Rasulullah saw. bersabda yang bermaksud : "Orang yang bijak adalah orang yang mempersiapkan dirinya dengan beramal untuk bekalan selepas matinya. Manakala orang yang tidak bijak adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya dan kemudian mengharap pertolongan Allah". (HR Tirmizi)

Al-Quran adalah cahaya, petunjuk dan ubat bagi apa yang ada di dalam hati manusia. Al-Quran merupakan tali Allah yang kuat, cahaya-Nya yang jelas dan pegangan yang sangat dipercayai. Barang siapa beriman kepada Al-Quran akan mendapat taufik daripada Allah s.w.t. Barang siapa yang berpegang teguh padanya, maka dia akan mendapat hidayah, dan barangsiapa yang mengamalkannya, bermakna dia telah menjadi orang yang beruntung dan berjaya.

ISLAM ITU INDAH, ALLAH ITU TERLALU HEBAT

Thursday, February 23, 2012

Kurma - Tamar


Kurma merupakan tumbuhan yang tidak asing dalam kalangan penduduk Negara kita terutamanya apabila menjelang Ramadan. Kurma merupakan hidangan wajib ketika berbuka puasa. Kurma atau tamar atau istilah saintifi knya, phoenix dactyloferal merupakan sejenis tumbuhan yang mempunyai khasiat yang begitu banyak kepada umat manusia.

Disebabkan kepentingannya juga, Allah SWT telah menyebut kalimah kurma sebanyak 21 kali dalam al-Quran. Firman Allah SWT dalam surah Maryam ayat 25-26 yang maksudnya:

Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak. Maka, makanlah dan minumlah serta bertenanglah hati daripada segala yang merunsingkan.

Maka daripada ayat ini, kita dapati dengan jelas Allah SWT mengarahkan Mariam a.s supaya memakan buah kurma untuk mengurangkan kesakitan bersalin dan menenangkan hati beliau ketika hendak melahirkan Isa a.s. Sekiranya ada buah yang lebih baik daripada kurma untuk menahan kesakitan bersalin nescaya Allah SWT akan mengurniakan buah tersebut kepada Mariam, tetapi ternyata tidak ada buah yang lebih baik daripada kurma di dunia ini untuk memudahkan proses bersalin.

Selain ini, diriwayatkan juga kurma terutamanya kurma Madinah sangat digemari oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW pernah bersabda: "Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma antara La Bataiha (dua tanah tidak berpasir di Madinah) pada waktu pagi, maka racun tidak akan dapat memudaratkannya sampai petang." (Sahih Muslim: no 3813)

Terdapat pelbagai jenis kategori kurma. Ketika muda kurma dipanggil balah, manakala ketika mekar kurma dipanggil ruthob, ketika masak, kurma dipanggil tamar dan kurma kering yang keras pula dipanggil labanah. Semua jenis kurma ini mempunyai khasiat yang tersendiri.

Kandungan Nutrien

Ramai yang tidak mengetahui bahawa kurma sangat kaya dengan zat galian dan vitamin. Antara zat galian dan vitamin yang terdapat dalam kurma ialah kalsium, zat besi, kalium, vitamin A, B, B1, B2, B3, vitamin C dan E. selain itu, kurma juga mengandungi unsur bebas lemak dan bebas kolesterol, asid amino triptofan, glukosa dan sukrosa.

Khasiat Kurma

Kurma mempunyai khasiat yang banyak. Antaranya kurma mampu mengelakkan
penyakit, menyembuhkan penyakit, memudahkan proses bersalin, memudahkan pencernaan dan banyak lagi.

Kurma mengelakkan penyakit

Zat galian seperti kalium, kalsium, zat besi boleh menyihatkan sel darah merah dan seterusnya mengurangkan risiko sakit jantung dan diabetes. Kurma juga mempunyai serat yang tinggi di samping nutrien yang disebutkan tadi. Semua zat galian yang terdapat dalam kurma amat membantu dalam mencegah penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis. Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan daripada Prof. Madya Asiah Mohd Zain, pensyarah Jabatan Sains Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Bioteknologi UPM, "Daripada segi perubatan, amalan memakan kurma setiap hari boleh mengurangkan risiko seseorang itu diserang penyakit kronik seperti jantung dan kencing manis kerana kurma mengandungi zat galian seperti kalium, kalsium dan zat besi yang boleh menyihatkan sel darah merah."

