Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Al-Quran adalah cahaya, petunjuk dan ubat bagi apa yang ada di dalam hati manusia. Al-Quran merupakan tali Allah yang kuat, cahaya-Nya yang jelas dan pegangan yang sangat dipercayai. Barang siapa beriman kepada Al-Quran akan mendapat taufik daripada Allah s.w.t. Barang siapa yang berpegang teguh padanya, maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang mengamalkannya, bermakna dia telah menjadi orang yang beruntung dan berjaya.

ISLAM ITU INDAH, ALLAH ITU TERLALU HEBAT

Wednesday, June 18, 2014

Bukan Namanya Taubat, Jika Tiada Azam Baiki Diri



Memohon ampun di atas kesilapan hendaklah dilakukan bersungguh-sungguh.

Bertaubat kepada Allah SWT adalah tuntutan Islam. Dalam al-Quran, Allah menggesa dan menyuruh hamba-Nya supaya bertaubat atas segala perbuatan dosa kerana Dia bersifat Maha Pengampun.

Tidak sukar bagi Allah memberi atau menerima taubat seseorang kerana Allah sendiri adalah penerima taubat. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah: 37).

Malah Allah SWT sangat mencintai orang-orang yang bertaubat seperti firman-Nya bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat.” (Surah al-Baqarah: 222)

Rasulullah SAW yang juga kekasih Allah dan bersifat maksum menunjukkan contoh kepada umatnya bahawa Baginda memohon ampun (beristighfar) kepada Allah sebanyak 100 kali sehari.

Nabi SAW bersabda bermaksud: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat (beristighfar) dalam sehari sebanyak 100 kali.” (Riwayat Muslim).

Penegasan terima taubat Mukmin

Penegasan Allah yang berjanji menerima taubat hamba-Nya memberikan harapan yang tinggi kepada Mukmin agar sentiasa memohon keampunan Allah setiap masa atas segala dosa diperbuat.

Allah Maha Mengetahui kelemahan hamba-Nya yang tidak terlepas daripada berbuat kesalahan. Sebesar manapun dosa dilakukan tetap diberi Allah keampunan selagi tidak melakukan syirik kepada-Nya.

Rasulullah SAW menyebutkan bahawa betapa Allah SWT sangat gembira apabila hamba-Nya mahu bertaubat secara tulus seperti terkandung dalam firman Allah dalam hadis qudsi bermaksud: “Sungguh Allah sangat berbahagia atas permohonan taubat hamba-Nya, lebih berbahagia daripada bahagianya salah seorang kamu yang kehilangan untanya lalu menemuinya kembali.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Seseorang yang kehilangan sesuatu barang berharga sama ada kerana kecurian, tercicir dan sebagainya, maka dia akan berasa sangat gembira jika menemui semula kerana barang berkenaan sangat bernilai dan bererti kepadanya.

Akan tetapi taubat seorang Mukmin lebih disukai Allah melebihi kegembiraan seseorang yang menemukan semula barang berharganya yang hilang.

Namun, kemurahan Allah menerima taubat itu tidaklah bermakna menjadi ‘lampu hijau’ kepada seorang Mukmin berbuat maksiat dan dosa terus menerus, yakni apabila berbuat dosa lalu menyesal dan bertaubat, kemudian mengulangi lagi, dan selepas itu bertaubat kembali kerana mengingat Allah itu Maha Pengampun.

Taubat yang dijanjikan Allah akan diterima-Nya ialah taubat yang lahir dari hati Mukmin yang tulus dan mencukupi syarat yang disebut sebagai taubat nasuha.

Bukan taubat jika ulangi kesilapan

Ucapan istighfar walaupun diulang 100 ribu kali sedangkan hati masih berazam untuk mengulangi maksiat tidak dinamakan taubat. Ia lebih seperti melakukan persendaan terhadap hukum Allah, peluang dan kerahmatan-Nya.

Terjatuh ke dalam maksiat dan dosa adalah kebiasaan manusia yang lemah. Manusia terbaik bukanlah manusia yang tidak pernah berbuat dosa sama sekali, akan tetapi manusia terbaik adalah manusia yang apabila berbuat kesalahan, langsung dia bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.

