekali, di sana segala-gala yang tepat dan jelas itu sudah tidak berguna lagi.
Kata hukama: “Beramallah ketika berada di tempat yang tidak ada ganjaran tetapi ada peluang beramal (dunia), sebelum kita berpindah ke tempat yang hanya ada ganjaran tetapi sudah tidak ada peluang beramal (akhirat).”
Oleh itu adalah lebih baik kita terlebih dahulu sedar ketika hidup di dunia (kerana kita masih ada peluang untuk memperbaiki diri dan membetulkan kesilapan), daripada kita tersedar ketika berada di alam kubur, yang pada ketika itu segala-galanya sudah tidak berguna lagi.
Umar Ibn Abd. Aziz pernah berkata, manusia diciptakan untuk selamanya. Mengapa Umar berkata begitu? Maksudnya, bermula manusia diciptakan buat kali pertama, diri manusia akan terus hidup dan mengembara dari satu alam ke satu alam. Kembara ini hanya akan berakhir sama ada di syurga atau di neraka. Di perhentian terakhir itulah manusia akan hidup berkekalan, sama ada dengan limpahan nikmat, atau mendapat azab buat selama-lamanya. Sebelum tiba di titik pengakhiran itu, manusia akan terus mengembara.
Ada kalanya bersama jasad, ada masanya hanya dengan roh sahaja. Setiap alam berbeza daripada alam sebelumnya. Kembara itu adalah satu perjalanan yang panjang. Penuh ujian dan cabaran. Dan perbezaan alam itu menuntut peranan dan respons yang berbeza pula. Apakah alam-alam itu?
 Takah Hidup Insan
Kembara manusia bermula dari alam roh. Di sana manusia tidak mempunyai jasad. Tidak ada jantina, lelaki ataupun perempuan. Bagaimana keadaan kita pada waktu itu? Sangat sedikit yang kita ketahui tentang alam itu. Firman Allah: “Jika kamu bertanya tentang roh, katakan yang roh itu urusan Tuhanmu. Dan tidaklah kamu mengetahui daripada ilmu Allah melainkan sedikit sekali.” (Surah al-Israk 17: 85)
 Alam Roh
Tetapi apa yang pasti di alam itu manusia sangat rapat dengan Tuhan. Sehingga pengakuan ini dicatat dalam al-Quran:
“Bukankah Aku ini Tuhanmu? Roh menjawab, ya kami menjadi saksi (kewujudan-Mu).” (Surah al-A’raf 7: 172)
Pada ketika itu, roh sangat kenal dan mengakui keesaan Allah sebagai Rabb (Penciptanya). Pada ketika itu juga roh berjanji untuk menjadi hamba Allah yang patuh. Perjanjian ini termeterai antara manusia dengan Allah sehingga dengan itu manusia sanggup memikul amanah sebagai khalifah di muka bumi. Walaupun semua makhluk lain menolak amanah ini, manusia sebaliknya, telah menyatakan kesanggupannya.
Dan kesediaan ini menyebabkan manusia menjadi pelakar sejarah dalam kehidupan di muka bumi dan memberi impak yang besar kesannya kepada kehidupannya sendiri. Firman Allah: “Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya kerana bimbang tidak dapat menyempurnakannya dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan.” (Surah al-Ahzab 33: 72).
Tidak diketahui berapa lama tempoh manusia berada di alam roh. Namun yang pastinya setiap manusia mengambil gilirannya untuk “diturunkan” ke alam dunia. Kita pun datang ke bumi generasi demi generasi. Sayangnya, pengakuan, perjanjian, kesanggupan dan segala yang berlaku di alam roh seolah-olah sudah dilupakan oleh manusia. Mengapa kita boleh lupa? Memang logik kita lupa kerana alam itu telah begitu lama kita tinggalkan. Sedangkan hal yang berlaku seminggu yang lalu pun kita boleh ‘terlupa’, inikan pula entah berapa ratus ribu tahun sudah kita membuat perjanjian itu?
 Alam Rahim
Sebelum dilahirkan ke alam dunia, manusia terlebih dahulu “transit” di alam rahim. Alam rahim terletak di dalam perut ibu. Indah sekali namanya; Rahim (nama Allah Al-Rahim). Sekali gus melambangkan kasih sayang seorang ibu terhadap anaknya, yang hakikatnya berasal daripada kasih sayang Allah. Di sini janin dilindungi untuk menjadi seorang bayi.
Bayi akan tinggal di alam yang kukuh dan penuh kasih sayang ini selama lebih kurang 9 bulan 10 hari (mengikut kebiasaannya). Dalam tempoh tersebut ada beberapa proses biologi dan rohani berlaku. Daripada sari pati tanah, menjadi nutfah, kemudian menjadi alaqah dan diikuti pembentukan mudghah. Kemudian menjadi tulang dan selepas itu mula diliputi dengan daging, dan dibungkus dengan kulit. Akhirnya terbentuklah bayi yang lengkap sifatnya.
Di alam rahim ada beberapa perkara telah ditentukan. Antaranya rezeki, tempoh kehidupan, celaka atau bahagianya.
Hadis daripada Abdullah bin Mas’ud r.a dia berkata, Rasulullah s.a.w. seorang yang benar serta dipercayai pernah bersabda: “Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama empat puluh hari. Sebaik sahaja genap empat puluh hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. Manakala genap empat puluh hari kali ketiga bertukar menjadi seketul daging. Kemudian Allah s.w.t. mengutus malaikat untuk meniupkan roh serta memerintah supaya menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya sama ada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. Maha suci Allah s.w.t. di mana tiada tuhan selain-Nya, seandainya seseorang itu melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni syurga sehinggalah kehidupannya hanya tinggal sehasta dari tempoh kematiannya, tetapi disebabkan ketentuan takdir, nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni neraka sehingga dia memasukinya. Begitu juga dengan mereka yang melakukan amalan ahli neraka, tetapi disebabkan oleh ketentuan takdir nescaya dia akan bertukar dengan melakukan amalan sebagaimana yang dilakukan oleh penghuni syurga sehinggalah dia memasukinya.”
Tegasnya, segala persediaan dan kelengkapan untuk menuju alam dunia telah dipersiapkan di sini. Jasadnya mula dilengkapi oleh komponen pancaindera (pendengaran, penglihatan, sentuhan, rasa dan lain-lain). Sepertimana penyelam yang perlu memakai pakaian khas untuk menyelam, lengkap dengan bekalan oksigennya, maka begitulah manusia yang berpindah ke alam dunia, pakaian khasnya ialah jasad dan kelengkapannya ialah pancaindera.
 Alam Dunia