Menyembuhkan penyakit yang kronik

Selain itu, kurma juga mengandungi protein dan garam galian yang menghentikan tindak balas luar biasa yang dicetuskan oleh gluten di dalam usus kecil. Tindak balas itu jika dibiarkan boleh membawa kepada pengeluaran sel darah putih secara berlebihan. Selain gangguan usus, jus kurma berkesan untuk mengatasi masalah sembelit. Bagaimanapun minuman ini tidak sesuai diamalkan oleh mereka yang mengidap penyakit diabetes kerana boleh mendatangkan kesan yang lebih serius. Jus kurma juga merupakan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk mengatasi masalah insomnia. Bagi
mereka yang mengalami masalah batuk, jus kurma sesuai untuk diamalkan kerana kandungan gula dalam buah kurma bertindak menghilangkan gatal-gatal dalam kerongkong sekali gus menghentikan batuk.

Memudahkan proses bersalin

Bagi perempuan dalam pantang yang kehilangan darah, zat besi dan kalsium dalam kurma sangat membantu untuk menambahkan jumlah sel darah merah. Unsur ini juga boleh meningkatkan kadar pengeluaran susu ibu. Kalsium dan kalium yang terdapat dalam kurma juga dapat mengelak daripada berlakunya tekanan darah tinggi.

Menurut kajian Dr. Mahmud Nazim al Nasimy dalam buku Tempoh Mengandung Daripada Segi Perubatan: Fiqhiyyah dan Perundangan, jus kurma dapat menolong mencengkam rahim sewaktu proses kelahiran, memperkukuh urat rahim dan memudahkan bersalin. Vitamin A pula dapat memelihara kulit yang sihat. Kurma juga mengandungi kalium yang dapat mengurangkan risiko penyakit strok. Hal ini demikian kerana kalium ialah sejenis mineral yang membuatkan kadar denyutan jantung menjadi teratur serta membantu tekanan darah.

Memudahkan proses pencernaan

Kurma merupakan juadah yang sangat popular pada bulan Ramadan. Umat Islam memakannya ketika berbuka puasa. Nabi menggalakkan umat Islam berbuka puasa dengan mengambil buah kurma. Apakah faedahnya? Jawapannya tidak lain tidak bukan kerana kurma mengandungi glukosa dan sukrosa. Ketika perut kosong, saat itulah makanan yang mengandungi nutrien glukosa dan sukrosa akan mudah dicerna dan diserap secara cepat dan maksimum. Jadi, kandungan glukosa dan sukrosa dalam kurma yang banyak itu menjadikan proses pencernaan di dalam badan sangat mudah. Selain itu, kita juga tertanya-tanya sebab seseorang itu memakan buah kurma, dia terus berasa kenyang? Maka antara salah satu daripada rahsianya seperti yang terdapat dalam kitab 'al-Maktuubaat' hasil tulisan Siir al-Hindi, menyatakan bahawa biji kurma itu pada asalnya dicipta oleh Allah SWT daripada sisa tanah kejadian Nabi Adam a.s. Oleh hal yang demikian, sesiapa yang memakan kurma akan terus menjadi darah daging dan rasa kenyang dengan serta-merta.

Kurma menenangkan perasaan

Dalam al-Quran surah Maryam ayat 26, Allah SWT berfirman kepada Saidatina Maryam a.s; "Bertenanglah hati daripada segala yang merunsingkan".