Mukmin sebenar sentiasa bersikap atau berpendirian untuk mengelak daripada terjerumus ke lembah dosa. Islam mengajar umatnya untuk tidak berputus asa tetapi diajar untuk kembali kepada kebenaran dan bertaubat. Hanya orang yang tidak beriman memilih jalan-jalan yang lain yang membinasakan diri mereka sendiri.

Tidak dinafikan bahawa seorang Mukmin yang telah sungguh-sungguh bertaubat kadangkala kembali terjatuh ke dalam kesalahan yang serupa.

Pengaruh nafsu, lemah iman

Mukmin yang pada mulanya sudah benar-benar insaf dan bertaubat, tetapi disebabkan kelemahan iman dan kuatnya pengaruh hawa nafsu selain tergoda dengan hasutan syaitan menyebabkan dia berulang kali terjatuh ke lembah dosa.

Jika terjadi demikian bukanlah bermakna taubatnya yang terdahulu tidak ikhlas. Maka, dia hendaklah mengulangi taubatnya dan jangan berputus asa dari rahmat Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Seorang melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wajalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya.

Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa, ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku ini, buatlah apa yang engkau mahu Aku ampunkan engkau.” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Oleh: Drs Wan Aminurrashid W Abd Hamid

Penulis adalah Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tuesday, June 17, 2014

Uruskan AKAL mu dengan ILMU

Dalam kehidupan ini kita sering puas dengan menuruti kehendak nafsu. Orang dapat yang baik, kita juga nak yang baik, tetapi tak kiralah apa sahaja cara akan digunakan untuk kelihatan baik dan mendapat title baik ataupun mendapat barang yang baik. Sedangkan yang bagi kita baik itu tidaklah baik untuk kita kerana dengan cara itu, kita telah menyemai sikap tak redha, menyemai jiwa yang tidak sihat (cemburu) dan paling berat ialah menjadi pendengki pula. Justeru itu, carilah contoh yang baik untuk diikuti. Untuk mengenalnya itu ialah dengan ILMU. Kita adalah orang islam, yang mengaku Islam, yang berusaha menyatakan keislaman tetapi tidak tahu untuk mencari contoh untuk menjadikan contoh dalam kehidupan ini.

Segala pencarian hanya berlandaskan nafsu iaitu malas. Hanya akan meniru orang yang punya daya setakat Islam dimulut…. Belajarlah mencari contoh mereka yang punya Islam dimulut dan dihati. Allah telah memberi panduan yang jelas, Nabi Muhammad saw adalah contoh yang terbaik, Sahabat Rasulullah juga contoh yang baik, para alim ulama yang terkemudian juga contoh yang baik. Mengapa kita sering menyediakan alasan untuk memenuhi kehendak nafsu.. Melatih akal, memujuk hati yang keras itu adalah dengan ILMU. Jika masih berat untuk langkah mendekati ILMU, banyakkanlah beristighfar sehingga hati dan anggota kita lunak dan mesra. Tambahkan istighfar dengan solat taubat dan berdoalah memohon kepimpinan jalan yang benar. Mungkin seminggu, mungkin sebulan, mungkin juga setahun, teruskanlah, moga kita diberi hidayah oleh Allah untuk meneruskan perjalanan yang sebenar dan memadamkan alasan yang pernah menjadi tasbih dimulut kita dahulu.

Sesungguhnya kehidupan ini adalah urusan kita dengan Allah. Urusan sesame manusia juga menjadi urusan kita dengan Allah. Oleh itu teruskanlah memperbaiki akhlak dan berbuat sehabis baik dalam segala urusan didunia ini dan juga bekalan diakhirat. Kerana segalanya adalah urusan kita dengan Allah.

Uruskanlah akal dengan ILMU dan lunakkan nafsu dengan akal yang telah berILMU. Usah sia-siakan masa dengan menjelaskan kepada mereka yang seronok menurut nafsu kerana mereka telahpun ada jawapannya. Cuma mereka berusaha untuk menafikannya untuk memperbanyakkan alasan.