Tiba masanya, butang hidup pun di“on”kan. Manusia pun lahir ke alam dunia dengan diiringi tangisan. Tangisan ini ada maknanya yang tersendiri. Dalam kalangan ahli kerohanian ada yang mentafsirkan tangisan ini sebagai tanda protes bayi tersebut terhadap syaitan yang sejak lahir sahaja manusia ke dunia sudah diajak kepada kejahatan. Begitulah erti tangisan itu.
Manakala ahli perubatan pula menjelaskan bahawa tangisan itu diperlukan untuk si bayi mula mengepam oksigen ke paru-parunya yang baru berfungsi.
Apa pun makna dan tafsirannya, hidup memang dimulakan dengan tangisan, di celah-celah kehidupan ada tangisan dan diakhiri dengan tangisan. Tidak ada manusia yang lahir dengan ketawa!
Di alam dunia inilah bermulanya ujian kerana memang manusia hidup untuk diuji. Firman Allah yang bermaksud: “Dijadikan mati dan hidup bagi kamu untuk menguji siapakah antara kamu yang terbaik amalannya.” (Surah al-Mulk 67:2)
Lazimnya hidup manusia ini sekitar 60 hingga 70 tahun, namun perlu diingat, hidup di dunia inilah yang paling kritikal, kerana ia menentukan sama ada kita bahagia atau derita selama-lamanya. Dunia ini penuh dengan ujian. Dunia umpama “dewan peperiksaan”. Manusia mesti menjawab beberapa “soalan peperiksaan” yang sebenarnya telah pun “bocor”. Saya katakan demikian kerana soalan-soalan yang akan ditanyakan di alam kubur dan alam Mahsyar itu telah pun dimaklumkan kepada manusia di dunia lagi. Berikut adalah soalan-soalan itu:
Soalan Dalam kubur:
Siapa Tuhan kamu?
Siapa Imam kamu?
Siapa saudara kamu?
Apakah kiblat kamu?
Soalan di Alam Mahsyar:
Ke mana hartamu kamu belanjakan?
Ke mana ilmumu kamu gunakan?
Ke mana umurmu kamu sia-siakan?
Bagaimana umur muda kamu habiskan?
Namun, harus diingat soalan-soalan itu bukan dijawab secara lisan berdasarkan pemikiran. Tetapi perbuatan dan amalan kita di alam dunia itulah yang membantu memberi ‘jawapan’ kepada soalan-soalan itu. Jika kita melakukan sesuatu yang selaras dengan kehendak Allah, maka itu jawapan kepada soalan “Siapa Tuhan kamu?”. Jika kita benar-benar mengikut panduan sunnah Rasulullah, maka itulah jawapan kepada soalan “Siapa imam kamu?”
Alam Barzakh (Alam Kubur)
Hidup di dunia akan berakhir melalui proses kematian. Jika kelahiran adalah proses yang membawa kita pindah dari alam rahim ke alam dunia, maka mati pula adalah proses yang membawa kita pindah dari alam dunia ke alam barzakh. Hakikatnya, kelahiran dan kematian adalah sama – satu proses yang mesti dilalui sebelum berpindah ke alam selepas dari alam sebelumnya. Sayangnya, ramai manusia yang hanya membuat persediaan untuk menghadapi kelahiran berbanding kematian. Kain lampin lebih popular daripada kain kapan!
Alam barzakh (ertinya pemisah) ialah sempadan antara dunia dan akhirat. Di sana manusia ibarat dalam tahanan reman, sementara menunggu saat perbicaraan. Tetapi di alam barzakh ini sudah ada petunjuk-petunjuk awal sama ada kembara seterusnya akan berjalan dengan baik atau sebaliknya. Di sini sudah mula soal siasat terhadap segala perlakuan di dunia. Dua malaikat, Munkar dan Nakir, sudah menjalankan tugas awalnya. Mukadimah nikmat (bagi yang soleh) dan mukadimah azab (bagi yang toleh) sudah ketara dan dirasai. Di sini manusia akan menunggu saat perbicaraan sama ada dalam keadaan selesa atau seksa. Perbicaraan dan keputusan muktamadnya adalah di Padang Mahsyar.
Alam Mahsyar
Dua tiupan (bumi dilipatkan semula dengan sistem aturannya diterbalikkan. Dan berlakulah letupan kuat). Sangkakala dikumandangkan oleh Israfil – kali pertama untuk mematikan mereka yang masih hidup di saat itu dan kali kedua untuk menghidupkan semula semua yang sudah mati. Manusia pun dibangkitkan semula dari alam kubur menuju Mahsyar. Pelbagai rupa dan cara manusia ke sana ditentukan oleh amalan masing-masing. Visualnya, digambarkan dengan jelas dalam peristiwa Israk Mikraj.
Di sanalah keadilan yang mutlak dan muktamad ditegakkan. Jika di dunia yang benar tidak selalu dimenangkan, dan yang salah tidak selalu dikalahkan, tetapi di akhirat yang benar pasti menang, yang salah pasti kalah. Allah Maha Adil dalam menentukan sesuatu hukuman.
Walaupun Dia Hakim yang Maha Mengetahui, namun Dia masih mahu pengadilan itu dibuktikan oleh para saksi. Sedangkan apa perlunya saksi jika segala-galanya sudah diketahui? Ketika itu anggota badan kitalah yang menjadi saksi – segalanya dibenarkan bersuara malah mendakwa.
 Alam Syurga atau Neraka
Setelah menerima catatan amal (lengkap dengan fakta dan data yang terperinci), yang bukan hanya mencatat setiap langkahan kaki tetapi juga lintasan hati, maka “keputusan” peperiksaan itu melayakkan manusia ke alam syurga jika berjaya dan ke alam neraka jika gagal. Di sanalah kembara yang panjang itu berakhir. Ada yang “happy ending”. Ada pula yang berakhir dengan sengsara. Sampai bila? Sampai bila-bila. Tidak ada kembara lagi selepas itu! Itulah hidup yang hakiki dan di sanalah perhentian yang abadi.
Sehingga di sini istirahatkan minda anda kerana lelah juga menyusuri perjalanan hidup kita. Itu baru menerusi perantaraan minda atau pemikiran. Perjalanan sebenarnya tentu menuntut kelelahan yang berganda. Kembara ini penuh liku, cabaran dan kesusahan. Jika kembara di satu alam (dunia) ini pun kita boleh tersesat dan melarat, apatah lagi kembara yang melalui di lima alam yang serba unik itu.
Dan yang paling penting ialah bagaimana hendak menjalani kehidupan yang sebaik-baiknya di alam dunia – alam yang sedang kita hidup sekarang. Masa lalu tidak dapat diputar kembali. Kita tidak boleh merayu untuk tidak dijadikan, menerima amanah dan dihantar ke dunia.
Manakala masa depan, tidak boleh dijangkau. Apa yang penting ialah kita boleh menentukan masa depan (di Alam Barzakh, Mahsyar, Syurga atau Neraka) dengan bekerja kuat pada hari ini (di dunia) dengan input dan peringatan yang kita dapat daripada masa lampau (di alam roh). Insya-Allah.