Ternyata firman Allah SWT ini yang menyuruh Mariam memakan kurma untuk menenangkan fi kiran tidak bercanggah dengan kajian sains. Pengkaji mendapati dalam buah kurma terdapat sejenis bahan asas protein, iaitu asid amino (essential amino acid) yang dikenali dengan nama triptofan. Triptofan merupakan sejenis asid amino yang sangat diperlukan bagi membantu mekanisme badan yang lain terutamanya bagi sintesis niasin. Terdapat sesetengah asid amino boleh dihasilkan oleh badan tetapi unsur triptofan hanya dapat diperoleh melalui diet pemakanan manusia. Triptofan ini sejenis unsur yang boleh memberikan ketenangan kepada manusia. Tanpa triptofan, manusia akan rasa serabut, tertekan, gundah-gulana dan tidak tentu arah.

Diantara Hadis-Hadis Dan Riwayat Berkaitan Buah Kurma:

  1. Sabda Rasulullah s.a.w. : “Rumah yang tiada kurma nescaya penghuninya kelaparan.”
  2. Daripada Abu Musa r.a. katanya: “Anakku lahir, lalu aku membawanya kepada Nabi s.a.w. lalu baginda menamakannya dengan nama Ibrahim dan meletakkan pada lelangitnya dengan buah kurma.”
  3. Saidina Ali r.a. meriwayatkan “Barang siapa yang memakan 7 butir tamar setiap hari, ia akan membunuh semua kuman di dalam badannya”.
  4. Daripada Abdullah bin Jaafar r.a katanya: “Aku pernah melihat Rasulullah s.a.w memakan mentimun Arab dengan buah kurma masak”.
  5. Hadis Saad r.a: Rasulullah s.a.w pernah bersabda: “Sesiapa yang memakan tujuh biji kurma di antara La Bataiha (dua tanah tidak berpasir di Madinah) pada waktu pagi, maka racun tidak akan dapat memudaratkannya sampai petang”.
  6. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud : “Diceritakan oleh Jumaah bin Abdullah yang disampaikan oleh Marwan yang mendapat berita daripada Ibnu Hashim bahawa Amir bin Saad mendengar bapanya meriwayatkan Rasulullah s.a.w. bersabda : “Sesiapa yang memakan 7 biji tamar ‘Ajwah’ dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu”.
  7. Daripada Anas bermaksud : “Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada terpadat kurma, maka Rasulullah s.a.w. akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.” (Hadis riwayat Ahmad)
  8. Riwayat daripada Muhammad b. Ali al Husayn bermaksud:” Kurma Ajwa adalah daripada syurga dan daripadanya ia menjauhkan racun (Al-Samm)”
  9. Diriwayatkan pula oleh Amirulmukminin Ali bin Abi Talib:” Barang siapa yang memakan kurma Ajwa tujuh kali sebelum tidur, ia akan menghapuskan penyakit atau keracunan (Al-Dud ) di dalam tubuhnya “
  10. Riwayat tentang kurma daripada Ahlul Bait Rasullallah s.a.w pula, berkata Imam Ali as yang berbunyi; Jibrail as datang kepada Nabi s.a.w dan berkata,” Bergantunglah pada Al-Barni kerana ia adalah jenis kurma yang terbaik. Ia membawa manusia terhindar dari api neraka”
  11. Rasullallah s.a.w pula bersabda, ” makanlah kurma sebelum sarapan untuk ia membunuh cacing di dalam perut”
  12. Daripada Adiy bin Hatim, ia berkata : “Saya mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Hindarilah api neraka walaupun (dengan memberi sedekah) sebelah buah kurma(Hadis Riwayat Bukhari). Hadis ini menerangkan kemuliaan buah kurma, iaitu walaupun dengan hanya kita bersedekah sebelah buah kurma kita terhindar daripada api neraka.
  13. Diriwayatkan daripada Abdullah bin Jaafar katanya: “Aku melihat Rasulullah S.A.W memakan buah-buahan dengan kurma masak.”
  14. Hadis Rasulullah s.a.w. : “Berilah makan buah kurma kepada isteri-isteri kamu yang hamil, kerana sekiranya wanita hamil itu memakan buah kurma, nescaya anak yang bakal dilahirkan itu, menjadi anak yang penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.”

No comments:

Post a Comment