Saidina Ali R.A.
  1. Sifat pemarah adalah musuh utama akal.
  2. Teman manusia yang sebenar ialah akal dan musuhnya ialah jahil.
  3. Dada orang berakal itu ialah peti rahsianya.
  4. Lebih sedikit orang menggunakan akalnya, lebih banyak pula ia berkata-kata.
HAMKA
  1. Akal membentuk budi,membentuk kebudayaan dan menjerumuskan manusia kepada kehancuran.
  2. Salah satu tugas agama ialah memelihara akal.Memelihara akal ialah dengan jalan menambah ilmu melatih diri berfikir,merenungkannya.
  3. Hawa nafsu membawa kesesatan dan tidak berpedoman dan akal menjadi pedoman menuju keutamaan.Hawa nafsu menyuruh mengelamun,berangan-angan,tetapi akal menyuruh menimbang.
  Luqman al-Hakim
  1. Walaubagaimana alim pun seorang itu, dia tidak akan dapat manfaat daripada ilmunya selagi ilmunya tidak berpedoman kepada akal.


Thursday, June 12, 2014

Memperbaiki Niat, Memperbetulkan Iman


15 Hari lagi, Ramadhan akan bertemu. Dalam tempoh ini, apakah persediaan kita untuk memperbaiki amalan. Tentunya tiap amal ibadat adahal hal peribadi antara Allah dan hambaNya.

Kita adalah hamba yang diciptakan untuk beribadah kepadaNya. Kita terlalu lemah sehingga memerlukan orang lain untuk selalu mengingatkan kita dalam banyak hal. Terutamanya, bila kita lupa, tersasar, terlalai. Umat Islam itu penuh dengan kasih sayang, janganlah kita berbangga dengan agama kita, tetapi dalam masa yang sama, kita tidak sedar kita telah memfitnah agama dengan cara hidup dan akhlak kita sesama manusia. Banyak orang yang tidak faham tentang Islam, belajar melihat Islam dengan sikap dan tingkah laku orang Islam. Oleh itu, jadilah orang Islam yang baik, memelihara tiap akhlak yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Bagaimana amal ibadat boleh menjauhkan manusia dari kemungkaran?
  1. Amal Ibadat yang ikhlas, melatih kita untuk berlapang dada dan redha dengan ketentuan Allah.
  2. Amal Ibadat yang dilakukan dengan khusyuk, melatih kita fokus bahawa kita adalah hamba Allah, didalam ibadat ataupun diluar ibadat. (dalam solat dan bukan solat).
  3. Mempasakkan pemahaman ke dalam diri bahawa setiap perlakuan diri itu adalah ibadat kepada Allah. Perhubungan sesama manusia, perhubungan dengan haiwan, tumbuh tumbuhan dan apa jua nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. Kita adalah pemegang amanah kepada agama kita. Buruk diri kita, maka buruklah pandangan orang lain kepada agama kita.
Apabila kita melihat bahawa setiap tindakan adalah ibadah, adakah kita akan melakukan kemungkaran? Tentulah kita berusaha untuk sentiasa melakukan kebaikan. Kita percaya dan kita berdoa kepadaNya. Maka berniatlah keatas setiap amalan kita itu untuk kebaikan makan bertambahlah keimanan kita kepadaNya.

Kita mandi setiap hari. Apakah kita niatkan setiap kali kita mandi. Kebanyakan dari kita mandi yang berniat itu apabila dalam keadaan berhadas besar sahaja. Mari kita mulakan hari ini dengan menambahkan niat untuk harian kita. Berniatlah "sahaja aku mandi untuk memelihara diri dari segala penyakit dan berlindung dari kemungkaran yang diperbuat oleh tubuhku kerana Allah, Jauhkan lah aku dari melakukan perbuatan yang sia-sia, tambahkanlah keimanan ku dengan kesejahteraan ini, kuatkanlah diri ku untuk terus memperbaiki amalan ku kepada Mu". "Setiap yang dilakukan dengan niat, barulah dikira ibadah". Secara bahasanya niat itu akan menjadi doa.... Maka berdoalah perkara yang baik baik, semoga bertambah keimanan dan cinta kita semua kepada Allah yang maha pegasih lagi maha penyayang. 