Friday, September 12, 2014

Istiqamah lakukan amalan kebaikan


Petikan Agama Berita Harian 2014/08/14 - 04:25:34 AM Oleh Rosmidzatul Azila Mat Yamin

Allah SWT sangat menyukai amalan yang istiqamah dan berkesinambungan kerana prinsip istiqamah tidak terpisah dalam rangkaian ibadah selain menjadi roh untuk menjiwai amalan serta menentukan amalan itu berkualiti atau sebaliknya.

Rasulullah SAW bersab da: “Amalan yang paling disukai oleh Allah ialah amalan yang istiqamah (berterusan atau konsisten) walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pertama, Utama perkara fardu

Bagi memastikan kita terus istiqamah melakukan amal kebaikan dan menjaga kesinambungan amal ibadah, hendaklah sentiasa menjaga dan menitikberatkan perkara fardu seperti solat lima waktu serta menyegerakan qada ibadah seperti puasa untuk memperoleh reda Allah SWT.

Kedua, kita hendaklah sentiasa memohon pertolongan daripada Allah SWT dengan sungguh hati supaya diberikan hidayah dan keteguhan iman secara berterusan serta sentiasa berada di landasan yang betul sebagaimana ditekankan oleh syariat Islam.

Ketiga, sentiasa melakukan ibadah sunat walaupun dalam kuantiti yang sedikit dan membaca ayat suci al-Quran secara berterusan, berusaha menghafaznya serta dibacakan dalam solat fardu atau sunat. Amalan ini harus dipupuk supaya kita sentiasa berinteraksi, mempelajari, memahami isi kandungan al-Quran.

Rasulullah SAW: “Pertahankanlah dirimu bersama al-Quran ini, demi jiwa Muhammad yang ada ditangan-Nya, sesungguhnya al-Quran ini lebih cepat hilangnya daripada cepatnya ikatan tali unta yang terlepas.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Keempat, sentiasa berzikir kepada Allah SWT, di samping sentiasa beristighfar kerana ia amalan yang tidak sukar untuk dilakukan dan mempunyai manfaat besar iaitu dapat menguatkan iman serta meneguhkan hati.

Kelima, sentiasa menghadiri majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan tazkirah selain berusaha mengenali serta menghayati sejarah hidup Rasulullah, sahabat dan tokoh ilmuwan Islam.

Keenam, sentiasa berusaha menjauhkan diri daripada perkara mungkar yang boleh merosak dan mematikan hati seperti bersahabat dengan orang yang buruk akhlak, mengeluarkan kata-kata kesat serta lucah kerana ia boleh menyebabkan hati menjadi keras serta sukar untuk menerima hidayah Allah SWT.

Ketujuh, segera bertaubat jika terlanjur melakukan dosa dengan taubat nasuha supaya tidak terjerumus kembali ke lembah kehinaan dan maksiat. Mudah-mudahan dengan melakukan amalan secara istiqamah menjadikan kita insan yang lebih bertakwa.

