Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.
Abu Yazid al-Busthami, seorang sufi yang tersohor pernah menjadikan satu ayat al-quran sebagai renungan. Al-Baqarah ayat 186 yang bermaksud:
“Apabila hamba-hambaku bertanya kepadamu tentang aku, wahai Muhammad, katakanlah sesungguhnya aku berada dekat dengan mereka. Aku kabulkan permohonan orang-orang yang berdoa apabila mereka berdoa kepadaku. Mereka hendaklah memenuhi perintahku dan beriman kepadaku supaya mereka memperoleh kebenaran”.
Ketahuilah sesungguhnya nafsu itu ibarat gunung yang tinggi, besar lagi keras. Nafsu manusia merintangi, membatasi dan menutup hati manusia daripada Allah, kecuali nafsu yang dirahmatinya. Oleh itu, walaupun Allah menyatakan dia berada dekat dengan hambanya, ramai manusia tidak mampu merasakan kehadiran Allah itu.
Senjata dahsyat dan kekuatan yang berkesan bagi bagi menundukkan nafsu adalah berzikir kepada Allah. Tenaga yang perlu kita sediakan bagi menempuh perjalanan itu adalah iman.
Bersegeralah kamu menuju kepada Allah dengan hati mu. Bergantunglah kepada rahmatnya sehingga dunia terkeluar dari hati mu dan hati mu menjadi bersih dari segala sesuatu selain Allah. Semoga hatimu dipenuhi dengan keimanan dan cahaya. Semoga Allah memberimu keyakinan serta dilembutkan hatimu. Seterusnya Allah menyibukkan anggota badanmu dengan ketaatan kepadanya. Rendahkan lah hatimu dihadapan Allah.
Pemahaman syariat dengan akal tanpa amalan hati tidak mungkin mendekatkan diri kita kepada Allah, walaupun selangkah. Ini kerana perjalanan menuju Allah adalah perjalanan hati. Kedekatan dengan Allah adalah kedekatan hati. Hakikat amal adalah menjalankan syariat dengan anggota badan dan bersikap tawaduk kepada hamba-hambanya, hanya kerana Allah.
Asas Amal adalah Tauhid dan Ikhlas.
Siapa sahaja yang menampakkan amalnya kepada orang lain, hakikatnya mereka tidak beramal. Ini kerana amal mesti wujud dalam keadaan seseorang itu bersendirian atau berkhalwat melainkan yang wajib dan diketahui umum akan kewajipannya. Oleh sebab itulah, kita perlu memahami syariat dan memanfaatkan anggota bagi mengamalkan syariat dengan asas tauhid dan ikhlas.
Hanya orang-orang yang beribadah dan beramal soleh dengan ikhlas yang terhindar daripada ancaman iblis. Orang-orang yang berakal wajib menjaga diri mereka daripada ancaman syaitan.
Dialog iblis dan Nabi Yahya
Pada suatu ketika, iblis menampakkan dirinya dihadapan Nabi Yahza. Iblis membawa banyak kantung lalu ditanya oleh Nabi Yahya kepada iblis.
“Hai iblis, apakah guna kantung yang bergantung diseluruh tubuhmu?”
“Ini adalah syahwat syahwat anak Adam. Dengan kantung ini aku memancing syahwat anak Adam.”
“Adakah engkau menyediakan pancing untuk aku?”
Iblis menjawab, “Ya! Nanti apabila perutmu kenyang, aku akan lalaikan dirimu dari solat dan zikir”.
Nabi Yahya bertanya lagi, “Ada pancing yang lain ke untukku?”
Iblis menjawab, “Tidak”.
Nabi Yahya pun menjawab “Aku bersumpah, aku tidak akan mengisi perutku hingga kenyang”
“Aku tidak membuka rahsia ini kepada anak Adam selain dirimu, “ demikianlah ucapan iblis.
Sesungguhnya, mengenyangkan perut itu membuka jalan kepada iblis dan syaitan mengganggu jiwa dan hati manusia dan menjarakkan hubungan manusia mengingati Allah.
No comments:
Post a Comment