Memohon
ampun di atas kesilapan hendaklah dilakukan bersungguh-sungguh.
Bertaubat
kepada Allah SWT adalah tuntutan Islam. Dalam al-Quran, Allah menggesa dan
menyuruh hamba-Nya supaya bertaubat atas segala perbuatan dosa kerana Dia
bersifat Maha Pengampun.
Tidak
sukar bagi Allah memberi atau menerima taubat seseorang kerana Allah sendiri
adalah penerima taubat. Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Allah, Dialah
Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.” (Surah
al-Baqarah: 37).
Malah
Allah SWT sangat mencintai orang-orang yang bertaubat seperti firman-Nya
bermaksud: “Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertaubat.” (Surah
al-Baqarah: 222)
Rasulullah
SAW yang juga kekasih Allah dan bersifat maksum menunjukkan contoh kepada
umatnya bahawa Baginda memohon ampun (beristighfar) kepada Allah sebanyak 100
kali sehari.
Nabi
SAW bersabda bermaksud: “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan
mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya aku bertaubat (beristighfar) dalam
sehari sebanyak 100 kali.” (Riwayat Muslim).
Penegasan
terima taubat Mukmin
Penegasan
Allah yang berjanji menerima taubat hamba-Nya memberikan harapan yang tinggi
kepada Mukmin agar sentiasa memohon keampunan Allah setiap masa atas segala
dosa diperbuat.
Allah
Maha Mengetahui kelemahan hamba-Nya yang tidak terlepas daripada berbuat
kesalahan. Sebesar manapun dosa dilakukan tetap diberi Allah keampunan selagi
tidak melakukan syirik kepada-Nya.
Rasulullah
SAW menyebutkan bahawa betapa Allah SWT sangat gembira apabila hamba-Nya mahu
bertaubat secara tulus seperti terkandung dalam firman Allah dalam hadis qudsi
bermaksud: “Sungguh Allah sangat berbahagia atas permohonan taubat hamba-Nya,
lebih berbahagia daripada bahagianya salah seorang kamu yang kehilangan untanya
lalu menemuinya kembali.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Seseorang
yang kehilangan sesuatu barang berharga sama ada kerana kecurian, tercicir dan
sebagainya, maka dia akan berasa sangat gembira jika menemui semula kerana
barang berkenaan sangat bernilai dan bererti kepadanya.
Akan
tetapi taubat seorang Mukmin lebih disukai Allah melebihi kegembiraan seseorang
yang menemukan semula barang berharganya yang hilang.
Namun,
kemurahan Allah menerima taubat itu tidaklah bermakna menjadi ‘lampu hijau’
kepada seorang Mukmin berbuat maksiat dan dosa terus menerus, yakni apabila
berbuat dosa lalu menyesal dan bertaubat, kemudian mengulangi lagi, dan selepas
itu bertaubat kembali kerana mengingat Allah itu Maha Pengampun.
Taubat
yang dijanjikan Allah akan diterima-Nya ialah taubat yang lahir dari hati
Mukmin yang tulus dan mencukupi syarat yang disebut sebagai taubat nasuha.
Bukan taubat jika
ulangi kesilapan
Ucapan
istighfar walaupun diulang 100 ribu kali sedangkan hati masih berazam untuk
mengulangi maksiat tidak dinamakan taubat. Ia lebih seperti melakukan
persendaan terhadap hukum Allah, peluang dan kerahmatan-Nya.
Terjatuh
ke dalam maksiat dan dosa adalah kebiasaan manusia yang lemah. Manusia terbaik
bukanlah manusia yang tidak pernah berbuat dosa sama sekali, akan tetapi
manusia terbaik adalah manusia yang apabila berbuat kesalahan, langsung dia
bertaubat kepada Allah dengan sebenar-benar taubat.
Mukmin
sebenar sentiasa bersikap atau berpendirian untuk mengelak daripada terjerumus
ke lembah dosa. Islam mengajar umatnya untuk tidak berputus asa tetapi diajar
untuk kembali kepada kebenaran dan bertaubat. Hanya orang yang tidak beriman
memilih jalan-jalan yang lain yang membinasakan diri mereka sendiri.
Tidak
dinafikan bahawa seorang Mukmin yang telah sungguh-sungguh bertaubat kadangkala
kembali terjatuh ke dalam kesalahan yang serupa.
Pengaruh nafsu,
lemah iman
Mukmin
yang pada mulanya sudah benar-benar insaf dan bertaubat, tetapi disebabkan
kelemahan iman dan kuatnya pengaruh hawa nafsu selain tergoda dengan hasutan
syaitan menyebabkan dia berulang kali terjatuh ke lembah dosa.
Jika
terjadi demikian bukanlah bermakna taubatnya yang terdahulu tidak ikhlas. Maka,
dia hendaklah mengulangi taubatnya dan jangan berputus asa dari rahmat Allah
SWT.
Rasulullah
SAW bersabda bermaksud: “Seorang melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai
Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wajalla berfirman: Hamba-Ku melakukan
dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan
menghukumnya – dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya.
Kemudian
dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah
melakukan dosa, ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa
dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –
dalam riwayat lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa
sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah
dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa
baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka Aku ampunkan hamba-Ku
ini, buatlah apa yang engkau mahu Aku ampunkan engkau.” (Hadith riwayat
al-Bukhari dan Muslim).
Oleh:
Drs Wan Aminurrashid W Abd Hamid
Penulis
adalah Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam Universiti, Universiti Putra
Malaysia (UPM).
No comments:
Post a Comment