Semoga Allah merezekikan kita dengan keistiqamahan dalam berbuat kebaikan dan amal soleh. Amin

Berbaik Sangka


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Pada hari ini saya terdorong untuk berkongsi kisah ini yang sudah beberapa kali menjadi tatapan saya agar menjadi motivasi diri dalam memperbaiki diri dan mengingatkan diri jika terleka melayan perbualan rakan-rakan dan ahli keluarga. Terkadang perbuatan kita menyokong cerita untuk menyedapkan lagi kesinambungan cerita memberi beban pada amalan soleh yang kita usahakan. Ini adalah kisah sahabat yang selalu berbaik sangka yang merupakan calon ahli Syurga yang ingin saya kongsikan.

Kisah ini bermula pada suatu hari ketika Rasulullah SAW  sedang duduk di masjid dikelilingi para sahabat. Baginda sedang mengajarkan ayat-ayat al-Quran. Tiba-tiba Rasulullah SAW. berhenti sejenak dan berkata,”Akan hadir diantara kalian seorang calon penghuni syurga”. Para sahabat pun bertanya-tanya dalam hati, siapakah orang istimewa yang dimaksud Rasulullah ini?. Dengan rasa berdebar-debar mereka menunggu kedatangan orang tersebut. Semua mata memandang ke arah pintu.

Tidak berapa lama kemudian, seorang lelaki melenggang masuk masjid. Para sahabat hairan, inikah orang yang dimaksud Rasulullah? Dia tak lebih dari seorang lelaki dari kaum ansar (orang kebanyakan). Dia tidak termasuk di antara sahabat utama. Dia juga bukan dari golongan tokoh Quraisy. Bahkan, tidak banyak yang mengenalnya. Pun, sejauh ini tak terdengar keistimewaan dia.

Ternyata, kejadian ini berulang sampai tiga kali pada hari-hari selanjutnya. Tiap kali Rasulullah berkata akan hadir di antara kalian seorang calon penghuni syurga, lelaki tersebutlah yang kemudian muncul.

Maka para sahabat pun menjadi yakin, bahawa memang lelaki itulah yang dimaksud Rasulullah. Mereka juga menjadi semakin kehairanan, amalan istimewa apakah yang dimiliki lelaki ini hingga Rasulullah menjelaskan bahawa dia adalah sebagai calon penghuni syurga?

Akhirnya, para sahabat pun sepakat mengutus salah seorang di antara mereka untuk mengamati kehidupan harian lelaki ini. Maka pada suatu hari, sahabat yang diutus ini menyatakan keinginannya untuk bermalam di rumah lelaki tersebut. Lelaki tersebut iaitu calon penghuni syurga mempersilakannya.

Selama tinggal di rumah lelaki tersebut,  sahabat terus-menerus mengikuti kegiatan lelaki calon penghuni syurga. Saat lelaki tersebut makan,  sahabat ikut makan. Saat lelaki tersebut mengerjakan pekerjaan rumah, sahabat menunggui. Tapi ternyata seluruh kegiatannya biasa saja. “Oh, mungkin ibadah malam harinya sangat khusyuk” fikirnya. Tapi ketika malam tiba, lelaki tersebut bersikap biasa saja. Dia mengerjakan ibadah wajib sebagaimana biasa. Dia membaca al-Quran dan mengerjakan ibadah sunnah, namun tidak banyak. Ketika tiba waktunya tidur, dia pun tidur dan baru bangun ketika azan subuh berkumandang.

Sungguh, sahabat hairan, sebab ia tidak jua menemukan sesuatu yang istimewa dari lelaki ini. Tiga malam  sahabat bersama  calon penghuni syurga, tetapi semua tetap seperti biasa sahaja.

Akhirnya, sahabat itu pun pun berterus terang akan maksudnya bermalam. Dia bercerita tentang pernyataan Rasulullah SAW. Kemudian dia bertanya,“Wahai sahabatku, sesungguhnya amalan istimewa apakah yang kau lakukan sehingga kau disebut salah satu calon penghuni syurga oleh Rasulullah? Tolong beritahu aku agar aku dapat mencontohimu”.

Lelaki itu menjawab,” Wahai sahabat, seperti yang kau lihat dalam kehidupan sehari-hariku. Aku adalah seorang muslim biasa dengan amalan biasa pula. Namun ada satu kebiasaanku yang boleh kuberitahukan padamu. Setiap menjelang tidur, aku berusaha membersihkan hatiku. Kumaafkan orang-orang yang menyakitiku dan buang semua iri, dengki, dendam dan perasaaan buruk kepada semua saudaraku sesama muslim. Hingga aku tidur dengan tenang dan hati bersih serta ikhlas. Barangkali itulah yang menyebabkan Rasulullah SAW. menyatakan demikian.”

Mendengar penjelasan itu, wajah  sahabat menjadi berseri-seri. “Terima kasih sahabatku atas hikmah yang kau berikan. Aku akan memberitahu para sahabat mengenai hal ini”. Sahabat pun meminta izin untuk pulang dengan membawa pelajaran yang sangat berharga.

Sifat berbaik sangka, memberi kemaafan dan tidak ada sifat dendam, memuliakan tetamu, tidak mendedahkan aib sesama muslim dan menjauhi mengumpat dan fitnah adalah akhlak seorang mukmin dan ciri-ciri ahli syurga. Hidup zaman ICT ini cukup mencabar jika kita tidak membuat fitnah kadangkala kita menjadi subahat dan mendapat saham dosa besar yang sama jika mempercayainya dan menceritakan pula kepada orang lain.  

Berita terbaru bagaiman seorang pemimpin parti politik telah  di pecat dan akan bertindak agresif dan akan mendedahkan banyak kelemahan dan keaiban pemimpin parti yang di anggotainya dahulu. Sikap ini amat merbahaya dan akan menghapuskan pahala amalannya sebelum ini dan boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT .

