Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Al-Quran adalah cahaya, petunjuk dan ubat bagi apa yang ada di dalam hati manusia. Al-Quran merupakan tali Allah yang kuat, cahaya-Nya yang jelas dan pegangan yang sangat dipercayai. Barang siapa beriman kepada Al-Quran akan mendapat taufik daripada Allah s.w.t. Barang siapa yang berpegang teguh padanya, maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang mengamalkannya, bermakna dia telah menjadi orang yang beruntung dan berjaya.

ISLAM ITU INDAH, ALLAH ITU TERLALU HEBAT

Tuesday, May 6, 2014

6 teka-teki Imam Al-Ghazali wajar jadi panduan

Berita Harian : Oleh Husna Abd Halim  
Banyak pengajaran di sebalik jawapan diberikan ulama terkenal

Teka-teki dalam pembelajaran

Manfaatnya begitu meluas sehinggakan sesetengah guru menggunakan pendekatan teka-teki di dalam pembelajaran bagi mengelak pelajar mengantuk atau bosan dengan cara pembelajaran yang sama setiap hari.

Tambahan pula, teka-teki sedikit sebanyak dapat menghilangkan tekanan selain dapat meningkatkan kecerdasan minda. Kita akan berusaha sedaya upaya memikirkan apakah jawapan yang tepat dan cuba menjawab dengan pantas. Jawapan teka-teki sedikit rumit dan berputar belit.

Melihat dari perspektif Islam sendiri, ada banyak kebaikan teka-teki dalam kehidupan kerana dapat memberi maklumat baru. Oleh itu, keunikan teka-teki boleh digunakan untuk mengajukan soalan yang mengingatkan kita kepada Allah SWT dan mempunyai unsur yang baik.

Enam teka-teki yang ditanya oleh Imam Al-Ghazali kepada anak muridnya boleh juga dijadikan soalan untuk kita menjawabnya. Contohnya, Pertama, apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab, orang tua, guru, kawan dan sahabat.

Imam Al-Ghazali berkata, semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan paling tepat sekali bagi soalan itu ialah mati.

Kedua, beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab, negara China, bulan, matahari dan bintang. Imam Al-Ghazali menegaskan, semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah masa lalu.

Walau dengan apa cara sekali pun, kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh itu, kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh supaya tidak sesal di kemudian hari nanti.

Ketiga, beliau bertanya apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab, gunung, bumi, matahari. Imam Al-Ghazali berkata, semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah nafsu Kita mesti berhati-hati dengan nafsu, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam.

Tanggung amanah paling berat 

Keempat, Imam Al-Ghazali bertanya mengenai benda paling berat di dunia lalu muridnya menjawab, besi dan gajah. Imam Al-Ghazali mengatakan, semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah menanggung amanah. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah di bumi.

Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian serta kedegilan mereka mengikut lunas yang telah ditetapkan syarak.

Soalan kelima, Imam Al-Ghazali bertanyakan apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab, kapas, angin, debu dan awan. Imam Al-Ghazali menyatakan semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah meninggalkan solat kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

Keenam, beliau bertanya benda yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab, pedang. Imam Al-Ghazali mengatakan jawapan itu betul, tetapi yang paling betul ialah lidah manusia. Disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan serta perpecahan.


Kita perlu sedar soalan teka-teki yang dikemukakan Imam Al-Ghazali nampak mudah untuk dijawab, namun jawapan sebenarnya berbalik pada diri manusia yang sering melakukan kesilapan dan kita patut mengambil pengajaran daripada teka-teki itu.

No comments:

Post a Comment