Wassalam

Monday, June 2, 2014

MULUT BERBAU DOSA BERPUNCA DARI HATI YANG KOTOR

oleh: Muaz Fiqwa

Pendahuluan

Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan. (Surah al-Mutaffifin:14)

Ayat ini menjelaskan tentang orang-orang yang melakukan dosa dan sukar untuk menerima ayat-ayat Allah.

Mulut yang berbau dosa ini sering mendatangkan masalah terhadap hubungan di antara sesama manusia.

Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa. Pepatah ini sering kita sebut-sebutkan dalam hal berkaitan dengan kesalah mulut.

Persoalannya ialah kenapa mulut ini boleh berbau dosa? Apakah sukar untuk mulut ini dijaga dengan baik demi menjaga kemaslahatan dan kebaikan sejagat.

Apabila mulut sudah berbicara perkara-perkara dosa, maka banyak perkara negatif akan muncul seperti dendam, permusuhan, pertelingkahan dan sebagainya.

Kadang-kadang kita pelik, bagaimana mulut yang sentiasa membaca al-fatihah ketika solat, tetapi pada masa yang sama bekata-kata buruk di luar solat.

Andai dosa itu boleh berbau, sudah tentu mulut orang yang suka berkata-kata buruk akan berbau busuk mulutnya.

Jika demikian, sudah tentu orang yang suka bekata-kata buruk itu akan memilih untuk berdiam diri.

Sedangkan berdiam diri itu adalah perbuatan yang lebih baik dari berkata-kata yang keji dan dusta.

Kita sering mendengar wujudnya segelintir pekerja yang gemar mencetuskan propaganda dan krontoversi.

Dan apakah yang mneyebabkan mereka ini suka membiarkan mulut mereka berbau dosa? Sedangkan bahayanya mulut itu mampu membuatkan yang baik menjadi buruk.

Rasulullah s.a.w. berpesan kepada Sayyidina Ali k.wj. yang bermaksud :

“Wahai Ali ! Allah tidak menjadikan apapun dalam tubuh manusia yang paling utama, kecuali mulut (lisan). Sesungguhnya mulutnyalah yang mengiring dirinya masuk syurga atau masuk neraka. Maka dari itu penjarakanlah (jagalah) mulut kerana mulut itu bagaikan anjing (gila)”.

Apabila Hati Mula Kotor

Apabila mulut mula berbau dosa, dan ia sudah pasti bermula dari hati yang kotor. Apakah yang dimaksudkan dengan hati yang kotor?

Hati yang kotor ialah hati yang terdedah kepada dosa dan maksiat. Ibarat makanan yang tidak dipelihara atau dijaga dengan baik, sudah tentu makanan tersebut akan menjadi basi dan tidak elok.

Begitu jugalah hati. Jika ia tidak dipelihara dengan baik, maka banyak perkara-perkara negatif akan berlaku.
Apakah hal sebegini yang kita mahukan sebagai umat Islam? Tidak pernahkah kita memikirkan perasaan baginda Muhammad s.a.w.

Sudah pasti baginda akan sedih jika terdapat umatnya yang mulutnya sentiasa berbau dosa.
Hati yang kotor berpunca apabila hati tersebut tidak disirami dengan ayat-ayat Allah. Apakah ayat-ayat Allah yang perlu disirami?

Itulah dia ayat-ayat al-quran. Ayat-ayat inilah yang boleh membuatkan hati kita menjadi lembut dan taat kepada perintah Allah s.w.t.


Bersihkan Hati Dengan Ayat-Ayat Al-Quran

Kita digalakkan untuk memabca al-quran dalam seharian hidup kita bagi tujuan untuk melembutkan hati yang keras, membersihkan hati yang kotor.

Bukankah diturunkan ayat al-quran itu untuk sekalian manusia? Apakah kita ingin memilih untuk menolak al-quran sedangkan hakikatnya ia adalah kalam Allah s.w.t?