Rasulullah SAW menjelaskan, tatkala ditanya oleh seorang sahabat, "Wahai Rasulullah, apakah itu ghibah?" Lalu jawab Baginda, "Menyebut sesuatu yang tidak disukai oleh saudaramu di belakangnya!" Kemudian baginda ditanya lagi, "Bagaimana sekiranya apa yang disebutkan ltu benar?" jawab Baginda, "Kalau sekiranya apa yang disebutkan itu benar, maka itulah ghibah, tetapi jika sekiranya perkara itu tidak benar, maka engkau telah melakukan buhtan (pembohongan besar)." (Hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tarmizi).

Ghibah (menyebut keburukan orang lain walaupun benar) amat buruk, apalagi buhtan (memfitnah dan mengada-adakan keburukan seseorang dengan mengatakan ada parasit).

Orang yang mendengar ucapan ghibah juga turut memikul dosa ghibah, kerana dia masuk dalam ghibah itu sendiri. Kecuali dia mengingkarinya dengan lidah, atau membenci dalam hatinya. Bila ada kesempatan maka lebih utama baginya mengalihkan ghibah tersebut dengan pembicaraan lain yang lebih bermanfaat. Rasulullah SAW. bersabda yang bermaksud: "Seseorang hamba yang membicarakan sesuatu yang belum jelas baginya (hakikat dan akibatnya), akan dilempar ke neraka sejauh antara timur dan barat." (Hadis Riwayat Muslim)

Perkataan "fitnah" berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kekacauan, bencana, cubaan dan penyesatan. Fitnah sering dimaksudkan sebagai berita bohong atau tuduhan yang diada-adakan untuk membinasakan seseorang yang tidak sesuai dengan kenyataan atau kebenaran.

Al-Quran dalam surah al-Hujuraat ayat 12 dengan jelas menghuraikan persoalan fitnah. "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi maha Pengasihani".

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Kemudian, maka hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik dan kalau tidak, hendaklah diam." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini membawa maksud bahawa seseorang yang beriman itu perlu sentiasa mengawasi lidahnya dan apabila berkata hanya kepada perkara-perkara yang memberi kebaikan.


Hadis Rasulullah SAW. Diriwayatkan daripada Huzaifah r.a katanya: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Tidak masuk syurga orang yang suka menabur fitnah."

Oleh itu kita perlu berhati-hati supaya amal soleh dan kebaikan kita tidak terhapus disebabkan kita terpengaruh dengan seseorang yang mengumpat , mendedahkan aib seseorang dan membuat fitnah. Semoga kita semua sentiasa dipelihara iman dan sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri dan tidak mengulangi kesilapan yang lalu. Amin.

Tuesday, July 22, 2014

Solat itu mengajar kita MELIHAT DIRI SENDIRI / MUHASABAH / MEDITASI

Solat yang sempurna mencapai prinsip meditasi. Justeru itu sepatutnya umat Islam itu lebih tenang dan berjaya dalam kehidupan ini. Apa perlunya merenung diri? Tujuannya adalah mengenal pasti kelemahan dan memperbaikinya.

Kualiti hidup bergantung pada kualiti fikiran dan emosi. Cara kita berfikir dan melihat sesuatu perkara atau seseorang, menentukan emosi kita dan akhirnya itulah yang akan menjadi diri kita. Kita perlu lihat semua orang dengan kasih sayang dan kesyukuran, jauhi prasangka dan buruk sangka.

Dalam kehidupan ini kita perlu memperbanyakkan melihat kelemahan diri sendiri berbanding melihat kelemahan orang lain. Syukur dengan kelebihan dan kekurangan yang ada kerana apa jua yang Allah limpahkan kepada kita adalah yang terbaik untuk diri kita.

Cuba lihat diri kita di cermin. Siapakah diri kita yang sebenar? Hakikatnya, kita lihat dalam cermin itu ialah diri kita yang telah berubah dari segi fizikal. Yang kekal ialah roh kita, roh kita hanya satu, tidak akan berubah walaupun usia kita berubah dan fizikal kita berubah.

Roh kita sangat perlukan makanan rohani. Bagi mendapat ketenangan, banyakkan bertaubat, berselawat dan beramal. Sikap (dalaman) yang positif akan memberikan gambaran fizikal (luaran) diri yang positif.

Jika dunia dalaman" kita positif kita akan beri kebaikan kepada orang (dunia luaran), dan akhirnya kita akan dapat semula balasan kebaikan kita itu (kebahagiaan). Sebaliknya kalau dunia dalaman" kita negatif tindak-tanduk kita kepada orang (dunia luaran) juga negatif dan kita akan dapat (kebencian) orang kepada kita.

Semua orang mahu hidup yang lebih baik. Bagaimanapun, jika tidak mengubah fikiran, tidak menjaga emosi dan tidak mengawal tindakan dan tidak akan berlaku perubahan kehidupan, sila audit diri dan refleksi diri, carilah masa untuk hal itu.

Sesungguhnya apa yang berlaku disekitar kita adalah pelajaran untuk kita melihat diri kita sendiri iaitu sebagai cerminan diri kita. Semua peristiwa, sama ada yang baik atau yang buruk sebagai pelajaran kehidupan. Sibukkanlah diri kita untuk meneliti dan mencari kelemahan diri sendiri, hingga tidak sempat untuk melihat dan mencanang kelemahan orang.

