Persoalan
pendidikan ialah persoalan mendidik hati manusia. Hati yang sejahtera
melahirkan perbuatan mulia. Perbuatan yang sejahtera melahirkan pula masyarakat
berakhlak, penyayang dan bertamadun.
Koleksi hati yang sejahtera menjadi lambang umat sejahtera dalam semua aktiviti
kehidupan. Dalam pendidikan, perhatikan beberapa inti sari nasihat Luqman
Al-Hakim terhadap anaknya.
Keikhlasan
menjadi lambang awal hati yang sejahtera. Sabda Rasulullah SAW yang terkenal
dalam bab keikhlasan niat perlu direnungi secara mendalam. Sabda Baginda:
“Sesungguhnya amalan itu bergantung pada niat.”
Sesiapa yang
hijrahnya kerana Allah SWT dan Rasul-Nya, maka hijrahnya bagi Allah dan
Rasul-Nya. Dan barang siapa yang hijrahnya kerana dunia yang dicarinya atau
wanita yang akan dinikahinya maka hijrahnya bagi niat hijrahnya.
Sukatan keikhlasan
Menurut an-Nawawi, itu adalah paksi Islam. Ilmuwan Islam dulu dan kini,
menjadikan ia sebagai pendahuluan dalam tulisan masing-masing. Hadis ini
menjadi timbang tara sukatan keikhlasan sebelum memulakan sesuatu perbuatan.
Seseorang mendapat
perlindungan serta pertolongan Ilahi bergantung pada nilai niatnya. Beriman dengan
hati yang tulus ikhlas tanpa sebarang kesyirikan menjadi nasihat utama Luqman
kepada anaknya.
Syirik bukan saja
berlaku kepada aspek keimanan, syirik amalan boleh berlaku dalam perbuatan
seseorang. Perasaan riak, menunjuk-nunjuk kepada manusia, berbangga dengan
tindak-tanduknya menjadi sebahagian syirik amalan mengikut an-Nawawi.
Antara tanda ikhlas
seseorang ialah perbuatannya semata-mata kerana Allah SWT, dia tidak menyukai
orang mengetahui sedikit pun daripada amalan baiknya. Mereka yang ikhlas tidak
mengambil kira sama ada perbuatannya mendapat pujian asalkan mendapat keredaan
Ilahi.
Perbuatan zahir dan batin bagi orang yang ikhlas adalah bersamaan. Amalan
sukakan pujian manusia menunjukkan pengamalnya tidak ikhlas melakukan sesuatu
apatah lagi dia sendiri yang memuji perbuatannya.
No comments:
Post a Comment