Dan berimanlah kamu dengan apa yang Aku turunkan (Al-Quran) yang mengesahkan benarnya Kitab yang ada pada kamu, dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mula-mula kafir (ingkar) akan dia; dan janganlah pula kamu menjadikan ayat-ayatKu (sebagai harga untuk) membeli kelebihan-kelebihan yang sedikit faedahnya; dan kepada Akulah sahaja hendaklah kamu bertaqwa. (Surah al-Baqarah:41)

Dan sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) ayat-ayat keterangan yang jelas nyata (Al-Quran), dan tidak ada yang akan mengingkarinya melainkan orang-orang yang fasik. (Surah al-Baqarah:99)

Maka jelas dari ayat ini bahawa al-quran itu diturunkan untuk memebri keterangan kepada manusia dan sesiapa yang mengingkarinya maka dia adalah orang yang fasik.

Jadi bersihkanlah hati kita dengan ayat-ayat al-quran agar hati kita tidak menjadi punca kepada mulut kita menjadi busuk dek dosa.

Pagar Hati Dengan Mengingati Allah

Kadang-kadang punca hati menajdi kotor kerana ia terdedah dengan hasutan syaitan. Syaitan tidak pernah putus asa dalam memporak-perandakan umat Islam.

Mereka suka untuk meneysatkan umat Nabi Muhammad agar mereka mendapat teman di neraka kelak.

Apakah kita ingin bersama-sama syaitan di neraka atau bersama para nabi dan orang-orang soleh di syurga? Pilihan di tangan kita. Untuk memagarkan hati kita dari gangguan syaitan ini ialah dengan memperbanyakkan mengingati Allah s.w.t

Hati cepat kotor apabila kita melakukan dosa. Maka pagarkanlah ia dnegan segera mengingati Allah s.w.t. Takutlah pada balasan dan azab Allah s.w.t. Apakah azab Allah itu? Kita boleh lihat banyak azab yang disebutkan di dalam al-quran.

Dan peliharalah diri kamu dari (azab sengsara) hari (akhirat), yang padanya seseorang tidak dapat melepaskan orang lain (yang berdosa) sedikitpun (dari balasan azab), dan tidak diterima syafaat daripadanya, dan tidak pula diambil daripadanya sebarang tebusan; dan mereka (yang bersalah itu) tidak akan diberi sebarang pertolongan. (Surah al-Baqarah:48)

Dan peliharalah diri kamu dari (huru-hara) hari kiamat (yang padanya) seseorang tidak dapat mengganti atau melepaskan orang lain sedikitpun, dan tidak akan diterima daripadanya sebarang tebusan, dan tidak akan memberi manfaat kepadanya sebarang syafaat; dan orang-orang yang salah itu tidak akan ditolong (dari azab sengsara). (Surah al-Baqarah:123)

Jelas bahawa manusia yang melakukan dosa pasti akan mendapat azab yang sangat keras dari Allah s.w.t. Apakah peringatan lagi yang kita inginkan dan kita tunggukan?

Maka peliharalah hati dan mulut kita dari melakukan sebarang dosa-dosa kerana jelas setiap perbuatan itu pasti akan dihisab.

Jangan kita biarkan mulut kita berbau dosa dengan berkata-kata buruk, memfitnah, mengaibkan sesama manusia, berdusta dan sebagainya.

Bersihkanlah hati dari kekotoran dosa dengan sentiasa mengingati Allah agar hati itu tidak menjadi punca kepada berbaunya dosa pada mulut kita.

Penutup

Pengajaran yang boleh diambil:
  1. Janganlah kita biarkan mulut kita berbau dosa kerana ia sudah pasti akan mendatangkan perkara negatif pada diri kita sendiri.
  2. Mulut yang tidak dijaga dengan baik boleh menjadi punca timbulnya api permusuhan.
  3. Bersihkanlah hati dengan sentiasa membaca ayat-ayat Allah iaitu al-quran.
  4. Pagarkanlah hati kita dari gangguan syaitan dengan memperbanyakkan mengingati Allah dan mohonlah perlindungan dariNya.
  5. Mulut yang berbau dosa di dunia pasti akan mendapat azab dan balasan di akhirat kelak.

“Dari Allah Kita Datang Kepada Allah Jualah Kita Dikembalikan Kelak”

Wallahualam


Sumber: http://muazfiqwa.blogspot.com/