Solat adalah satu bentuk meditasi, meditasi adalah satu cara memfokuskan pada sesuatu dan tenangkan fikiran, fokus pada sesuatu samada bacaan, musik, pernafasan, imaginasi dan sebagainya. Didalam Islam, solat itu melakukan beberapa gerakan tetapi fikiran kita perlu khusyuk/fokus kepada Allah dan zat-zatNya, tiada bezanya dengan meditasi, prinsipnya tetap sama. Kaedah ini dapat memulihkan fungsi otak dan kualiti pemikiran kita.

Jadi ada perbezaannya mereka yang solat dan tidak dan ada bezanya mereka yang khusyuk dan tidak, jadi solatlah kamu dengan khusyuk agar kamu mendapat keredhaan Allah dan menjadi manusia yang lebih bijak pemikirannya.

Oleh itu, perbanyakkan solat dan solat menjauhkan manusia dari kemungkaran. Ia menjadikan kita manusia yang lebih berkualiti dalam kehidupan. Berfikiran positif dan redha pada qada dan qadar yang telah Allah tetapkan. Orang Islam itu tenang jiwanya.

Bertemu Tuhan

Apabila seseorang itu hampir tiba ajalnya, maka Allah akan memerintahkan malaikat maut mengambil nyawanya. Ketika itu malaikat akan tahu bila seseorang itu akan mati, di mana dan dalam keadaan bagaimana. Sebelum itu malaikat tidak tahu. 

Setiap orang mempunyai ketentuan ajal masing-masing. Apabila kematian seseorang itu telah ditentukan, maka ajal itu akan datang, tidak berganjak, terdahulu atau terkemudian daripada tarikh yang telah ditetapkan. Itulah ketentuan daripada Allah yang tidak dapat diingkari oleh manusia. Allah mahukan agar setiap hamba-Nya reda dengan qadak dan qadar ketentuan Allah. 

Apabila nyawa seorang Islam yang beriman itu hendak diambil, Allah mewahyukan kepada malaikat maut, ``kirimkan salam-Ku kepadanya.'' Maka apabila malaikat itu datang kepadanya untuk mengambil rohnya, malaikat akan berkata: ``Tuhanmu kirim salam padamu.'' 
Dalam sebuah hadis lain, daripada Muhammad al-Quradzi menyatakan bahawa apabila sampai ajal seorang mukmin, datanglah malaikat maut berkata: Sejahtera di atasmu wahai kekasih Allah. Allah mengirim salam padamu. Dalam surah an-Nahl: 32 dijelaskan, orang-orang yang bertakwa ialah mereka yang dimatikan dalam keadaan yang baik oleh para malaikat dengan mengucapkan kepada mereka, ``selamatlah kamu.'' 

Abu Hurairah memberitahu, bahawa Rasulullah ada bersabda menyatakan bahawa sesungguhnya orang yang beriman itu apabila hendak diambil rohnya, maka datanglah malaikat rahmat yang membawa sehelai sutera putih, lalu keluarlah daripadanya wangian. Wanginya lebih harum daripada bau kasturi, sehingga sebahagian mereka dapat menghidunya. Mereka menamakannya dengan sebaik-baik nama untuknya, sehingga mereka membawanya ke sebuah pintu daripada pintu langit. 

Para malaikat bertanya, apakah bau-bauan ini didatangkan dari bumi. Setiap kali ia memasuki langit, penjaga-penjaga pintu akan mengucapkan kata-kata seperti itu, sehingga dia bersama segala roh orang yang beriman. 

Dalam sebuah hadis lain, Abu Hurairah memberitakan bahawa Nabi bersabda: Sesungguhnya orang mukmin itu apabila tiba ajalnya, datanglah kepadanya malaikat dengan sekeping kain sutera, padanya ada kasturi, ambar dan harum-haruman. Maka mengalirlah rohnya seperti tercabutnya sehelai rambut daripada adunan tepung dan diucapkan kepadanya: Wahai jiwa yang tenang, keluarlah dalam keadaan reda atas kamu menemui Allah dan kemuliaan-Nya. Apabila rohnya telah keluar, ia diletakkan di atas kasturi juga bau-bauan, lalu kain sutera itu pun dilipat dan dibawa bersamanya ke Illiyiin - hadis riwayat al-Barra. 
Rasulullah menjelaskan bahawa roh seseorang yang beriman itu tidak akan dicabut, keluar daripada jasad sehinggalah Allah memperlihatkan tempatnya yang kekal kelak, iaitu di syurga. 

Sesungguhnya, kematian bagi orang yang beriman itu adalah rehat daripada segala kedukaan dunia. Dalam keadaan seumpama ini, tidak ada sesuatu perkara yang ghaib, yang dinantikan oleh orang yang beriman, lebih baik daripada kematian. 

Sesungguhnya, kehidupan di dunia ini pinjaman semata-mata. Orang yang bijak akan menjadikan dunia ini laluan semata-mata, seumpama tidak ubah orang yang menyemai, bakal dituai di akhirat kelak. Itulah orang yang mendapat hidayah Allah, mentaati perintah-Nya dan menjauhi segala larangannya. 

Manusia hidup perlu berjuang. Mempunyai tanggungjawab yang mesti dipikul, untuk diri sendiri, keluarga, agama dan negara. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Yang terbaik menang, dan yang leka akan tinggal ke belakang. Itulah adat perjuangan. Kekayaan yang dimiliki, anggota tubuh badan yang dinikmati mesti digunakan sebaik mungkin, termasuk usia yang diberi. 
Semuanya akan ditanya oleh Allah, untuk apa, bagaimana dan kenapa ia digunakan. Mereka yang terpesona dengan keindahan dunia akan hanyut di bawah tekanan dan kekangan nafsu. Kerana itu, selagi nyawa ada di badan, perjuangan mesti diteruskan. 

Orang yang beriman, menggunakan segala amanah yang diberi oleh Allah sebaik mungkin, sentiasa bersedia menghadapi mati, lantaran mati itu boleh berlaku pada bila-bila masa menurut ketentuan Allah. 
Sebelum mati, ia akan didatangi oleh malaikat maut yang membawa salam daripada Allah, petanda kasih Allah, menjemput kekasih-Nya kembali menemui-Nya. Sebelum roh berpisah dengan jasad, Allah perlihatkan syurga baginya. 

Syurga adalah kemuncak segala nikmat yang tidak dapat diluahkan melalui ungkapan kata. Bagi mereka yang berjuang untuk hidup di dunia, untuk diri, agama, negara, keluarga dan kerana Allah, apabila diperlihatkan kepadanya syurga, hamba berkenaan akan merasai betapa nikmatnya hidup di syurga, berbanding dengan hidup di dunia yang penuh dengan pelbagai perjuangan, hiruk-pikuk penipuan dan pesona. 

Orang yang berada dalam pesona syurga, ketika dalam keadaan sakaratul maut tidak dapat menahan diri untuk menikmati syurga yang diperlihatkan kepadanya. 

Walaupun demikian, hamba berkenaan tidak akan dapat menikmati kehidupan di syurga, kecuali setelah mati terlebih dahulu. Kerana itulah hamba berkenaan terlalu inginkan mati, untuk segera menikmati syurga. 

Mati bererti menemui Allah, kerana itu, apabila seorang hamba yang beriman itu reda untuk mati, bererti dia reda untuk bertemu Allah. Dalam keadaan sedemikian rupa, apabila seseorang itu reda untuk bertemu Allah, maka Allah lagi suka menemui hamba berkenaan. 
Hibaan bin al-Aswad pernah berkata, ``mati itu lebih baik bagi menyampaikan seorang yang kasih, kepada kekasihnya, iaitu Allah'' 

Sesungguhnya, apabila seseorang itu telah meninggal dunia, hakikatnya dia telah meninggalkan kehidupan yang fana, yang tidak kekal ini. Apabila dimasukkan dalam kubur, dia berada di alam arwah atau alam roh-roh. Kehidupan di alam kubur adalah sebahagian daripada alam akhirat. Di antara alam fana dan alam akhirat ada pendinding yang tidak boleh tembus-menembusi di antara satu dengan yang lain. 

Bagi orang yang beriman, selain dipermudahkan ketika sakaratul maut, diberi penghormatan seperti yang dijelaskan dalam hadis-hadis yang diterangkan di atas, ia juga diberi nikmat ketika di kubur. 

Perbandingan seorang mukmin ketika hidup di dunia, adalah seperti janin dalam kandungan ibunya. Apabila dia telah keluar daripada kandungan, dia menangis di tempat keluarnya, sehingga dia melihat sinar dan menyusu, ketika itu dia tidak ingin lagi untuk pulang ke dalam rahim. 

Begitulah keadaan orang yang beriman yang telah mati dan menemui Tuhannya, tidak lagi dia ingin untuk kembali ke dunia, tidak ubah seumpama janin yang tidak ingin ke dalam rahim ibunya. 

Gambaran nikmat yang dijelaskan ini adalah bagi mereka yang beriman. Ketika hampir mati dan melihat apa yang telah disediakan oleh Allah untuk dirinya, mereka begitu ingin untuk keluar dari dunia, iaitu mati. Bagi orang kafir, apabila hampir mati dan melihat apa yang disediakan oleh Allah, akan menjadi benci untuk keluar dari dunia, kerana itu Allah juga benci menemuinya. 

Ibn Juraij memberitahu bahawa Nabi pernah bersabda kepada Aishah radialahuanha: Apabila seorang mukmin itu melihat para malaikat, mereka akan bertanya: Inginkah engkau kiranya kami kembalikan engkau ke dunia. Orang yang beriman itu bertanya: Ke negeri sedih dan dukacita. Kerana itu segeralah bawa kami kembali kepada Allah subhanahu wa taala. 

Mati bukan penghujung kehidupan seseorang yang sebenar, kerana selain daripada hidup di dunia, manusia akan dibangkitkan di akhirat yang kekal lagi abadi. Allah menjanjikan kebahagiaan mereka yang beriman kepada-Nya di dunia dan di akhirat, termasuk ketika menghadapi saat genting sakaratul maut. 

Berdukacita, merintih rindu tidak berupaya merobah keadaan biar sedikit pun. Zaid bin Aslam pernah memberitahu, ``apabila seorang mukmin itu didatangi waktu hampir mati, akan diucapkan kepadanya, jangan kamu takut terhadap peristiwa yang akan berlaku, di mana ketakutan pasti terhapus. 

Jangan dukacita terhadap dunia dan penghuninya, iaitu keluargamu. Gembirakan dengan nikmat syurga, di mana segala kebimbangan akan lenyap. Jangan berdukacita, kamu pasti akan meninggalkannya, padahal ketika itu, iaitu sebelum meninggal, Allah telah pun menenangkan hatinya.'' 

Ad-Dhaaak menjelaskan bahawa kegembiraan itu diketahui oleh mereka yang beriman sebelum roh berpisah dari badan dan mereka telah mengetahui di mana mereka akan berada, iaitu di syurga. 

Tidak mudah mengikis rasa rindu kehilangan orang yang dikasihi. Demikianlah di antara tanda-tanda kasih sayang. Tidak mudah memujuk kesunyian hilang teman, hilang tempat bergurau senda dan mengadu kasih, tempat harapan. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. 

Walaupun demikian, kalau setiap orang itu berupaya memikiri tentang ketetapan Ilahi, qadak dan qadar ketentuan Allah, kesedaran akan timbul, bahawa tidak ada manusia yang berupaya mengubah ketentuan-Nya. Allah Maha Mengetahui rahsia yang tidak terungkai oleh pemikiran manusia di atas ketetapan-Nya. 

Sesungguhnya di sebalik rindu dan rasa hampa, tenaga, masa dan pelbagai usaha tetap diperlukan untuk menghadapi sisa-sisa hidup yang masih tidak menentu. 

AlFatihah buat arwah Rohana Bt. Mohd Nawi pada 6hb Julai 2014 bersamaan 8 Ramadhan. Moga ruhnya ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman. Amin

Siapa Orang Yang Paling Cerdik?
Ibnu Umar r.a pernah berkata, “Aku pernah mengadap Rasulullah s.a.w sebagai orang ke sepuluh yang datang, lalu salah seorang dari kaum Anshor berdiri seraya berkata, “Wahai Nabi Allah, siapakah manusia yang paling cerdik dan paling tegas?” Beliau menjawab, “(adalah) Mereka yang paling banyak mengingat kematian dan paling siap menghadapinya. Mereka itulah manusia-manusia cerdas; mereka pergi (mati) dengan harga diri dunia dan kemuliaan akhirat.” (HR. Ath-Thabrani, disahihkan al-Munziri)
Manfaat Mengingat Kematian
Di antara faedah mengingat kematian adalah:
  1. Mendorong diri untuk bersiap-siap menghadapi kematian sebelum datangnya.
  2. Memendekkan angan-angan untuk lama tinggal di dunia yang fana ini, kerana panjang angan-angan merupakan sebab paling besar lahirnya kelalaian.
  3. Menjauhkan diri dari cinta dunia dan redha dengan yang sedikit.
  4. Menguatkan keinginan pada akhirat dan mengajak untuk berbuat ta’at.
  5. Meringankan seorang hamba dalam menghadapi ujian dunia.
  6. Mencegah kerakusan dan ketamakan terhadap nikmat duniawi.
  7. Mendorong untuk bertaubat dan muhasabah kesalahan masa lalu.
  8. Melembutkan hati, membuat mata menangis, memberi semangat untuk mendalami agama dan menghapuskan keinginan hawa nafsu.
  9. Mengajak bersikap rendah hati (tawadhu’), tidak sombong, dan berlaku zalim.
  10. Mendorong sikap toleransi, mema’afkan teman dan menerima kesalahan dan kelemahan orang lain.
Perkataan Orang-Orang Arif
Al-Qurthubi r.a berkata, “Umat sepakat bahwa kematian tidak memiliki usia tertentu, masa tertentu dan penyakit tertentu. Hal ini dimaksudkan agar seseorang senantiasa waspada dan bersiap-siap menghadapinya.”
Yazid Ar-Raqqasyi r.a. berkata kepada dirinya, “Celakalah engkau wahai Yazid! Siapa orang yang akan menggantikan solatmu setelah mati? Siapa yang berpuasa untukmu setelah mati? Siapa yang memohon keredhaan Allah untukmu setelah mati? Wahai manusia! Tidakkah kamu menangis dan meratapi diri sendiri dalam sisa hidup kamu? Siapa yang dicari maut, kuburan jadi rumahnya, tanah jadi katilnya dan ulat jadi teman rapatnya, lalu setelah itu ia akan menunggu lagi hari kecemasan yang paling besar; bagaimana keadaan orang yang seperti ini nanti.?” Beliau pun kemudian menangis.
Ad-Daqqaq r.a. berkata, “Siapa yang banyak mengingat kematian, maka ia akan dimuliakan dengan tiga perkara: Segera bertaubat; Mendapatkan kepuasan hati; dan bersemangat dalam beribadah. Dan siapa yang lupa akan kematian, maka ia akan disiksa dengan tiga perkara: Menunda untuk bertaubat; Tidak merasa cukup dengan yang ada dan malas beribadah.”
Al-Hasan Al-Bashri r.a. berkata, “Sesungguhnya kematian ini telah
menghancurkan kenikmatan yang dirasakan para penikmatnya. Kerana itu, carilah kehidupan yang tidak ada kematian di dalamnya.”
Faktor-Faktor Pendorong Mengingat Kematian
  1. Ziarah kubur. Nabi s.a.w. bersabda, “Berziarah kuburlah kamu, sebab ia dapat mengingatkanmu akan akhirat.” (HR. Ahmad dan Abu Daud, disahihkan Syaikh Al-Albani)
  2. Melihat mayat ketika dimandikan.
  3. Menyaksikan orang-orang yang tengah sekarat dan menalqinkan mereka dengan kalimat syahadat.
  4. Mengiringi jenazah, solat ke atasnya serta menghadiri pengkebumiannya.
  5. Membaca Al-Qur’an, terutama ayat-ayat yang mengingatkan akan kematian dan sakratul maut seperti ayat 19 surat Qaaf.
  6. Uban dan Penyakit. Kedua hal ini merupakan utusan malaikat maut kepada para hamba.
  7. Fenomena alam yang dijadikan Allah s.a.w. untuk mengingatkan para hamba akan kematian seperti gempa, gunung meletus, banjir, badai dan sebagainya.
  8. Membaca berita-berita tentang umat-umat masa lalu yang telah dibinasakan oleh maut.

Semoga Allah s.w.t. menutup akhir hayat kita dengan Husnul Khatimah dan menerima semua amal soleh kita, Amin.